Keputusan SPM di Melaka menurun – Sinar Harian


Keputusan SPM di Melaka menurun

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013

MELAKA – Seramai 21 pelajar di Melaka memperoleh A+ dan 409 mendapat A bagi semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, semalam.

Pencapaian itu sedikit menurun berbanding 428 pelajar mendapat keseluruhan A pada 2011.

Pengarah Pelajaran Negeri, Kasim Mohamad berkata, pencapaian gred purata negeri mencatatkan 5.01 peratus berbanding 2011 (4.91).

Menurutnya, seramai 12,357 (93.24 peratus) daripada 13,253 pelajar sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berjaya mendapat sijil iaitu lulus bahasa Melayu.

Terdahulu, seramai 15,934 calon di negeri itu mendaftar bagi SPM dan 13,380 adalah calon daripada sekolah KPM dengan membabitkan 1,102 petugas peperiksaan.

“Sebanyak 19 sekolah mencapai keputusan 100 peratus layak menerima sijil berbanding 21 pada tahun 2011.

“Manakala, 43 sekolah melahirkan pelajar mencapai gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding 51 pada tahun 2011,” katanya kepada media sempena pengumuman keputusan SPM di Pejabat Pelajaran Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, 74 sekolah KPM mencapai gred purata sekolah 6.75 iaitu tiga sekolah dalam kategori cemerlang, 18 kategori baik dan 53 memuaskan selain dua sekolah berpotensi.

Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah muncul sekolah cemerlang apabila 54 pelajarnya mendapat semua A selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent (M), 49 orang dan SMK Gajah Berang (43).

Antara mencapai 100 peratus layak menerima sijil melibatkan tujuh Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka selain SMK Iskandar Shah, SMK Tinggi Perempuan dan SMK Telok Mas.

Pencapaian SPM di Perak catat penurunan GPN – Sinar Harian


Pencapaian SPM di Perak catat penurunan GPN

NORMAWATI ADNAN
22 Mac 2013
Pencapaian SPM di Perak catat penurunan GPN
Muhamat Roli (kiri) menunjukkan data pencapaian SPM 2012 peringkat negeri Perak.

TAPAH – Seramai 1,183 calon daripada 39,770 yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 di Perak berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Perak, Muhamat Roli Hassan berkata, daripada jumlah itu, 41 calon berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) dalam setiap mata pelajaran, dengan lima pelajar mendapat 11A+, 22 pelajar mendapat 10A+ dan 14 pelajar mendapat 9A+.

Menurutnya, jumlah itu sedikit berbeza berbanding 2011 apabila seramai 1,064 calon memperoleh gred A dengan 42 memperoleh A+.

“Jika dilihat secara keseluruhan, pencapaian calon dalam peperiksaan kali ini menunjukkan sedikit penurunan dalam Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 0.01 kepada 5.21 berbanding 5.20 pada 2011.

“Daripada jumlah calon yang mendaftar menduduki SPM di 240 sekolah, hanya 34,946 (88.70 peratus) berjaya mendapat sijil berbanding 35,033 (89.00 peratus) pada 2011, menunjukkan penurunan 0.30 peratus,” katanya pada sidang media sempena pengumuman analisis keputusan SPM 2012 di Sekolah Menengah (SM) Sains Tapah, di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan SPM 2012 juga memperlihatkan prestasi enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu menurun sebanyak 0.27 peratus kepada 88.85 peratus berbanding 89.12.

Sementara mata pelajaran Matematik, Sains, Biologi dan Kimia masing-masing menunjukkan peningkatan antara 0.19 hingga 3.68 peratus.

“Saya yakin prestasi ini akan terus ditingkatkan kerana dari segi kualiti, 57 mata pelajaran termasuk pengajian Agroteknologi, keusahawanan, pembinaan domestik dan bahasa Punjabi mencapai kelulusan 100 peratus,” katanya.

