CUEPACS minta ambil serius isu kenaikan gred – Berita Harian


CUEPACS minta ambil serius isu kenaikan gred

2013/03/04 – 05:25:11 AMCetakEmel Kawan
Sungai Petani: CUEPACS meminta Kerajaan Kedah mengambil perhatian serius terhadap isu kenaikan gred berdasarkan ‘time based’ yang masih gagal dilaksanakan di sekolah agama, Maktab Mahmud di negeri ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menerima aduan kelmarin bahawa tenaga pengajar di sekolah berkenaan tidak dapat menikmati kenaikan gred seperti guru di negeri lain.

“Kita menerima aduan bertulis yang menyatakan guru mereka belum menikmati kenaikan ‘time based’ yang dilaksanakan Kerajaan Pusat baru-baru ini, sedangkan guru yang berkhidmat di tempat lain mendapat kenaikan.

“Mereka minta bantuan CUEPACS berhubung perkara ini dan kita mohon kerajaan negeri dapat ambil tindakan supaya semua guru yang layak, dinaikkan gred berdasarkan ‘time based’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus Transformasi Bidang Kejururawatan anjuran Persatuan Kejururawatan Kebangsaan, di sini semalam.

Omar berkata, kegagalan pelaksanaan kenaikan gred itu amat dikesali kerana ia membabitkan kebajikan lebih 300 guru di lebih 10 cawangan maktab terbabit.

Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual – Bernama


Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual

2 Julai 2012
MIRI – Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi hari ini meluahkan rasa kesal kerana pembinaan blok baharu dan surau Sekolah Menengah Sains (SMS) Miri gagal disiap mengikut jadual.

Katanya projek tersebut sepatutnya siap dua bulan lepas, namun agensi pelaksana projek gagal berbuat demikian dengan pelbagai alasan termasuk kekurangan pekerja.

“Saya dah empat kali buat lawatan ke sekolah ini dan kali terakhir Januari lepas. Saya harap projek ini tidak dikategori projek sakit kelak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek, di sini hari ini.

Pembinaan blok baharu dan surau SMS Miri bernilai RM10.9 juta itu bermula November lepas setelah cadangan memindahkan guru dan pelajar dari sekolah itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar dibatal, susulan bantahan banyak pihak kerana kedudukan SMK Tinjar yang terletak 120 km dari Miri selain hanya boleh dicapai dengan kenderaan pacuan empat roda.

Isu itu turut dibawa ke Parlimen untuk kajian semula dan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Mengenai isu lain, Mohd Puad berkata kementerian itu akan memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Sayed Othman bagi mengatasi masalah anai-anai.

Katanya peruntukan itu adalah penyelesaian sementara bagi sekolah yang terletak di tengah bandar raya Miri tersebut sebelum cadangan menaik taraf blok sedia dipertimbang.

Beliau berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan RM125.8 juta kepada Sarawak untuk melaksanakan 553 projek di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) yang bermula bulan ini dengan jangkaan siap dari hujung tahun ini sehingga 2014.

Mohd Puad berkata secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM900 juta untuk semua sekolah di negara ini menerusi PRK. – Bernama

Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti – Sinar Harian


Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti
NOOR AZLIDA ALIMIN
11 Mei 2012

PASIR MAS – Tiga guru dari Kelantan telah dikenal pasti terlibat dalam kejadian merusuh ketika Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Penolong Pegawai Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Razukee Zulkifli berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh di peringkat jabatan.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima beberapa laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

“Siasatan 90 peratus lengkap dan kita mendapati terdapat beberapa guru terlibat ketika Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Guru berkenaan berusia dalam lingkungan 40-an dan boleh dikategorikan guru berpengalaman,” katanya ketika Majlis Penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia, peringkat Negeri di Kem Desa Mahmood, semalam.

Razukee berkata, identiti guru berkenaan masih dirahsiakan, bagi menyiapkan laporan sepenuhnya.

Menurutnya, selesai siasatan mereka akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis, bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat segelintir yang menentang kepimpinan Kerajaan Pusat, namun ia dikategorikan sebagai kes terpencil.

Kerajaan beri perhatian sama rata semua jenis sekolah: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan beri perhatian sama rata semua jenis sekolah: Muhyiddin

2012/04/26

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan kononnya kerajaan pusat tidak memberi bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana kerajaan sentiasa memberikan peruntukan sama rata kepada setiap sekolah serta memberi penekanan kepada soal pendidikan sebagai perkara utama.

“Soal pendidikan penting. Kalau ada orang mengatakan Menteri Pelajaran orang Melayu, dia tak suka orang Cina, ini tidak betul. Muka saya memang orang Melayu, tapi hati perut saya orang Malaysia.

“Sekolah Cina pun saya bantu, sebab tu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kita tolong. Hari ini saya hendak umum kita nak bagi RM1.5 juta untuk sekolah di kawasan Batu Kawan. Saya juga setuju untuk bantu sekolah Tamil di sini,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan 1Malaysia dengan penduduk Parlimen Batu Kawan di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian pada setiap 8,500 sekolah kebangsaan, 1,200 SJKC dan 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Untuk masa depan, kita akan beri perhatian pada soal pendidikan. Perdana Menteri bagi peruntukan yang besar pada saya tapi tidak cukup. Kita akan tambah, pada tahun depan, kita bajet kalau dapat tambah kita boleh bina sekolah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berhenti untuk melakukan perubahan bagi memastikan masa depan rakyat terus terpelihara.
Muhyiddin berkata sambutan penduduk di Batu Kawan terhadap program anjuran BN menunjukkan peningkatan dengan jumlah penduduk yang hadir hampir 10,000 orang.

Beliau berharap BN akan menebus kembali kekalahannya pada pilihan raya umum yang lepas dan berharap sokongan itu berterusan sehingga pilihan raya umum yang akan datang. – BERNAMA

Kerajaan tidak akan tutup SJKC, SJKT: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan tidak akan tutup SJKC, SJKT: Muhyiddin

2012/04/05

ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah bercadang untuk menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) walaupun ia kekurangan pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sistem SJKC dan SJKT tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan sebahagian besar rakyat negara ini berketurunan Cina dan Tamil. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, tiada sebarang akta yang membolehkan menteri berkenaan menutup sekolah-sekolah tersebut.

“Hanya di Malaysia kita sediakan peluang pendidikan untuk melayan kaum-kaum utama,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga SJKC dan SJKT di SMK Keat Hwa II, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan SJKC dan SJKT sebaliknya sentiasa memastikan sistem pelajaran di sekolah-sekolah berkenaan berada pada tahap yang baik dan setanding dengan sekolah kebangsaan.

“Jangan terpengaruh dengan dakwaan bahawa sekolah ini tidak diberi perhatian. Anak tiri, bersikap tidak adil, itu bukanlah dasar Barisan Nasional (BN) yang adil kepada semua pihak,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM2.89 bilion setiap tahun untuk belanja mengurus lebih 1,200 SJKC, manakala RM1.04 bilion untuk SJKT.
Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan waran peruntukan pembangunan bernilai RM14.42 juta kepada 89 SJKC dan 58 SJKT di negeri ini dan peruntukan khas sebanyak RM500,000 kepada SMK Keat Hwa II. – BERNAMA

Terengganu, Pahang umum bonus separuh bulan untuk kakitangan awam – Bernama


Terengganu, Pahang umum bonus separuh bulan untuk kakitangan awam

2011/08/10

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dan Pahang adalah dua kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Katanya, ia membabitkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata, bayaran itu membabitkan peruntukan RM10 juta.

Di Kuantan, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembayaran bonus melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara. – BERNAMA