Remaja didakwa bunuh gadis – Metro


Remaja didakwa bunuh gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun (gambar) dihadapkan ke Mahkamah Juvana Johor Bahru di sini, semalam atas tuduhan membunuh gadis seusianya yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 11 Januari lalu.

Tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian remaja perempuan itu pada jam 9.30 pagi di kediaman keluarga mangsa di Kempas di sini.
Ketika sebutan kes semalam, tertuduh berkemeja-T gelap dan berseluar paras lutut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret, Md Isa Mohamed. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Isa menetapkan 15 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil. Selepas selesai sebutan kes, remaja berkenaan dilihat dipujuk bapanya di kamar mahkamah sebelum dibawa polis meninggalkan mahkamah. Pada 11 Januari lalu, C Sivaranjini, 17, dibunuh kejam di rumahnya di Jalan Dataran 4/5, Taman Kempas di sini, antara jam 8 hingga 10 pagi.

 

 

Ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM tinggal bersendirian kerana bapanya, P Chandran, 42 dan ibunya, M Rani, 40, keluar bekerja di Singapura manakala dua adiknya bersekolah.
Difahamkan, seorang lelaki memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dan melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak di belakang rumah, selepas mengelar leher mangsa dan menikamnya beberapa kali.

 

Pada hari sama, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis Johor untuk menahan reman tiga lelaki berusia 17 hingga 49 tahun selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Remaja tunggu keputusan SPM mati dikelar – Bernama


Remaja tunggu keputusan SPM mati dikelar

2012/01/11

JOHOR BAHRU: Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati dengan kesan kelar di leher di rumahnya di Taman Kempas di sini, hari ini.

C Sivaranjini, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, di sini, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik tidur oleh bapanya sejurus pulang dari tempat kerja di Singapura pada 10 pagi.

Mangsa berseorangan di rumah ketika kejadian kerana ibunya turut bekerja di Singapura dan dua adik lelakinya sedang bersekolah.

Siasatan awal polis mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dan kemudian bertindak mengelar leher Sivaranjini dengan objek tajam sebelum melarikan diri menaiki motosikal.

Berdasarkan maklumat awam, polis mengesan dan menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 50 tahun di Kempas, Pasir Gudang dan Senai.

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata siasatan terperinci berhubung motif sebenar kejadian itu sedang dijalankan.

“Suspek akan mula ditahan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat. – BERNAMA