UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik – Bernama


UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik
10 September 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin dapat mengembalikan status negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengarahnya, Zakaria Husin berkata, keyakinan itu berlandaskan komitmen dan persediaan mantap yang dijalankan sebelum calon menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.

“Kita mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon iaitu 22,359 orang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini.

“Sebelum ini, kita merupakan negeri yang mencapai keputusan UPSR paling cemerlang selama 11 tahun berturut-turut, namun tahun lepas kita terpaksa akur dengan negeri Kelantan yang mendahului kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi persediaan UPSR pada tahun ini dan pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri serta semua pihak terutamanya ibu bapa dalam memastikan calon mendapat keputusan cemerlang.

“Untuk persediaan peperiksaan tahun ini kita memperkenalkan modul pembelajaran yang dipanggil modul 5P2M iaitu Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular yang mana untuk murid-murid akan mendapat tiga modul satu mata pelajaran yang diambil.

“Modul yang disediakan oleh guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (Akram) ini mengandungi latihan, ujian formatif dan sumatif, latihan ini berdasarkan pembelajaran dalam kelas,” katanya.

Bagi peringkat sekolah, program bimbingan melibatkan semua pelajar diadakan bagi semua sekolah di negeri itu, manakala bagi peringkat daerah, program tutorial melibatkan 20 peratus murid di setiap daerah yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dilaksanakan.

“Bagi peringkat negeri pula, kita adakan program yang dipanggil program akademik yang mana seramai 2,500 orang murid yang terbaik di seluruh negeri terlibat dalam 20 siri kem selama 16 jam,” katanya.

Zakaria berkata, JPNT juga telah mengenal pasti punca kelemahan prestasi UPSR pada tahun lalu iaitu, kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Kita telah mengadakan pelbagai program bagi memastikan mata pelajaran tersebut tidak lagi menjadi subjek yang menjadi penghalang untuk calon mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini,” katanya.

Tinjauan Bernama ke beberapa sekolah sekitar bandar raya hari ini mendapati surau sekolah dipenuhi ibu bapa yang membaca al-Quran dan melakukan solat hajat, sebagai usaha akhir meraih kejayaan.

Ada antara ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tiga hari untuk membaca al-Quran dan solat hajat di surau-surau sekolah sementara anak mereka menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan.

Salah seorang bapa kepada calon, Mohd Hasyim Sulaiman, 50, berkata, beliau sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama ibu bapa yang lain membaca al-Quran di sekolah sementara menunggu anaknya menjawab peperiksaan.

“Segala usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dan anak saya, ini sahaja yang dapat saya bantu anak saya dan ini merupakan usaha terakhir saya sebagai seorang bapa yang sangat mengharapkan anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini,” katanya. – Bernama

Dilema dua sekolah agama – Sinar Harian


Dilema dua sekolah agama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2013
Dilema dua sekolah agama
Kelas yang musnah di bahagian bawah masih belum dibaiki berikutan kekangan modal.
Dilema dua sekolah agama
Harith menunjukkan bangunan bahagian atas dibina atas bantuan LZS dan orang ramai.
Dilema dua sekolah agama
Manikavasagam (kanan) melihat sisa bumbung yang jatuh menimpa seorang guru selepas struktur bumbung runtuh.

TANJONG KARANG – Maahad Khalifah Abd Khalip atau lebih dikenali Sekolah Agama Rakyat (SAR) Khalifah Abd Khalip yang musnah akibat kebakaran setahun lalu masih belum berganti baru sehingga menyebabkan pelajarnya menumpang belajar, tidur dan solat di madrasah berhampiran.

Pengetuanya, Harith@Haris Fadzillah, 71 berkata, pelajar sedia ada terpaksa menggunakan kemudahan yang ada di madrasah bersebelahan maahad terbabit untuk meneruskan pengajian kerana tidak mahu terus ketinggalan berikutan ketiadaan kelas.

Menurutnya, bangunan dua tingkat meliputi kelas, asrama dan bilik guru itu sehingga kini masih belum dapat digunakan memandangkan tiada bantuan modal khusus pembinaan bina semula meskipun permohonan sudah dibuat sejak setahun lalu.

“Untuk pengetahuan Sinar Harian, permohonan yang dibuat pada Oktober lalu hanya mendapat perhatian LZS untuk membantu membina bahagian tingkat atas yang musnah akibat kebakaran yang berlaku akibat litar pintas pada 17 Ogos lalu.

“LZS sudahpun meluluskan RM17,200 dan ditambah dengan kutipan derma orang ramai menjadikan kos RM20,000 untuk membina bahagian atas yang musnah selain masih memerlukan RM130,000 lagi bagi memulihkan semula keseluruhan bangunan itu,” katanya.

