Surah Yasin permudah ulang kaji – Metro


Surah Yasin permudah ulang kaji

 20  8 Google +0  0  0

Melaka: “Setiap pagi selepas solat Subuh, saya membaca surah Yasin supaya segala ilmu dipelajari akan mudah difahami dan sering mengamalkan solat hajat pada waktu malam,” kata Muhammad Nabil Salim, 18, yang memperoleh keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Menurut pelajar Sekolah Menengah (SM) Muzaffar Syah itu, usaha dan tawakal perlu seiringan bagi memastikan diri tidak terpesong ke laluan lain.
Muhammad berkata, dia gemar melakukan ulangkaji dan latihan secara berulang kali kerana dianggap lebih mudah untuk difahami.

 

“Apabila membaca, saya akan memastikan diri ini memahami apa yang dibaca itu dan turut cuba membayangkannya supaya tidak mudah lupa.
“Jika ada rakan yang kurang faham sesuatu pelajaran, saya berusaha berkongsi dengan mereka mengenai jalan penyelesaiannya. Pada waktu sama, saya lebih memahaminya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 Sekolah-Sekolah Negeri Melaka di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri Datuk Gan Tian Loo.

 

Hadir sama, Timbalannya Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Kasim Mohamad.
Pada majlis itu, 21 pelajar diumumkan mencapai gred cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran (Semua A+).

 

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur kerana segala dilakukannya dipermudahkan Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Pelajar Orang Asli dapat 8A – Metro


Pelajar Orang Asli dapat 8A

 84  0 Google +0  0  0

Pekan: “Semua kerja keras saya selama ini berbaloi dan berasa sangat gembira dengan keputusan yang diperoleh,” kata Juliana Zaszira Ismail, pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Juliana, 18, berkata, walaupun berasal dari masyarakat Orang Asli, itu tidak menghalang dirinya untuk bekerja keras dan mengulang kaji pelajaran dalam mencapai keputusan terbaik dalam SPM.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan itu berkata, selain kerja keras dia turut menanam semangat tiada perkara yang mustahil jika seseorang berazam untuk berjaya.

 

“Saya dan keluarga gembira dengan keputusan peperiksaan hari ini (semalam), tanpa usaha gigih serta galakan keluarga, guru dan rakan pasti kejayaan ini tidak dapat dicapai,” katanya.
Resipi kejayaannya, anak pemandu lori dari suku Jakun itu berkata, dia sering membuat ulang kaji terutama seminggu sebelum peperiksaan bermula. “Kadangkala saya habiskan masa di sekolah dan balik lewat untuk ulang kaji dan semua ini saya lakukan demi membuktikan pelajar Orang Asli juga mampu mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang turut mendapat motivasi daripada kejayaan kakaknya yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak – Sinar Harian


Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2013
Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak
Abdul Padzil dan Hairuslina gembira dan terharu melihat keputusan peperiksaan arwah anak mereka.

REMBAU – “Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anak keempat kami ini menjadi pengubat rindu pada arwah yang sudah berusaha sehabis baik dalam mengejar cita-citanya menjadi guru seperti kami.

Kata bapa calon STPM 2012, Abdul Padzil Che Mohd Azizi, 52, ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, dekat sini, semalam.

Menurut Abdul Padzil, sekiranya anaknya masih hidup, keputusan peperiksaan itu pasti akan menggembirakannya.

“Arwah berjaya mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.34 di mana dua subjek yang digemari arwah iaitu Sejarah dan Ekonomi berjaya mencatatkan keputusan A. Malah, sebelum arwah meninggal, arwah sempat menyatakan hasrat menjadi guru Ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Hairuslina Abdul Rahman, 52, yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail berkata, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat dan dia juga tidak mengadu sakit.

Cuma arwah ada cakap tidak larat mahu menulis semasa menjawab peperiksaan bagi kertas Pengajian Am 2 dan Bahasa Malaysia 2.

“Bagaimanapun, jika diteliti kembali 100 hari sebelum arwah meninggal dunia, arwah rupanya-rupanya sudah menunjukkan tanda,” katanya.

Sinar Harian 26 Disember lalu melaporkan kisah pelajar harapan sekolah, Muhammad Hazwan, 19, yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di kediaman mereka di Kampung Seberang Batu Hampar, kira-kira jam 12.45 tengah hari, 24 Disember lalu.

Dia disahkan meninggal dunia setelah seminggu selesai menduduki peperiksaan STPM akibat paru-paru berair.