Dalam majlis itu, Muhamat Roli turut memaklumkan, sekolah yang mencapai peratus lulus 100 peratus meningkat daripada 37 sekolah pada 2011 kepada 44 sekolah.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang muncul Sekolah Terbaik SPM 2011 berada dalam kedudukan ketiga kali ini apabila 139 calon SPM Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mencapai keputusan 100 peratus lulus diikuti SM Sains Tapah.

Selain tiga sekolah berkenaan, turut tersenarai sebagai sekolah terbaik ialah SM Sains Bagan Datoh, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng dan SM Sains Raja Tun Azlan Shah (Taiping) apabila masing-masing mencatatkan GPS antara 0.00 hingga 2.25.

Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A – Bernama


Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A

LAHAD DATU: Irene Scully Tawan, 17, pelajar Sek Men Keb Desa Kencana Felda Sahabat di sini memperoleh keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia dan terpaksa meraikannya ketika tinggal sementara di Masjid Rahman Kembara Sakti, di sini.

Dia bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya meninggalkan rumah mereka semalam atas faktor keselamatan berikutan ancaman pengganas militan dari selatan Filipina dan tinggal sementara di masjid tersebut, 3km dari rumahnya.

Irene yang bercita-cita menjadi doktor hanya dapat mengambil keputusan SPM di sekolahnya pagi tadi dengan ditemani oleh ibu bapanya.Menurut beliau, gurunya telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu semalam tetapi beliau hanya dapat mengambilnya pagi Jumaat.

Mengenai rahsia kejayaannya itu, Irene ketika ditemui di masjid tersebut berkata sikapnya yang suka bersaing antara faktor utama mendorong kejayaannya. –BERNAMA

Si kembar cemerlang – Metro


Si kembar cemerlang

 23  0 Google +0  0  0

Oleh Yusliza Yakimir dan Fazurawati Che Lah

Petaling Jaya: “Walaupun agak terkilan sedikit kerana keputusan kami tidak sama disebabkan salah satu subjek tidak dapat A+, saya tetap bersyukur kerana impian kami untuk cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tercapai.

“Saya reda apabila hanya mendapat 9A+ dan 1A, tetapi berbangga dengan kakak yang juga kembar saya apabila dia berjaya memperoleh 10A+,” kata Nur Husnina Mohamed Zamry, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Sri Aman, di sini.
Nur Husnina dan kembarnya, Nur Azmina antara 47 daripada 221 pelajar sekolah berkenaan yang memperoleh keputusan SPM cemerlang.

 

Menurut Hasnina, mereka bersyukur dilahirkan sebagai pasangan kembar kerana membolehkan mereka melakukan kerja bersama-sama termasuk mengulangkaji pelajaran.
“Kakak (Nur Azmina) yang banyak membantu saya ketika mengulang kaji pelajaran, malah dia yang sentiasa menunggu saya untuk sama-sama belajar bagi memastikan tidak ada antara kami tercicir.
“Nur Azmina juga selalu memastikan kami melakukan kerja sekolah bersama dan sekiranya dia yang siap dulu, kerja sekolah untuk yang seterusnya dia akan menunggu saya,” katanya.

 

Mengulas mengenai cara belajar, mereka tidak gemar membaca buku dan hanya memberi tumpuan kepada ulang kaji dengan menjawab soalan kerana melalui kaedah itu pembelajaran menjadi lebih mudah.
Kata Nur Azmina, mereka juga tidak gemar bangun pada pagi untuk ulang kaji dan hanya akan belajar selepas Maghrib sehingga jam 12 tengah malam saja.

 

“Bagi subjek yang kurang faham, kami cepat-cepat rujuk kepada cikgu dan rakan-rakan, malah kami bernasib baik kerana rakan banyak membantu sekiranya kami berdua tidak hadir ke sekolah kerana terbabit dengan aktiviti kokurikulum,” katanya.
Katanya, mereka juga berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa kerana banyak memberi sokongan dan nasihat untuk menjadi contoh baik kepada dua lagi adik-beradik mereka.
Mereka yang bercita-cita menjadi akauntan kini mengikuti persediaan program Matrikulasi Australia di Kolej Intec Education untuk pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) Australia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Najwa Latif gembira dapat 4A – Metro


Najwa Latif gembira dapat 4A

 29  4 Google +1  0  0

Batu Pahat: Artis remaja popular Najwa Latiff, 18, gembira apabila dimaklumkan memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 diumumkan, semalam.

Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Temenggong Ibrahim itu lega kerana keputusan itu melebihi sasaran awalnya iaitu 3A dan kini berharap dapat melanjutkan pelajaran.
Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif yang terkenal menerusi lagu ‘Cinta Muka Buku’ dan ‘Kosong’ mewakilkan kakaknya, Syafikah Latiff untuk mengambil keputusan peperiksaannya di sekolah, semalam.

 

Menurut Najwa, dia mengambil aliran Sains Tulen di sekolah itu dan memperoleh 4A daripada 10 mata pelajaran diambil.
“Saya mendapat A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Matematik dan lulus enam subjek lain.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana hanya menyasarkan 3A sebelum diumumkan. “Saya cuba mendapatkan keputusan melalui online (dalam talian), tetapi tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Najwa antara 192 pelajar sekolah itu yang mengambil keputusan SPM diumumkan semalam bermula jam 10 pagi.
Menurutnya, dia mengetahui keputusannya itu selepas diberitahu Syafikah melalui panggilan telefon sebaik menerima salinan keputusan daripada pihak sekolah.

 

Berikutan kejayaan itu, Najwa diberikan hadiah oleh kakak dan ibunya selain jamuan kecil bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016 – Muhyiddin – mStar


Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016 – Muhyiddin

Oleh SARBAN SINGH

PORT DICKSON: Cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dilaksanakan seawal 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat.

Pelajar yang gagal Bahasa Inggeris tidak akan menerima sijil penuh tetapi mempunyai peluang untuk menduduki semula kertas peperiksaan pada Julai tahun berikutnya, sejurus selepas keputusan SPM diumumkan.

Muhyiddin berkata dalam persediaan ke arah itu, Kementerian Pendidikan telah mula melatih 61,000 guru Bahasa Inggeris supaya mereka menjadi lebih mahir dalam bahasa ini.

Beliau berkata banyak pihak telah memberi maklum balas positif terhadap perkara ini apabila beliau mula mencetuskan idea ini beberapa tahun lalu.

“Saya tidak lihat mengapa ini tidak boleh dilakukan berdasarkan orang ramai, termasuk ibu bapa, yang menyokong cadangan itu.

“Saya juga telah membaca surat yang dihantar kepada akhbar-akhbar di mana ramai ibu bapa mengesahkan (cadangan) ini. Malah, ramai mahu perkara ini dilaksanakan dengan segera,” katanya pada Majlis Perasmian Program Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Literasi Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa dekat sini, Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata latihan guru Bahasa Inggeris adalah di bawah gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan (2013-2025).

“Gelombang kedua akan bermula pada 2016 dan ia adalah apabila kita mencadangkan ketetapan lulus bahasa Inggeris,” katanya, sambil menambah kementerian sekali lagi akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sebelum melaksanakannya.

Muhyiddin berkata penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar juga bertambah baik sejak kerajaan mula menggalakkan penggunaannya beberapa tahun lalu.

“Saya diberitahu berdasarkan kurikulum SPM sedia ada, hanya 20 peratus pelajar gagal bahasa Inggeris setiap tahun.

“Dengan itu, kita yakin akan dapat mengurangkan angka ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan komited menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah bagi memastikan rakyat mempunyai penguasaan yang lebih baik.

Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian – Metro


Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012
Remaja maut ketika ke KL saksi Malaysia lawan Thai
Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di km 55.9 Jalan Pontian-Johor Bahru, dekat Taman Pontian Jaya, disini, malam kelmarin.
Mohd Sauki Amri Hassan
Arwah, Mohd Sauki Amri Hassan, 17.

