Kerajaan Pusat sedia bantu negeri perkasa pendidikan Islam – Bernama


Kerajaan Pusat sedia bantu negeri perkasa pendidikan Islam

17/09/2011 3:38pm

 

BUKIT MERTAJAM 17 Sept. – Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pelajaran sedia membantu kerajaan negeri yang memerlukan peruntukan dan kemudahan dalam memperkasa usaha tranformasi pendidikan Islam di sekolah agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bantuan kepada kerajaan negeri yang tidak berkemampuan itu termasuklah dari segi pembayaran gaji guru setanding dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, kerajaan memahami beban yang ditanggung sesetengah kerajaan negeri yang tidak mampu membayar imbuhan yang setimpal kepada guru-guru yang mereka lantik.

“Sebab itu Kerajaan Pusat berhasrat membantu kerajaan negeri berkenaan dalam menambah baik dan meningkatkan mutu pendidikan Islam,” katanya pada majlis perjumpaan khas bersama kira-kira 2,000 guru agama dan guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh, di sini, hari ini. – Bernama