Semashur sekolah terbaik SBP tiga tahun berturut-turut – Utusan


Semashur sekolah terbaik SBP tiga tahun berturut-turut

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) berjaya muncul sebagai sekolah terbaik kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk tiga tahun berturut-turut dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan hari ini.

Menurut Pengetuanya, Siti Rogayah Yahya, kejayaan itu berdasarkan pencapaian 1.02 Gred Purata Keseluruhan (GPK) serta 87.9 peratus daripada 157 calon pelajarnya yang lulus 100 peratus dan mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Tambah membanggakan, Semashur juga merupakan sekolah terbaik bagi peringkat negeri Selangor. Pencapaian cemerlang ini sudah tentu menggembirakan seluruh warga sekolah bukan sahaja pelajar terlibat tetapi juga para guru yang telah berusaha keras menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan prestasi pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_03/Semashur-sekolah-terbaik-SBP-tiga-tahun-berturut-turut#ixzz2FYzK0ddK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kolej Tunku Kurshiah terus cemerlang sebagai sekolah terbaik – Bernama


Kolej Tunku Kurshiah terus cemerlang sebagai sekolah terbaik

19 Disember 2012

SEREMBAN – Kerjasama erat antara pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta persatuan bekas pelajar adalah antara faktor Kolej Tunku Kurshiah (TKC) terus cemerlang, menjadi antara sekolah terbaik di negara ini.

Pengetua TKC Che Kamaliah Endud berkata ketiga-tiga pihak ini bekerja sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan setiap pelajar kolej ini sentiasa diberi bantuan dan semangat untuk fokus dan menjadi yang terbaik.

“Kami bekerjasama rapat di mana semuanya memainkan peranan memandangkan ketiga-tiga komponen utama ini memahami tanggungjawab dan skop masing-masing untuk mencapai matlamat yang dituju. Saya berharap jalinan kerjasama ini akan terus diamalkan setiap masa bukan saja dari segi akademik, malah pelbagai bidang lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

TKC muncul senarai teratas 15 buah sekolah terbaik di Negeri Sembilan dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Daripada 108 orang pelajarnya, seramai 93 orang mendapat 8A dalam semua mata pelajaran.

Sementara itu, katanya, TKC akan berpindah ke Bandar Enstek, Nilai pada 1 Januari 2013. Di samping program aliran perdana, TKC akan memulakan dua program baharu — program International Bacalaurette Diploma untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Middle Year Programme International Bacalaurette untuk pelajar tingkat satu dan lima.- Bernama