Jalan licin tak sempat mengelak – Metro


Jalan licin tak sempat mengelak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MERSING: Keadaan jalan licin selepas hujan dipercayai menyebabkan pemandu lori tangki minyak sawit tidak mampu mengelak atau memberhentikan kenderaan itu sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas ke laluan bertentangan dalam kemalangan maut membabitkan lima sekeluarga manakala seorang lagi parah di Kilometer 13 Jalan Endau – Mersing, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, kereta dinaiki enam sekeluarga itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Jengka, Pahang, untuk menghantar ahli keluarga mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.
Empat yang maut di lokasi ialah Abdullah M Yusof, 43, isterinya; Samsiah Maidin, 37; anak keduanya, Maisarah, 4, dan kakak ipar Abdullah, Noraini, 41.

 

Anak sulung mereka, Muhammad Aiman Syakirin, 8, pula maut ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Mersing, manakala anak bongsu pasangan itu, Ammar Haziq, 3, yang duduk di depan bersama ibu bapanya kini mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital sama akibat cedera di kepala dan badan.
Pemandu lori tangki terbabit, Azhar Mohd Othman, 29, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk menghantar minyak sawit dari arah Endau.
“Tiba-tiba saya dapati kereta itu hilang kawalan lalu melintang di depan laluan saya. Saya cuba mengelak namun gagal, menyebabkan kenderaan saya merempuh MPV itu.

 

 

“Saya tak mampu buat apa-apa kerana kereta yang menuruni bukit itu dalam keadaan laju, sedangkan saya memandu lori menaiki bukit dan akibat pertembungan itu, MPV berkenaan melekat di depan lori.
“Saya keluar dari lori dan mendapati mereka parah sebelum saya menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal mendapati MPV dipandu Abdullah dalam perjalanan ke Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi iaitu kawasan berbukit, kenderaan arwah Abdullah yang menuruni bukit dipercayai hilang kawalan, menyebabkan MPV dipandunya berpusing dan melintang di laluan bertentangan,” katanya.

Kerja jahat 5 remaja – Metro


Kerja jahat 5 remaja
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah membabitkan kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang selepas penahanan tujuh lelaki dalam tiga operasi berasingan di ibu negara, sejak 11 Mei lalu.

Dalam operasi berkenaan, tiga ahli kumpulan digelar ‘Geng Udang’ ditahan di Setapak Jaya pada 11 Mei manakala dua lagi ditahan di tempat sama pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun serta tidak bersekolah.

“Semua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau sementara ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. “Tiga suspek dalam tangkapan awal sudah dihadapkan ke mahkamah manakala dua lagi masih dalam tahanan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Wan Abdul Bari berkata, polis menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilarikan suspek dalam satu kejadian samun di Jalan Hujan Emas, di sini, 7 Mei lalu.
Katanya, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan sekitar Lembah Klang tanpa memilih sasaran mereka dan melakukannya secara rambang.

“Dalam siasatan awal, lima kes samun kereta sekitar ibu negara diselesaikan dengan penangkapan Geng Udang ini,” katanya lagi.
Dalam tangkapan lain di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Isnin lalu, dua lelaki yang menggelarkan diri mereka ‘Geng Piow’ berjaya ditahan polis selepas didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey yang dilaporkan dicuri di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini, pada 16 April lalu.

“Dua suspek berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang memandu di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek kedua mempunyai lima rekod jenayah lampau dan terbabit dalam lapan kes curi kereta sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan dan kedua-dua suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’ – Metro


‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: “Arwah pernah menolak apabila mahu dibelikan seragam baru. Rupa-rupanya, dia (arwah) sudah tahu dia takkan sempat meneruskan persekolahan tahun ini,” kata Yusuf Said, 46, bapa kepada arwah, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, mangsa kemalangan maut.

Muhammad Shafik Redzuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir, di sini, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream dinaiki bersama sembilan rakan lain merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas.
Yusuf yang juga seorang nelayan berkata, beberapa hari lalu, dia pernah menawarkan pakaian sekolah baru kepada arwah, namun anaknya menolak.

 

Dia berkata, arwah juga dilihat tidak begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru tahun ini selain banyak mendiamkan diri.
“Malah, arwah hanya mahu saya membelikannya pakaian sukan baru. Dia (arwah) turut memaklumkan baju seragam sekolahnya yang lama masih elok dan tidak perlu membazir wang untuk membeli yang baru.
“Saya akur dengan permintaan itu, namun tidak menyangka ia petanda arwah pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, semalam.

 

 

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dia keluar minum bersama rakan-rakan di Pekan Lekir.
Yusuf berkata, kira-kira jam 12.30 malam, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

 

“Saya terkejut dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana arwah tidak meminta izinnya untuk keluar ke mana-mana malam semalam (kelmarin).
“Kebiasaannya, arwah akan memaklumkan kepada saya setiap kali mahu keluar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.

Meraung lihat jasad dua anak – Metro


Meraung lihat jasad dua anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohd Husni Mohd Noor dan Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HANCUR...kenderaan MPV yang dinaiki mangsa.
HANCUR…kenderaan MPV yang dinaiki mangsa.

