Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah – Berita Harian


Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah
2012/06/17

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat serta mengambil tindakan lanjut terhadap kejadian sekumpulan 10 pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, dicederakan sekumpulan 30 remaja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau mendapat tahu mengenai insiden itu menerusi akhbar dan masih belum menerima maklumat daripada Jabatan Pelajaran Selangor.
Katanya, berikutan insiden berlaku di luar kawasan sekolah, siasatan terhadap kes itu secara automatik berada di bawah tanggungjawab polis.
“Kementerian tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana ia tidak berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagi kementerian, langkah seterusnya hanya boleh memberi penerangan kepada pelajar sekolah mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan situasi begini.

“Maksudnya apabila pelajar diserang ‘orang luar’, apakah yang perlu mereka lakukan iaitu sama ada terus berada berada di luar kawasan sekolah ketika diserang atau cepat masuk ke perkarangan sekolah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya tindakan boleh diambil kementerian terhadap penyerang antaranya dipercayai bekas pelajar sekolah itu, katanya tindakan disiplin membuang mereka sudah menggugurkan mereka dari status sebagai pelajar.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Cheras Perdana, Chin Choong Fuan menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu kes terpencil.

Katanya, insiden itu mungkin dicetuskan segelintir pelajar bermasalah yang kemudian mengheret pembabitan orang luar.

“Kita amat mengambil berat perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan guru, namun kita percaya pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan.

“Buat masa ini, pihak PIBG masih belum tahu apakah punca sebenar pergaduhan itu. Justeru, kita serahkan pada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan pihak sekolah berhubung insiden terbaru itu bagi mencari jalan penyelesaian bersama.