Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak – Sinar Harian


Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2013
Keputusan STPM pengubat rindu pada arwah anak
Abdul Padzil dan Hairuslina gembira dan terharu melihat keputusan peperiksaan arwah anak mereka.

REMBAU – “Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anak keempat kami ini menjadi pengubat rindu pada arwah yang sudah berusaha sehabis baik dalam mengejar cita-citanya menjadi guru seperti kami.

Kata bapa calon STPM 2012, Abdul Padzil Che Mohd Azizi, 52, ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, dekat sini, semalam.

Menurut Abdul Padzil, sekiranya anaknya masih hidup, keputusan peperiksaan itu pasti akan menggembirakannya.

“Arwah berjaya mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.34 di mana dua subjek yang digemari arwah iaitu Sejarah dan Ekonomi berjaya mencatatkan keputusan A. Malah, sebelum arwah meninggal, arwah sempat menyatakan hasrat menjadi guru Ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Hairuslina Abdul Rahman, 52, yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail berkata, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat dan dia juga tidak mengadu sakit.

Cuma arwah ada cakap tidak larat mahu menulis semasa menjawab peperiksaan bagi kertas Pengajian Am 2 dan Bahasa Malaysia 2.

“Bagaimanapun, jika diteliti kembali 100 hari sebelum arwah meninggal dunia, arwah rupanya-rupanya sudah menunjukkan tanda,” katanya.

Sinar Harian 26 Disember lalu melaporkan kisah pelajar harapan sekolah, Muhammad Hazwan, 19, yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di kediaman mereka di Kampung Seberang Batu Hampar, kira-kira jam 12.45 tengah hari, 24 Disember lalu.

Dia disahkan meninggal dunia setelah seminggu selesai menduduki peperiksaan STPM akibat paru-paru berair.