Keputusan SPM diumum Khamis ini – Bernama


Keputusan SPM diumum Khamis ini

15 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumum pada Khamis ini, dan calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, keputusan calon persendirian akan dimaklum melalui pos.

Calon SPM 2012 juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini, dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Mac,” katanya.

Sementara itu, pengumuman analisis keputusan SPM akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 9 pagi hari yang sama.

Peperiksaan bertulis SPM diadakan dari 5 Nov hingga 6 Dis tahun lepas dengan seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat di seluruh negara. – Bernama

45,054 calon dapat 5A UPSR 2012 – Bernama


45,054 calon dapat 5A UPSR 2012

2012/11/19 – 10:18:19 AMCetakEmel Kawan
PENGARAH Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na'imah Ishak menunjukkan Laporan Pengumuman Keputusan Peperiksaan Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi IsmailPENGARAH Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na’imah Ishak menunjukkan Laporan Pengumuman Keputusan Peperiksaan Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di Putrajaya, hari ini. – Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Seramai 45,054 calon UPSR (8.94 peratus) berjaya memperoleh 5A, penurunan sebanyak 0.54 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi 27,681 (10.61 peratus) calon bandar dan 17,329 (7.51 peratus) calon luar bandar.

Perkara itu diumumkan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na’imah Ishak di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pencapaian keseluruhan calon UPSR juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 pada 2011 kepada 2.31 pada tahun ini.

Keputusan SPM 21 Mac – Metro


Keputusan SPM 21 Mac

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan diumumkan pada 21 Mac ini dan semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, semalam berkata, 468,808 calon menduduki SPM tahun lalu, membabitkan 412,028 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian (7,155).
Ia turut membabitkan 7,925 calon sekolah menengah agama negeri; sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian (10,750), sekolah menengah agama rakyat (1,737) dan calon persendirian 29,213.

 

“Semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.
“Calon juga menyemak melalui mySMS dengan menaip SPM jarakkan, nombor kad pengenalan, jarak, nombor angka giliran dan hantar ke 15888,” katanya.

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan – Bernama


Keputusan STPM diumumkan Rabu depan

2012/03/01

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. – BERNAMA

MAKJ diumum sekolah terbaik empat peperiksaan – Sinar Harian


MAKJ diumum sekolah terbaik empat peperiksaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
Pelajar-pelajar-cemerlang--SMAKJ-Kluang-menunjukkan-sijil-peperiksaannya-yang-diperoleh-dalam-peperi

KLUANG – Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) Kluang diumumkan sekolah terbaik dalam empat peperiksaan utama peringkat sekolah agama negeri ini melibatkan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pengumuman keputusan SMA, SMRA, dan SIB itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di SMAKJ, Kluang sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan di sini, semalam.

Sekolah berkenaan cemerlang hampir 100 peratus dan mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) paling baik di setiap peperiksaan terutama dalam peperiksaan SMA, SMRA dan SIB.

GPS yang diterima untuk ketiga-tiga peperiksaan tersebut ialah 1.37, 1.38 dan 2.14 yang mana menunjukkan peningkatan jika mahu dibandingkan keputusan GPS yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Menurut Guru Penolong Kanan Akademik, Yatimah Subni berkata, pada tahun ini sekolah SMAKJ sangat bertuah kerana dapat memperoleh kecemerlangan 100 peratus dan pelajar yang mendapat keseluruhan ‘A’ juga semakin bertambah.

“Pelbagai program dijalankan bagi memastikan para pelajar yang menghadapi peperiksaan ini mendapat keputusan yang cemerlang. Antara program tersebut adalah program motivasi yang mana pihak sekolah akan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar di awal
tahun.

“Selepas itu, pelajar-pelajar ini akan diberikan latihan menjawab soalan melalui program teknik menjawab peperiksaan yang mana latihan diberi sebelum pelajar menghadapi peperiksaan percubaan dan dua minggu diambil untuk melatih para pelajar tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Yatimah berkata, selepas peperiksaan percubaan pelajar turut didedahkan dengan program Gerak Gempur yang mengambil masa selama sebulan sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar.

“Dalam pada itu, yang membuatkan sekolah ini berlainan adalah kami mengadakan program makanan tambahan yang mana para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan ini akan diberi makanan tambahan seperti susu dan kismis selama dua bulan sebelum menjelang peperiksaan.

“Malah, pemberian makanan tambahan tersebut akan diberikan sehingga pelajar tersebut habis menduduki peperiksaan. Kita percaya dengan pemakanan yang baik akan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.