MANJUNG: “Saya dan isteri hanya mampu meraung bila melihat jasad dua anak kami terbujur kaku berlumuran darah dan ditutup surat khabar,” kata Sulaiman Din, 42, bapa kepada Mohamad Hadi, 17, dan Badrul Isa, 19, yang maut dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di sini, malam kelmarin.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang termasuk dua beradik itu terbabas dan dirempuh sebuah treler membawa gas memasak di Batu 6, Jalan Sitiawan – Lekir, berhampiran kawasan perumahan Taman Kiara, di sini, jam 10.30 malam.
Selain Mohamad Hadi dan Badrul Isa, empat lagi penumpang kenderaan itu yang terbunuh di tempat kejadian ialah Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.

 

Pemandu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini.
Sulaiman berkata, sejurus tiba di tempat kejadian dia terpaksa memeluk dan menghalang isterinya, Norakmar Osman, 44, daripada menyelak helaian akhbar yang menutupi mayat dua anak mereka kerana tidak sanggup melihat jasad yang tidak lagi sempurna.
“Darah keluar membuak-buak dari kepala anak saya, malah kulit tubuh mereka turut hancur. Saya sendiri tak sanggup melihat mereka selain hanya mampu menangis sehingga jenazah dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM),” katanya.

 

 

Kemalangan ngeri itu berlaku ketika semua mangsa baru meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir.
Tiga lagi penumpang MPV itu hanya cedera ringan manakala pemandu treler terbabit, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, dari Ayer Itam, Pulau Pinang, cedera di kaki dan kini dirawat di HSM.

 

Menurut Sulaiman, menambahkan lagi kesedihan dia dan isterinya, dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu iaitu Mohamad Shadan dan Mohd Hisam ialah anak saudara dan anak angkat mereka.
“Pada petang sebelum kejadian, dua anak saya ada memberitahu ingin ke Sitiawan bagi menyambut tahun baru. Kami memberi kebenaran kerana tidak mahu menghampakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, kata Sulaiman, isterinya menghubungi mereka kira-kira jam 10 malam meminta pulang awal kerana Mohamad Hadi perlu berkumpul di Sitiawan bagi menaiki bas mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kedah.
“Ketika isteri saya telefon, mereka mengatakan sudah bersiap sedia untuk pulang. Itulah kata-kata terakhir yang kami dengar kerana sejam telefon mereka sudah tidak dapat dihubungi,” katanya.

Bapa pilu hilang dua anak serentak – Utusan


Bapa pilu hilang dua anak serentak

IPOH 1 Jan. – Tahun 2012 yang membuka tirainya hari ini mengundang rasa pilu kepada Sulaiman Din, 42, apabila kehilangan dua anak lelaki serentak dalam nahas ngeri yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini malam tadi.

Dua anak lelaki Sulaiman iaitu Badrul Isa, 19, dan Mohamad Hadi, 17, serta anak angkatnya, Mohd. Hisam, 22, adalah antara tujuh penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream yang maut dalam tragedi itu.

Sulaiman memberitahu, Mohamad Hadi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 di Lekir, sepatutnya melaporkan diri dan menaiki bas di Sitiawan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

“Kemalangan ini sungguh memilukan kami sekeluarga. Ini adalah ketentuan takdir dan saya reda dengan pemergian mereka,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, tujuh remaja termasuk dua beradik itu terbunuh apabila MPV yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler ketika kebanyakan rakyat sedang menantikan detik menyambut tahun baru 2012.

Sementara itu, kemalangan tersebut menemukan Sulaiman dengan keluarga kandung Mohd. Hisam yang menjadi anak angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Sulaiman berkata, Mohd. Hisam tinggal dengan keluarganya sejak lima bulan lalu kerana bekerja di tempat yang sama dengan anaknya, Badrul di sebuah syarikat membuat kapal gerudi minyak di sini.

“Sebelum ini, saya tidak pernah berjumpa dan hanya bercakap dalam telefon dengan bapa kandung Mohd. Hisam, Mat Zaki Abd. Rahman. Selepas kejadian ini, barulah kami bersua muka,” katanya.

Mat Zaki, 58, pula memberitahu, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa anaknya pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan terus bertolak dari Jeli, Kelantan dan sampai di sini pukul 7 pagi ini.

Katanya, Mohd. Hisam merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik dan belajar di Yemen sejak berusia 16 tahun.

“Dia pernah berkahwin tetapi telah bercerai. Hasil perkahwinan itu, dia mempunyai seorang anak berusia setahun,” katanya.

Sementara itu, Yusuf Said, 46, bapa kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Shafik Redzuan, 16, tidak menyangka keengganan anaknya itu membeli pakaian sekolah baru merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya suruh dia pergi beli baju sekolah baru kerana sekolah akan bermula tidak lama lagi tetapi dia cakap tidak perlu kerana baju lama masih boleh dipakai,” katanya.

(Tolong pakai mgshot Yusuf Said)