‘Polis’ periksa air kencing cabul pelajar – Metro


‘Polis’ periksa air kencing cabul pelajar

 0  0 Google +0  0  0

Serdang: Seorang lelaki yang kemaruk seks menyamar sebagai polis untuk mencabul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas membawa mangsa ke kawasan sunyi di Seri Kembangan, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa dihampiri seorang lelaki berusia 40-an yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum menuduh mangsa menghidu gam.
Lelaki terbabit kemudian mengarahkan mangsa mengikutnya ke balai polis berhampiran dengan menunggang motosikal. Mangsa hanya akur arahan lelaki terbabit.

 

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan melepak di tepi sebuah restoran sebelum didatangi lelaki terbabit yang menuduh mangsa menghisap gam dan mengarahkan rakan mangsa pulang ke rumah.
Katanya, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarah mangsa mengikutnya.
“Mangsa dibawa ke satu kawasan sunyi sebelum dipaksa membuka baju dan seluar untuk tujuan pemeriksaan air kencing.

 

“Mangsa menolak permintaan itu, tetapi diugut dibawa ke lokap,” katanya.
Sumber berkata, sebaik membuka baju dan seluar, lelaki terbabit mencabul dan meninggalkannya di tepi jalan. “Mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

Budak dipaksa laku seks oral – Berita Harian


Budak dipaksa laku seks oral

Oleh Adha Ghazali

2012/05/05

KANGAR: Seorang peniaga mendakwa seorang remaja berusia 15 tahun anak kepada pengasuh anaknya, memaksa anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun melakukan seks oral menyebabkan mangsa sering mengalami kesakitan pada bahagian alat sulit terutama ketika membuang air kecil.

Wanita berusia 42 tahun itu mendakwa, anaknya sejak tiga minggu lalu dikatakan pernah berkali-kali mengadu kepada beliau mengenai perbuatan anak lelaki kepada pengasuh itu yang dikatakan pernah mengajarnya melakukan seks oral.

Sehubungan itu, katanya, atas nasihat pihak hospital beliau membuat laporan polis tengah hari semalam, selepas khuatir anaknya itu menjadi mangsa cabul termasuk kemungkinan besar dirogol.

Katanya, beliau pernah bertanyakan kepada pengasuh anaknya itu mengenai aduan berhubung kelakuan tidak senonoh yang diceritakan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu dinafikan wanita terbabit dengan alasan tidak pernah meninggalkan mangsa seorang diri bersama anak lelakinya itu.

“Saya sendiri tidak tahu bila ia bermula, tetapi seingat saya cerita terbabit sudah mula timbul sejak tiga minggu lalu sehinggakan anak saya mula takut dan menangis setiap kali ingin ke rumah pengasuh berkenaan.

“Namun, selepas anak saya mula mengalami masalah untuk kencing dua tiga hari lalu, saya mula musykil. Justeru, saya terus bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan, sebelum dinasihat membuat laporan polis, “ katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa kira-kira jam 12 tengah hari semalam.