Kempunan sambut Aidiladha – Utusan


Kempunan sambut Aidiladha

 

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

 

KUANTAN 5 Nov. – Hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha esok, di kampung mereka di Kuala Terengganu, tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Jabor, di sini petang ini.

Pegawai Penguat Kuasa Pentadbiran Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, mangsa, Maliki Abdullah, 47; anaknya, Nur Izzati, 21, dan Muhamad Hafiz, 6, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 244.9, pukul 3.15 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang dinaiki keluarga tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Terengganu.

“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu Maliki terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di lebuh raya itu.

“Semua mangsa yang berada di dalam kenderaan tercampak keluar. Maliki bersama dua anaknya, Nur Izzati dan Muhammad Hafiz maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainalabidin berkata, tiga lagi mangsa yang belum dikenal pasti identiti cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tayar MPV terbabit pecah menyebabkan ia terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan.