Keperluan dan lokasi jadi kriteria bina Sekolah Wawasan – Bernama


Keperluan dan lokasi jadi kriteria bina Sekolah Wawasan

01/12/2011 5:51pm

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. — Kerajaan akan memastikan sama ada terdapat keperluan dan lokasi yang sesuai sebelum menambah bilangan kompleks Sekolah Wawasan, yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pembinaan kompleks Sekolah Wawasan hanya akan dibuat di kawasan yang mempunyai bilangan penduduk Melayu, Cina atau India yang tinggi.

“Secara idealnya, kita kena mendapat satu tempat yang mana populasi terdiri daripada pelbagai kaum, sebab itu ada kawasan yang hanya ada SK dan SJKT yang mana dua kaum ini mempunyai jumlah agak besar dalam kawasan berkenaan.

“Tetapi untuk mendapatkan satu tempat yang mana ada populasi tiga kaum ini tidak mudah, sebagai contoh di USJ (kompleks Sekolah Wawasan USJ15) mempunyai populasi Melayu, Cina dan India seimbang, jadi kita buat dan tiada masalah.

“Kalau kita buat di Kelantan, mungkin masyarakat India tidak ramai, jadi tidak ada keperluan untuk membinanya, dan ia bukan satu kegagalan cuma harus melihat kepada tempat yang sesuai,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) yang bertanya mengenai kekangan dan halangan yang dihadapi untuk membina lebih banyak Sekolah Wawasan.

Ka Siong berkata, sehingga kini, kementerian sudah membina enam kompleks Sekolah Wawasan di seluruh negara, dan berdasarkan kajian, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat tempatan serta guru menyokong konsep sekolah itu.

Menurut Ka Siong, konsep Integrasi Nasional juga mampu diwujudkan di sekolah sedia ada melalui program Rancangan Integrasi Untuk Perpaduan yang diperkenalkan pada 1985 dan diguna pakai semula lima tahun lepas. — Bernama