Kemudahan sekolah dalam hospital akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak – Bernama


Kemudahan sekolah dalam hospital akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak

 

17/07/2013 5:34pm

 

PUTRAJAYA – Perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan kemudahan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, setakat ini penerimaan terhadap SDH amat memberangsangkan kerana ia dilaksanakan berorientasikan pendekatan didik hibur dan fleksibel dalam persekitaran kondusif.

“Kini terdapat lapan buah hospital yang telah mempunyai kemudahan sekolah tersebut dan dua lagi sedang dalam perancangan untuk diwujudkan iaitu masing-masing satu di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memperbaharui memorandum dan nota persefahaman bagi projek Hati Nurani: Sekolah Dalam Hospital antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen di sini hari ini.

Perjanjian untuk tempoh lima tahun lagi itu ditandatangani Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Datuk Dr. Madinah Mohamad, KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali dan pemegang amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

SDH merupakan inisiatif dua kementerian dan yayasan berkenaan bagi menyediakan keperluan kepada pelajar di wad hospital untuk mendapatkan pendidikan meskipun dalam keadaan tidak sihat.

Sejak Julai 2011 hingga April tahun ini lebih 22,000 murid yang mempunyai masalah kesihatan telah mendapat akses pendidikan menerusi projek SDH. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_18.htm#ixzz2ZJ1BH2Vo
Hakcipta terpelihara