Beliau yang juga bekas pesara guru itu menjelaskan, pihaknya berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak pernah meminggirkan keperluan dan meluluskan permohonan dana peruntukan untuk bina semula tingkat atas yang musnah.

“Bagaimanapun, saya masih menanti kelulusan permohonan peruntukan daripada kerajaan negeri memandangkan tiada perkembangan positif diberikan sehingga ke hari ini menyebabkan saya sedih memikirkan masa depan dan kemudahan pelajar sedia ada.

“Jika dahulu, bilangan pelajar yang dihantar di sini dengan bayaran yuran hanya RM200 sebulan agak ramai namun disebabkan musibah kebakaran itu, jumlah itu semakin berkekurangan berikutan ketiadaan kelas, asrama dan kemudahan belajar yang sempurna.

“Saya bimbang hasrat arwah bapa, Fadzillah Mat Lawan yang juga bekas guru agama mengharapkan sebuah maahad dibina di atas tanah yang diwakafkan di Parit Tiga, Sungai Burong di sini tidak kesampaian hanya gara-gara pihak berkenaan terlepas pandang,” katanya.

Harith berkata, pihaknya masih menanti peruntukan kerajaan negeri dengan penuh harapan kerana banyak perancangan dibuat demi melahirkan sebuah institusi pengajian tahfiz sepenuh masa dengan penyertaan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

SRA Assam Jawa sama nasib

Sementara itu, kedaifan keadaan bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) Assam Jawa, Kuala Selangor yang  serba kekurangan dengan ruang kelas terhad bagi menampung kepadatan murid setiap tahun perlu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof, 34, berkata, keadaan bumbung yang merangkumi lima kelas termasuk bilik guru yang hampir runtuh sebelum ini tidak diberi perhatian pihak berwajib meskipun aduan dan laporan dikemukakan.

“Apabila siling dan bumbung sudah runtuh menimpa guru yang ketika itu berada di bilik guru selepas angin kuat, barulah pihak berkenaan tampil membuat lawatan sebelum memberi jaminan untuk membaiki bumbung yang rosak dalam masa terdekat.

“Saya bukan mahu menuduh sesiapa namun agak kesal kerana apabila kejadian buruk berlaku, baru ada tindakan daripada pihak berkenaan sedangkan permohonan yang dibuat sejak 2009 lalu seolah-olah dipandang sepi sahaja,” katanya.

Sarifudin yang juga Nazir Masjid al Barokah Assam Jawa itu menjelaskan, sebelum ini banyak usaha dibuat pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan dana tambahan dan peruntukan untuk membina bangunan baru dan baik pulih bangunan uzur.

“Ini kerana, ruang kelas sedia ada tidak  dapat menampung penambahan murid yang semakin ramai setiap tahun memandangkan sekolah itu satu-satunya SRA yang mempunyai kemudahan asrama sekali gus menjadi tumpuan ibu bapa luar kawasan ini.

“Pihak sekolah juga tiada pilihan lain dan terpaksa membahagikan ruang kelas yang ada sebagai bilik guru selain kemudahan kantin juga tidak dapat menampung bilangan murid yang setakat ini berjumlah 382 orang dengan jumlah guru seramai 15 orang.

“Kelas sepatutnya ada 12 bilik namun setakat ini ada satu blok sahaja dengan kapasiti 10 bilik sehingga mendorong pihak sekolah membuat permohonan kepada pihak berkenaan termasuk dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri,” katanya.

Inisiatif PIBG bantu SRA

Sarifudin berkata, beberapa usaha dan inisiatif yang diambil PIBG bagi membantu pihak sekolah seperti kerja gotong-royong pembesaran surau, bina pusat sumber dan membuat laluan alternatif kedua bagi mengelakkan kemalangan berlaku di laluan pintu utama.

“Sudah menjadi hasrat pihak sekolah dan ibu bapa untuk melihat kemudahan sekolah ini diberi perhatian pihak berkenaan kerana pemantauan berterusan amat penting bagi melancarkan perjalanan dan perkembangan akademik murid di sini.

“Saya memohon kerajaan negeri dapat memberi perhatian terhadap kemudahan sekolah ini yang masih daif dan serba kekurangan dalam menampung jumlah kehadiran murid yang semakin bertambah seiring pembangunan yang semakin rancak di daerah ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam turut bersimpati melihat keadaan sekolah agama itu yang serba daif dan kekurangan dengan bilangan murid yang ramai berbanding sekolah rendah agama lain di daerah ini.

“Kalau boleh Exco yang berkaitan dapat turun padang dan melihat sendiri kesusahan yang dihadapi pihak sekolah dalam memberi pembelajaran didikan agama kepada anak penduduk di dalam dan luar kawasan Assam Jawa.

“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berulang dan berterima kasih kepada pihak yang berkaitan yang hadir  melihat keadaan sekolah seterusnya memberi jaminan untuk membaikinya dengan kadar segera,” katanya.