Kerajaan Pahang beri RM50,000 kepada RDA bantu kanak-kanak OKU – Bernama


Kerajaan Pahang beri RM50,000 kepada RDA bantu kanak-kanak OKU

ADNAN Yaakob beramah mesra dengan penunggang kuda orang kurang upaya (OKU), Wong Jing Shuen, 17, pada majlis perasmian acara menunggang kuda bagi Persatuan Orang Cacat Malaysia (RDA) di Pusat Ekuestrian Pahang di Kuantan. Turut hadir Pengerusi RDA, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan). – BERNAMA

KUANTAN 23 Jan. – Kerajaan negeri memberikan geran pelancaran sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Menunggang Untuk Orang Cacat Malaysia (RDA) Pahang bagi menjayakan aktiviti menunggang kuda kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, geran itu bagi menyokong usaha RDA membantu kanak-kanak OKU menunggang kuda sebagai satu kaedah pemulihan diri atau hippo-therapy.

“Saya dapat tahu menerusi kaedah hippo-therapy ini tahap keyakinan kanak-kanak OKU… kerana aktiviti berkuda ini memerlukan pergerakan semua anggota badan serentak.

“Ini secara tidak langsung menimbulkan semangat keberanian di dalam diri kanak-kanak istimewa ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran RDA Pahang di Pusat Ekuestrian Pahang, di Tanjung Lumpur dekat sini, semalam. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_30/Kerajaan-Pahang-beri-RM50000-kepada-RDA-bantu-kanak-kanak-OKU#ixzz2IqQMzxwj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan – Sinar Harian


Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
6 Julai 2012

Tengku Mahkota ( kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
KUANTAN – Dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kerajaan negeri sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan dan tidak ketinggalan perhatian terhadap sekolah agama.

Bagi memastikan perkembangan sekolah-sekolah agama di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah lain, jumlah peruntukan yang besar turut disalurkan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sekolah agama di Pahang menerima peruntukan RM53.5 juta setahun.

Menurutnya, pelbagai pendekatan baru yang dijalankan juga memberi perubahan kepada sekolah-sekolah agama, sekali gus menarik minat masyarakat untuk menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan.

“Daripada jumlah peruntukan yang diberikan ia disalurkan kepada 18 buah sekolah agama di seluruh negeri.

“Sehingga kini, sistem yang diguna pakai di sekolah agama juga mengalami banyak perubahan termasuk kokurikulum kebangsaan dan kurikulum agama Islam.

“Dwi kokurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang kali ke-11 bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Mahkota bertitah, menerusi program transformasi pendidikan yang telah dirangka ia turut meliputi sekolah agama.

“Sekolah agama tidak lagi dikategorikan sebagai sekolah swasta yang sebelumnya menyebabkan saluran bantuan sukar diberikan.

“Perubahan dan peningkatan harus berterusan dan sekarang masih terdapat banyak ruang kosong untuk diisi dengan pelbagai program di sekolah-sekolah agama.

“Beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah.

“Sekolah agama juga harus mempertahankan jati diri sebagai institusi berpandukan modal insan berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia bagi memastikan potensi lepasan sekolah agama digembleng secara optima,” titah baginda.

Lebih 100 pelajar dari seluruh sekolah agama Pahang menerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori sempena majlis itu.