Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along – Bernama


Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along

25 Mac 2013
Omar Osman
Omar Osman

KUALA LUMPUR – Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau ‘Along’ dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

“Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – Bernama

Mulai esok, harga barangan asas seragam di Semenanjung, Sarawak, Sabah – Bernama


Mulai esok, harga barangan asas seragam di Semenanjung, Sarawak, Sabah

 

KUCHING 28 Feb. – Bermula esok, harga barangan keperluan asas di Sarawak, Sabah dan Labuan diseragamkan dengan Semenanjung di bawah program 1Malaysia 1Harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara barangan keperluan asas yang akan diseragamkan harganya ialah gula, minyak masak dan tepung gandum kegunaan am.

“Selain itu penyeragaman ini akan turut melibatkan 304 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), 89 produk COOP 1Malaysia, dan 69 produk keluaran Fama.

“Penyeragaman ini berjaya kita lakukan apabila kerajaan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung ke Sarawak, Sarawak, dan Labuan termasuk penghantaran barangan keperluan ke kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi peruntukan sebanyak RM386 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program 1Malaysia 1Harga dan perasmian KR1M di Medan Hamidah di sini, hari ini.

Mengulas perkara itu, Ismail Sabri berkata, program 1Malaysia 1Harga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya di Sarawak, Sabah dan Labuan bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

“Melalui penyeragaman ini juga, peniaga tiada alasan lagi untuk menaikkan harga barangan keperluan kerana kos penghantaran yang menjadi antara sebab kenaikan harga barang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Untuk memastikan penyeragaman ini berjaya, kita akan buat pemantauan, dan dalam masa sama kita minta orang ramai (pengguna) turut membuat laporan berkaitan harga barangan yang telah diseragamkan itu. Pengguna perlu mainkan peranan dengan beritahu kita, pengguna perlu lindungi diri dan jangan terima saja apa yang berlaku,” katanya.

Menjawab soalan berhubung tindakan yang bakal diambil ke atas peniaga yang gagal menurunkan harga barang keperluan itu, Ismail Sabri berkata tiada akta khusus yang membolehkan tindakan diambil sebaliknya tindakan menyenarai hitam peniaga dan menghentikan pengedaran barang kepada peniaga boleh dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan cadangan membina 57 KR1M di Sarawak, Sabah dan Labuan.

“Tahun ini, kerajaan bercadang membina 57 buah KR1M lagi di Sarawak, Sabah dan Labuan. Ketika ini di Sarawak ada empat buah KR1M, tiga buah di Sabah, baki 54 KR1M lagi sedang dalam proses perancangan dan pembangunan,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130228/dn_60/Mulai-esok-harga-barangan-asas-seragam-di-Semenanjung-Sarawak-Sabah#ixzz2MBisANwX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Didik pelajar sekolah banteras cetak rompak – Utusan


Didik pelajar sekolah banteras cetak rompak

BERA 24 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan program Kids@Kepenggunaan bagi mendidik pelajar sekolah membanteras amalan cetak rompak dan menyerapkan kepentingan perlindungan harta intelek.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merupakan kesinambungan Kempen Membanteras Cetak Rompak yang dianjurkan Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu pada 2010.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke sekolah sepanjang tahun ini bertujuan memberi pengetahuan kepada golongan tersebut mengenai keburukan cetak rompak.

“Program ini merupakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperluaskan lagi perlindungan hak cipta ke atas karya dan hasil ciptaan pereka terbabit.

“Langkah itu dilihat dapat menangani masalah berkaitan cetak rompak pada peringkat akar umbi yang bermula dari peringkat sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan program Kids@Kepengggunaan 2013 Gerak Gempur Cetak Rompak di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130225/dn_16/Didik-pelajar-sekolah-banteras-cetak-rompak#ixzz2Lu5UVuGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar kurang terlibat dalam Kelab Pengguna Sekolah – Utusan


Pelajar kurang terlibat dalam Kelab Pengguna Sekolah

Oleh HASHNAN ABDULLAH

DENGKIL 23 Okt. – Pembabitan pelajar sekolah menengah dalam Kelab Pengguna Sekolah (KPS) sehingga kini dianggap terlalu kecil iaitu sekitar 73,000 orang sahaja berbanding jumlah keseluruhannya lebih 2.3 juta pelajar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak sepatutnya terjadi berikutan inisiatif penubuhan kelab itu telah dimulakan sejak 1992 lagi.

”Saya anggap (penglibatan pelajar) masih kecil berbanding 2.3 juta pelajar sekolah menengah yang ada di seluruh negara,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121023/dn_22/Pelajar-kurang-terlibat-dalam-Kelab-Pengguna-Sekolah#ixzz2A7Bn7DDf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua acara untuk kanak-kanak di Fiesta Bera – Kosmo


Dua acara untuk kanak-kanak di Fiesta Bera

BERA – Dua acara menarik akan diadakan khusus bagi golongan kanak-kanak pada Fiesta Bera di sini pada 4 hingga 6 Oktober depan.

Acara tersebut ialah pertandingan Imam Cilik@Bera dan Futsal Cilik yang dibuka kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tahzir Hussain, berkata, kedua-dua program itu diilhamkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

“Imam Cilik@Bera merupakan pertandingan yang menguji tahap kemampuan bercerita kanak-kanak tentang topik-topik berkaitan keagamaan selain kemampuan mereka melaungkan azan.

“Pertandingan itu terbuka kepada kanak-kanak lelaki berusia di bawah 12 tahun dan saringan akan diadakan pada 5 Oktober,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tahzir berkata, Futsal Cilik pula bakal disertai oleh kanak-kanak yang berusia di bawah tujuh tahun dan saringan bakal diadakan pada 6 Oktober.

“Kedua-dua acara itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memeriahkan lagi Fiesta Bera kali ini. Kita juga berhasrat menjadikannya acara tetap pada masa depan,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui mengenai acara tersebut boleh menghubungi talian 012-247 3105 dan 012-284 6811.