STPM: Kebanyakan negeri catat keputusan baik – Bernama


STPM: Kebanyakan negeri catat keputusan baik

18 Mac 2013
STPM
Pelajar-Pelajar SMK (P) Sultan Ibrahim gembira sambil meraikan kejayaan mereka selepas mendapat keputusan STPM 2012 di sekolah mereka di Johor Bahru hari ini – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan hari ini, dan ada di antara sekolah yang mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

Di KEDAH, sebanyak 11 sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan dengan lima daripadanya adalah sekolah kategori luar bandar manakala enam sekolah kategori bandar.

Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat dalam kenyataannya berkata 22 daripada 4,214 calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan dua daripadanya mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil.

Di KELANTAN, sebanyak 14 sekolah mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan empat pelajar dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan berbanding hanya seorang pada tahun 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hussain Awang berkata peratus kelulusan keseluruhan calon STPM pada 2012 ialah 95.12 peratus atau 5,399 calon berbanding 95.99 peratus atau 5,838 calon pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya jumlah calon yang mendapat lima prinsipal berkurangan kepada 1,248 orang atau 24.53 peratus berbanding 1,310 orang atau 24.45 peratus pada 2011.

Di JOHOR, sebanyak 34 sekolah mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 30 sekolah pada 2011 dengan seramai 5,127 daripada 5,311 (96.54 peratus) calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Mohd Nor A. Ghani berkata sekolah yang mencapai peratus keputusan tertinggi di peringkat empat dan lima prinsipal adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91 peratus); SMK Jementah, Segamat (86.67 peratus); dan SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Baharu (79.49 peratus).

Peratusan calon yang memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.49 pada 2012 adalah seramai 983 orang (18.51 peratus) berbanding 908 orang (19.06 peratus) pada 2011., katanya dan menurutnya 16 sekolah mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh.

Di TERENGGANU, keputusan STPM yang diumumkan itu menyaksikan dua pelajar negeri tersebut terpilih sebagai beberapa calon terbaik negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hashim Mohd Zin berkata seramai 2,861 orang calon (96.01 peratus) telah mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

“Pencapaian ini adalah yang terbaik berbanding dua tahun lalu dan yang lebih membanggakan setelah dua pelajar kita terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara,” katanya dalam sidang media.

Sementara di MELAKA, calon lulus penuh STPM 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.17 peratus dengan jumlah 1,198 pelajar berbanding 1,151 pada 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 644 calon berjaya memperoleh empat prinsipal iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dari segi kualiti, seramai 14 calon memperoleh PNGK 4.0 dan 425 calon memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas,” katanya kepada pemberita.

Katanya secara keseluruhan, keputusan STPM di negeri itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun daripada segi gred purata negeri (GNP) iaitu meningkat 0.05 mata kepada 2.5 berbanding 2.45 pada 2011.

Di PAHANG, pencapaian kelulusan penuh keputusan STPM di negeri itu meningkat sebanyak 2.69 peratus iaitu 96.51 peratus berbanding 93.82 peratus tahun 2011.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Rosdi Ismail berkata, peratus pencapaian lulus daripada 2,435 pelajar itu berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh 94.44 peratus.

Bagi PNGK yang mendapat keputusan tertinggi iaitu 4.0 turut meningkat daripada 11 calon pada 2011 kepada 30 calon tahun lepas, katanya.

Katanya, prestasi keseluruhan sekolah menunjukkan 20 buah sekolah daripada 49 buah sekolah berjaya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala 26 buah sekolah lagi berjaya mencapai kelulusan penuh melebihi 90 peratus.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran negeri Kalsom Khalid berkata seramai 13 orang pelajar, tiga daripada jurusan sains dan bakinya jurusan sastera memperoleh PNGK 4.00.

“Terdapat seramai 1,394 orang calon atau 94.9 peratus lulus  sekurang- kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Daripada jumlah itu sebanyak 23 lulus 5 prinsipal, 679 lulus 4 prinsipal, 318 lulus 3 prinsipal, 215 lulus 2 prinsipal dan 159 lulus 1 prinsipal,” katanya dalam kenyataan.

