Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia – Bernama


Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia

2013/04/09 – 14:50:40 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tidak lama lagi yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata perumahan itu akan dibina di atas tanah kerajaan dan ditawarkan pada harga antara 20 dan 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Sebagai projek perintis, sebanyak 10,000 unit kediaman berkenaan akan dibina di Putrajaya dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

“Kita juga akan mencari tanah milik kerajaan yang sesuai di bandar besar lain, termasuk di Johor Baharu untuk tujuan berkenaan,” katanya pada Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Johor di Pusat Islam, di sini hari ini.

Katanya, PPA1M bertujuan membantu penjawat awam membeli rumah di bandar besar yang pada masa kini berada di luar jangkauan kuasa membeli mereka.

“Harga rumah mampu milik akan ditawarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi serta dilengkapi segala kemudahan asas yang diperlukan,” katanya. – BERNAMA