PONTIAN – Hajat seorang remaja menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Malaysia menentang Thailand bersama rakannya malam kelmarin tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas di kilometer 55.9 Jalan Pontian-Johor Baharu, berhampiran Taman Pontian Jaya, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, motosikal yang dibonceng Mohd Sauki Amri Hassan, 17 bersama rakannya, Mohd Raushad Azhar, 17, dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika hendak membelok ke kanan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain.

Mohd Sauki Amri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Raushad yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Bapa arwah Mohd Sauki Amri, Hassan Khalid, 51 berkata, anaknya itu baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 25 November lalu.

Menurutnya, pada pagi hari kejadian, Mohd Sauki yang merupakan anak keenam dari lapan beradik itu keluar bermain sepak takraw.

“Tiada perubahan yang ketara pada arwah, saya tak sangka kelmarin adalah hari terakhir dia bersama saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Sungai Bunyi, di sini, semalam.

Hassan yang tidak dapat menahan kesedihan memberitahu anaknya itu ada berhajat untuk melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran selepas mendapat keputusan SPM kelak.

“Saya terkejut apabila seorang rakan arwah datang ke rumah memberitahu mengenai Amri terlibat dalam kemalangan.

“Ketika diberitahu, saya seolah-olah tidak percaya kerana arwah baru saja keluar 30 minit dan masih lagi terbayang kata-katanya yang meminta izin daripada saya untuk keluar dari rumah,” katanya.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Wakaf, Jalan Medan Sari, selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, menurut rakan karib arwah, Fakrul Faiz Abd Rahman, 17, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihat di depan mata melibatkan dua rakannya.

“Saya lihat ada kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan menuju ke restoran, ketika itu saya tidak terlintas di fikiran Amri dan Raushad akan terlibat dalam kemalangan itu.

“Namun setelah menghampirinya, saya terkejut melihat nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang Raushad,” katanya.

Fakrul Faiz berkata, dia, Amri, Raushad dan seorang lagi rakan Mohd Nor Azwan, biasanya akan keluar menonton perlawanan bola sepak bersama di sebuah restoran di Taman Pontian Jaya.

“Pada petang itu, saya ada menghubungi Amri untuk ajaknya keluar bersama-sama bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Malaysia bertemu Thailand,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu salah sebuah kenderaan yang melanggar mangsa dilaporkan melarikan diri, dan polis kini sedang berusaha menjejakinya.

Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan – Bernama


Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan

31 Mac 2012

BESUT – Fatin Hamimi Abdullah, 17, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Terengganu yang memperoleh 11A+ ditawar mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di bawah Program Sakit Puan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Jika menerima tawaran itu, Fatin Hamimi dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut, akan memulakan pengajian di Universiti Sains Teknologi Jordan pada September ini.

Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman kepada Fatin Hamimi di rumahnya di Kampung Gong Manak, Kuala Besut di sini hari ini.

Anak kedua daripada enam beradik pasangan guru itu memperolehi A+ dalam Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Pelajar itu akan diminta mengikuti kursus permulaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu selama sebulan dari 4 Jun hingga 5 Julai sebelum berlepas ke Jordan pada September.

Wan Harujan berkata pihaknya memilih pelajar itu setelah mendapatinya seorang yang konsisten dengan pencapaian cemerlang semasa ujian akhir di sekolah sehinggalah keputusan SPM sebenar.

Katanya, Fatin Hamimi antara tiga pelajar dari negeri ini yang ditawarkan  mengikuti kursus tersebut sebagai usaha kerajaan negeri untuk melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang sakit puan.

Menurutnya, ini kali kedua Maidam menawarkan peluang itu dengan kumpulan pertama tiga pelajar cemerlang SPM telah menerima tawaran sama tahun lalu.

Sementara itu, Fatin Hamimi yang terkejut dengan tawaran itu berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus perubatan di Jordan sebagaimana yang dicita-citakannya selama ini.

Dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap merealisasikan hasratnya menjadi pakar sakit puan yang dapat memberi khidmat kepada golongan memerlukan. – Bernama

SPM: Terengganu kekal momentum cemerlang – Bernama


SPM: Terengganu kekal momentum cemerlang

2012/03/21

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mengekalkan momentum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang selama empat tahun berturut-turut, kata Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin.

Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2011 negeri itu meningkat kepada 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada 2010.

“Pencapaian itu mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 peratus dan rekod pencapaian ini ADALAH yang terbaik dalam tempoh empat tahun seperti juga rekod pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

“Saya percaya peningkatan GPN ini antaranya disebabkan penumpuan calon terhadap mata pelajaran yang diambil setelah dasar menghadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan penambahan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan itu,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM negeri di sini hari ini.

Hashim berkata, pencapaian calon SPM tahun lalu pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti apabila seramai 408 calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Di KUALA LUMPUR seramai 41 calon mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 25 calon pada 2010, dan dua daripada 55 calon istimewa mendapat keputusan cemerlang dengan masing-masing mendapat 4A+, 2A dan 3A- (calon rabun), dan 3A+, 4A, 2A- (calon kecacatan lain).

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang, berkata sebanyak 1,002 calon tahun lalu memperoleh gred cemerlang (A+,A, A-) berbanding 792 calon pada 2010.
“Ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Pencapaian calon SPM bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 4.64 berbanding 4.71 pada tahun 2010 dan mengatasi GPN Nasional.

Di PULAU PINANG, seramai 57 calon mendapat gred terbaik A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada tahun 2010, kata Pengarah Pelajaran negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

Seorang murid berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong yang mengalami masalah autisme, George Lee Kean Yan, berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 2A, 4B+ dan 3B.

Beliau berkata, seramai 850 calon tahun lalu berjaya memperoleh gred cemerlang (A dan A-) berbanding 819 pada 2010.

“Keseluruhan pencapaian calon pada 2011 amat membanggakan dan ia melebihi pencapaian tahun sebelumnya. Pencapaian meningkat dari segi Gred Purata Negeri serta peratusan mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Seramai 18,914 calon dari 21,383 calon yang hadir menduduki peperiksaan SPM 2011 layak mendapat sijil.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 755 calon di negeri itu cemerlang apabila memperoleh A+, A, A-, berbanding 620 orang pada tahun 2010, dengan 40 pelajar sekolah kerajaan mendapat pangkat A+ dalam semua pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata berdasarkan GPN, Negeri Sembilan menduduki tempat keempat di peringkat kebangsaan.

Di IPOH, seramai 1,064 calon negeri ini memperoleh gred cemerlang dan daripada jumlah itu 42 pelajar mendapat gred cemerlang tertinggi.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul sekolah terbaik negeri apabila mencatat kelulusan 100 peratus dengan enam pelajarnya mendapat keputusan 9A+.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Idrus Ramli, berkata sebanyak 37 sekolah di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus.

Di KOTA BAHARU, seramai 18 calon dari sembilan sekolah memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding enam pelajar pada 2010, manakala 358 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki, meningkat 80 calon berbanding 278 orang pada tahun 2010.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata seramai 36,315 calon menduduki SPM di negeri ini tahun lalu.

Di IPOH, seramai 1,064 calon negeri ini memperoleh gred cemerlang dan daripada jumlah itu 42 pelajar mendapat gred cemerlang tertinggi.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul sekolah terbaik negeri apabila mencatat kelulusan 100 peratus dengan enam pelajarnya mendapat keputusan 9A+.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Idrus Ramli, berkata sebanyak 37 sekolah di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus. – BERNAMA

Keputusan SPM 21 Mac – Metro


Keputusan SPM 21 Mac

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan diumumkan pada 21 Mac ini dan semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, semalam berkata, 468,808 calon menduduki SPM tahun lalu, membabitkan 412,028 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian (7,155).
Ia turut membabitkan 7,925 calon sekolah menengah agama negeri; sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian (10,750), sekolah menengah agama rakyat (1,737) dan calon persendirian 29,213.

 

“Semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.
“Calon juga menyemak melalui mySMS dengan menaip SPM jarakkan, nombor kad pengenalan, jarak, nombor angka giliran dan hantar ke 15888,” katanya.