Kesal menara dekat sekolah – Sinar Harian


Kesal menara dekat sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Jun 2012
IPOH – Pembinaan sebuah menara pemancar komunikasi dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji dan berhampiran Taman Melor di sini, menimbulkan kebimbangan penduduk setempat kerana khuatir boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka yang berada di persekitaran kawasan itu.

Penduduk mendakwa pemasangan menara setinggi 30 meter itu dipercayai dibina di dalam kawasan sekolah berkenaan sejak dua minggu lalu itu dan tidak dimaklumkan serta mendapatkan pandangan penduduk terlebih dulu.

Bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pembinaan menara itu, penduduk berkumpul secara aman, bagi mendesak supaya menara itu dan dipindahkan ke tempat lain demi menjamin kesihatan penduduk. Seorang penduduk, Chiew Siew Fun, 50, yang tinggal kurang 100 meter dari menara tersebut meluahkan rasa bimbang kerana ia dibina terlalu hampir dengan kediamannya.

Katanya, kerja pembinaan menara itu bermula sejak dua minggu lalu dan dilihat seperti sudah siap untuk beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat. “Kami minta menara ini dipindahkan kerana tidak tahu mengenai perancangan dan pembinaannya. Dalam pada itu, kami difahamkan pembinaan menara itu untuk kemudahan internet bagi kegunaan sekolah tersebut.

“Bagaimanapun, perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang sedia ada di sekitar kawasan ini mampu membantu pelajar sekolah untuk mendapatkan pencapaian internet dengan mudah tanpa bantuan menara itu. “Bukan semua murid mampu menggunakan internet di rumah jadi kenapa perlu membahayakan penduduk dan pelajar sekolah dengan membina menara ini.

“Penggunaan WiFi untuk melayari internet sudah cukup memadai sekarang ini,” katanya yang 16 tahun menetap di Taman Melor. Sementara itu, Adun Pasir Pinji, Thomas Su Keong Siong berkata, pihaknya difahamkan pembinaan menara itu untuk kemudahan internet 1BestariNet dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Namun, beliau mempersoalkan kenapa lokasi pembinaan menara itu yang terletak terlalu hampir dengan kawasan rumah dan sekolah kerana ia tidak memenuhi spesifikasi serta syarat yang ditetapkan. “Selain itu, saya turut mendapat aduan bahawa pendapat penduduk tidak diambil kira sebelum kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada syarikat telekomunikasi berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Keong Siong juga mendakwa tiada jaminan daripada syarikat berkenaan yang tidak akan menggunakan menara tersebut untuk tujuan komersial pada masa hadapan. “Justeru, kami akan menghantar memorandum bantahan ini berserta tandatangan penduduk kepada Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim supaya pembinaan menara itu dipindahkan ke kawasan lebih sesuai,” katanya.

Netbook bantu dapat 6A – Metro


Netbook bantu dapat 6A
JITRA: “Alhamdulillah, kemudahan komputer netbook 1Malaysia yang diberikan kerajaan membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu,” kata Nurul Ain Najwa Baharum, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh itu, berkata dia bersyukur dengan pemberian komputer netbook yang diidamkan dan sangat berguna untuk mengulangkaji pelajaran.
Dia yang mendapat keputusan 6A 2B dalam PMR tahun lalu, berkata, komputer netbook yang diterima sejak pertengahan tahun lalu itu banyak membantunya mengulangkaji pelajaran menjelang peperiksaan selain menyiapkan tugasan sekolah.

“Sebelum ini, saya meluangkan masa selepas waktu sekolah untuk menggunakan kemudahan Internet di pusat akses di sekolah untuk mencari maklumat dan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu memandangkan tiada kemudahan kafe siber berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wang Tepus, dekat sini, semalam.
Nurul Ain yang juga anak yatim itu berkata, sejak memiliki netbook itu semua tugasan sekolah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

Menurutnya, dia bersyukur kerana abangnya sanggup mengeluarkan belanja bagi memasang kemudahan WiFi di rumahnya bagi mengakses Internet.
“Saya berpeluang mempelajari kaedah pembelajaran mudah Matematik menerusi laman web tertentu selain melihat contoh karangan,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Ain, Halijah Abdullah, 54, berkata pendapatannya sebagai penoreh getah tidak menentu selain tidak mencukupi untuk membeli komputer netbook berkenaan untuk kegunaan anak bongsunya.