Di SARAWAK, seramai 5,216 orang atau 92.82 peratus calon sekolah layak mendapat sijil STPM 2012 berbanding 5,210 calon (90.96 peratus) pada 2011.

Seramai 6,017 calon telah menduduki peperiksaan tersebut di Sarawak pada 2012 iaitu 5,668 orang atau 94.20 peratus merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 349 orang (5.80 peratus) adalah calon persendirian.

Namun begitu, di PULAU PINANG, keputusan STPM menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata Pulau Pinang mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.71 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.15 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).

Di PERAK, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Muhamat Roli Hassan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus menunjukkan penurunan sebanyak 0.80 peratus berbanding pada tahun 2011 iaitu 95.81 peratus.

“Sebanyak 4,376 calon daripada jumlah keseluruhan 4,606 merekodkan kelulusan penuh. Daripada jumlah itu sebanyak 188 calon lulus lima prinsipal serta 2,152 lulus empat prinsipal,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebanyak 51 pelajar memperoleh PNGK 4.0 dengan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun 2011 manakala sebanyak 1,171 pelajar mendapat PNGK antara 3.0 dan 4.0.

Di SABAH, seramai 5,376 orang calon atau 89.41 peratus mendapat lulus penuh berbanding 88.76 peratus pada tahun 2011.

Ketika mengumumkan keputusan STPM Sabah di SMK Tansau di sini, Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip  berkata ini menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus negeri meningkat sebanyak 0.65 peratus.

Beliau berkata antara sekolah mencapai 100 peratus lulus ialah SMK Likas Kota Kinabalu, SMJK Tiong Hua, Sandakan, SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sekolah Tinggi Kota Agamam Mohd Ali, Ranau, SMK Kunak, Kunak, SM.Sung Siew, Sandakan, SMK Merotai, Tawau, SMK Segaliud, Sandakan dan SMK Weston, Beaufort.

Sementara itu, Nurul Jannah Sulaiman dari SMK Perempuan Likas muncul pelajar terbaik negeri Sabah bagi Aliran Kemanusiaan dengan PNGK 4.00 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek dan Gred A- bagi Pengajian Perniagaan.

Hong Joway dari SM La Salle muncul pelajar terbaik Aliran Sains dengan PNGK 3.92 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek. – Bernama

SMJK Chung Hwa Confucian terbaik STPM – Sinar Harian


SMJK Chung Hwa Confucian terbaik STPM

18 Mac 2013
STPM
Pelajar SMJK Chung Hwa Confucian gembira memperolehi keputusan cemerlang STPM

GEORGETOWN – Sembilan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan  (SMJK) Chung Hwa Confucian di sini, berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan  Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Shanta Sankaran, 20, satu-satunya pelajar India yang memperolehi 4A melahirkan rasa gembira kerana berjaya memperolehi keputusan itu.

Beliau berkata, keputusan STPM  adalah hadiah paling bermakna untuk dirinya dan kedua  ibu bapa yang tidak jemu memberi galakan dan sokongan moral.

“Saya bercita-cita menjadi pakar forensik sains. Saya akan melanjutkan pengajian di mana-mana di universiti tempatan dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Walaupun, pencapaian STPM di negeri ini menunjukkan penurunan 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus dengan 3,304 calon pada tahun berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus dengan 3,062 calon.

Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, Pulau Pinang tetap melakar keputusan cemerlang dalam STPM apabila peratus kelulusan secara keseluruhan berjaya mengatasi  keputusan peringkat nasional tiga tahun berturut-turut mulai 2010.

“Kita capai kelulusan 96.15 peratus manakala peringkat nasional ialah 94.44 peratus pada tahun ini.

“Kita buat perbadingan dari 2010 dan menunjukkan peratusan negeri makin meningkat,” katanya kepada media di SMJK Chung Hwa Confucian, Greenlane.

Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal,  dipilih sebagai  pelajar terbaik Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata, Navanneeta Nair Maran Nair yang cacat pendengaran memperoleh PNGK 3.00.

Sementara itu, seorang pelajar dari Pulau Pinang berjaya menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM peringkat kebangsaan.

“Aw Yeong Zhi Sheng dari SMJK Chung Ling mendapat keputusan  5A dengan PNGK 4.00.

Ahmad Tarmizi berkata, 12 sekolah di negeri ini memperolehi kelulusan 100 peratus dalam STPM 2012.

Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, SMKA Al-Irshad, SMJK Chung Ling, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Raja Tun Uda, SM Pendidikan Khas Persekutuan, SMJK Chung Hwa Confucian, SMJK Jit Sin, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar, SMK Sungai Acheh dan SMK Permatang Rawa.

Dari segi mata pelajaran, beliau berkata 12 mencatatkan peningkatan iaitu Bahasa Cina, Usuluddin, Georgrafi, Sains Sukan, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik Tambahan T, Komputing dan Seni Visual.

“Manakala 11 mata pelajaran menurun iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Ekonomi, Pengajian Peniagaan, Matematik T, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya.

STPM dirombak – Berita Harian


STPM dirombak
Oleh Noor Azlina Zainudin dan Nas Norziela Nasbah
upen@bharian.com.my
2012/03/08

DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.

DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan akhir berpusat tentukan tahap kelulusan setiap calon

SELAYANG: Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dirombak mulai tahun ini dengan keputusan atau markah yang diperoleh oleh calon akan ditentukan menerusi taksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan berpusat.

Pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon.

Penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan memperkasakan program pendidikan Tingkatan Enam.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem taksiran baru itu, tempoh pengajian Tingkatan Enam, penawaran dan sistem penggredan mata pelajaran masih sama seperti sebelum ini tetapi kandungan pengajian dipecahkan kepada tiga bahagian kurikulum untuk mengisi tiga penggal.

“PBS diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Ia akan diadakan setiap penggal atau penggal tertentu saja,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

Beliau berkata, peperiksaan bagi menilai pencapaian pelajar akan diadakan setiap hujung penggal, iaitu penggal pertama pada November tahun pertama, manakala penggal dua dan tiga masing-masing pada Jun serta November tahun kedua pengajian.
“Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM dibuat berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal,” katanya.

Mohd Noh berkata, sistem itu bakal memberi kelebihan kepada pelajar kerana selain menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, mereka akan mempelajari kandungan kurikulum berbeza pada skala kecil dalam setiap penggal.

Justeru, pelajar boleh lebih fokus menghadapi pembelajaran dan mempunyai peluang lebih besar untuk melakar kecemerlangan.

“Antara kelebihan sistem pentaksiran baru ini adalah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir setiap penggal dengan menduduki semula peperiksaan yang akan diadakan selepas keputusan peperiksaan penggal tiga dikeluarkan.

“Ini adalah kali pertama MPM memperkenalkan PBS bagi hampir semua mata pelajaran. Ini adalah sejarah bagi MPM selepas terbabit dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun dan diharap mampu memantapkan sistem penilaian agar lebih holistik serta menguntungkan pelajar,” katanya.

Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh – Utusan


Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh

07/03/2012 3:08pm

 

 

“Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB”

 

KOTA BHARU 7 Mac – Seramai 5,838 orang atau 95.99 peratus daripada 6,082 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ) 2011 di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,321 atau 54.61 peratus mendapat empat dan lima prinsipal turun sedikit berbanding 3,365 orang tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 95.99 peratus berbanding 92.18 peratus.

Katanya, peratusan kemerlangan pelajar yang memperolehi keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 54.61 peratus berbanding 45.82 peratus.

“Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mengulangi pencapaian tahun-tahun lepas di mana turut mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

“Pelajar tersebut ialah Muhammad Zulhilmi Mohd. Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu dengan memperolehi 5 Prisipal A,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN