Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda – Bernama


Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda

12 Jun 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit sendi lembek hari ini mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu yang menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak terutama semasa di sekolah.

Nur Fatihah Abdul Karim, 12, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung di Marang, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.

“Saya sungguh gembira mendapat kerusi roda baharu yang diberi kerajaan hari ini. Dengan kerusi ini bolehlah saya bergerak dengan lebih selesa kerana ia automatik,” katanya kepada pemberita ketika menerima kerusi roda yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Nur Fatihah, anak sulung dari empat beradik yang meminati Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi guru, berkata, penyakit yang dialaminya menyebabkannya lumpuh kedua-dua belah kaki serta tangan yang memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Bapa kanak-kanak itu, Abdul Karim Abdullah, 40, yang menemani anaknya menerima bantuan itu, berkata setiap hari beliau menghantar anaknya ke sekolah pada 6.30 pagi sebelum memulakan perniagaan menjual ikan di pasar-pasar minggu.

Beliau berkata sebelum ini anaknya sudah mempunyai kerusi roda biasa yang diperoleh melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang.

“Saya bersyukur mendapat bantuan ini kerana saya yang bekerja menjual ikan dengan pendapatan yang tidak menentu, tak mampu untuk membelinya sendiri,” katanya.

Ahmad pula ketika ditemui berkata pemberian bantuan kerusi roda bernilai RM5,000 itu adalah di bawah peruntukan Tabung Penyakit Kronik Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata di bawah tabung itu, kerajaan negeri menyediakan RM10 juta setahun untuk membantu rakyat yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan penyakit kronik lain.

Sebanyak RM2.5 juta lagi bagi membantu rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan seperti kaki palsu, lampin pakai buang, susu dan sebagainya, katanya. – Bernama

Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa – Sinar Harian


Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri disaran memberikan peruntukan biasiswa kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Imtiaz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sebagai galakan dan penghargaan kepada mereka untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ini tidak terikat dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sebagaimana yang kita tahu, Sekolah Menengah Imtiaz adalah produk Kerajaan Negeri Terengganu yang kita perlu pelihara. Jadi, Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan terhadap pelajar ini.

“Sebab itulah kita cadangkan supaya lepasan Imtiaz yang berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran menyambung pelajaran di bawah sokongan biasiswa Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, selain menerima insentif yang diberikan kepada pelajar tahfiz, pelajar lepasan Imtiaz juga disarankan diberi elaun sebanyak RM200 setiap bulan sebagai sagu hati dan penghargaan kepada mereka.

Muhammad Ramli turut mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa atau persatuan lepasan Imtiaz ditubuhkan bagi mengumpul kesemua pelajar lepasan Imtiaz bagi menjaga kebajikan mereka.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat empat buah Sekolah Menegah Imtiaz di negeri ini iaitu di daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Kuala Berang sementara Sekolah Menengah  Imtiaz di Kemaman masih dalam proses pembinaan.

“Sekarang, lepasan Imtiaz berada di mana-mana, ada yang sambung pengajian ke peringkat  tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara. Cuma, timbul persoalan, adakah kita mahu biarkan mereka bertebaran di merata tempat begini?

“Jadi, kita bangkitkan isu ini supaya perlu ada satu usaha bagi memastikan mereka yang hafal 30 juzuk al-Quran ini diletakkan dibawah satu pertubuhan atau alumni yang dapat menjaga kebajikan termasuklah persatuan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Ramli turut menyarankan supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada mereka yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk diambil sebagai Pegawai Tadbir Negeri (TCS).

“Seharusnya, kita mengutamakan mereka untuk menjadi pegawai tadbir kerana di samping menjadi pegawai tadbir, dalam masa yang sama mereka turut kuasai serta menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Adam pulang 15 Julai – Sinar Harian


Adam pulang 15 Julai
NOR RAIDAH AWANG
13 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kanak-kanak yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang dijadual pulang ke Malaysia 15 Julai ini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat menunjukkan tahap kesihatan anaknya semakin pulih.

Menurutnya, pada rawatan terakhir fisioterapi 9 Julai lalu, Adam menunjukkan perkembangan positif.

“Tiada komplikasi pada tempat pembedahan dan luka juga semakin pulih,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah Adam dan sumbangan orang ramai termasuklah Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebelum ini, Sinar Harian menubuhkan tabung adik Adam yang memerlukan kos pembedahan RM175,000.

Selepas liputan disiarkan, tabung Adam mendapat keprihatinan rakyat Malaysia yang simpati dengan nasibnya.

Hasrat Adam yang mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berlepas ke Amerika turut tercapai apabila Perdana Menteri menerima kunjungannya pada 8 Jun lalu.

Penderitaan Adam selama empat tahun menanggung sakit, kini kembali pulih seperti kanak-kanak lain.