Guru bahasa arab keturunan Palestin terima anugerah kecemerlangan kedua
KUALA TERENGGANU – Seorang guru bahasa arab berketurunan Palestin dari Jordan hari ini sekali lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Yayasan Terengganu setelah menerima kali pertama pada 2007.
Abdelrahman Ibrahim Suleiman Islaleh, 29, warga Jordan, membuktikan bahawa batas bahasa dan budaya bukan halangan buatnya berkhidmat sepenuh hati memberikan ilmu kepada pelajarnya di Sekolah Imtiaz Besut.
“Saya datang ke Terengganu sejak tahun 2004 lagi dan semasa dua minggu saya di sini, saya sudah boleh bertutur Bahasa Melayu. Saya amat suka dengan budaya dan cara hidup orang di sini.
“Saya sungguh selesa tinggal di Terengganu khasnya di Besut kerana persekitarannya lebih kurang sama dengan tempat tinggal saya di Jordan dulu,” katanya kepada pemberita, berbahasa Melayu loghat Terengganu.
Terdahulu, beliau bersama 27 yang lain menerima anugerah itu daripada Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah di sini.
Abdelrahman Ibrahim berkata sejak menetap di sini, beliau hanya sekali pulang ke Jordan iaitu pada 2007 selama dua minggu untuk berkahwin.
“Saya dan isteri orang Jordan, tetapi dua anak perempuan saya Zainah berumur dua tahun dan Dimah pula empat bulan orang Besut,” katanya sambil ketawa.
Beliau berkata selain mengajar bahasa Arab, dia turut mengadakan kelas Al-Quran untuk kakitangan Sekolah Imtiaz serta kuliah di masjid-masjid dan dewan orang ramai sekitar Besut.
Abdelrahman Ibrahim yang kini sedang memohon untuk belajar di Universiti Malaya untuk PhD dalam bidang Teknologi Pendidikan berkata kontraknya dengan Yayasan Terenganu akan tamat pada 2014.
“Saya akan buat permohonan dengan Yayasan Terengganu agar saya diambil berkhidmat dan kekal di Terenggnau,” katanya. – Bernama