PIBG SK LKTP mohon baiki segera – Sinar Harian


PIBG SK LKTP mohon baiki segera

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
PIBG SK LKTP mohon baiki segera
Kesan retak yang jelas dapat dilihat dari dalam surau.

FELDA BELARA – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Belara, meminta agar proses membaik pulih surau yang retak akibat mendapan tanah sejak lebih dua tahun lalu segera dibaiki.

Kemudahan surau yang selamat penting untuk  memberi lebih keselesaan kepada murid bagi melakukan aktiviti keagamaan.

Pada 2010, surau yang mampu memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu-satu masa itu diarah tutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak lagi selamat untuk digunakan.

Lebih membimbangkan, kesan retak di luar dan dalam bangunan dapat dilihat dengan jelas akibat mendapan tanah yang berlaku di kawasan itu.

Menurut Yang Dipertua PIBG SK LKTP Belara, Wan Zaidi Wan Muda, pada awalnya hanya bangunan kayu yang akan dibina di kawasan cerun bukit tersebut untuk dijadikan pusat kegiatan guru tetapi telah diubah kepada bangunan konkrit setelah mendapat peruntukan tambahan.

“Setelah memperoleh bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM200,000, kita menukar perancangan untuk membina bangunan konkrit dan menjadikannya surau untuk kegunaan murid di sekolah ini.

“Bagaimanapun, kontraktor terlibat pada ketika itu tidak mengubah pelan asal yang dibuat untuk membina bangunan kayu yang mana pelan tersebut tidak sesuai untuk membuat bangunan konkrit di kawasan cerun bukit ini,” katanya ketika ditemui di lokasi surau itu.

Kata Wan Zaidi, sejak surau itu ditutup pihak sekolah terpaksa menggunakan bilik serba guna sebagai surau untuk solat atau mengadakan majlis keagamaan dan ia sudah pasti menimbulkan rasa tidak selesa.

“Permohonan untuk mendapatkan peruntukan membina surau telah pun kita buat dan diharap ia akan dipercepatkan memandangkan surau berkenaan tidak dapat digunakan lagi akibat hakisan dan kedudukannya begitu hampir dengan cerun bukit.

“Disebabkan ketiadaan tempat solat yang khusus juga mengundang pelbagai ketidakselesaan kepada murid dan guru untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.

Katanya, jika ada sebarang majlis yang ingin dilaksanakan pihak sekolah terpaksa menggunakan kelas sebagai dewan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar masalah itu mendapat perhatian segera oleh pihak berkenaan untuk memastikan anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa.

Sekolah yang terletak di kawasan tanah rancangan itu mempunyai sebanyak enam kelas yang menampung seramai 167 murid tahun satu hingga tahun enam serta dibantu oleh 17 guru dan dua kakitangan pentadbiran.