Kerani, guru menang Siri 1
 |
HASSAN Mohd. Noor (tengah) mengetuai panel juri bagi memilih pemenang Peraduan Kumpul dan Menang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
|
KUALA LUMPUR 6 Mei — Seramai 17 pembaca setia Utusan Malaysiadan Mingguan Malaysia diumumkan sebagai pemenang Peraduan Kumpul dan Menang siri pertama anjuran akhbar ini hari ini.
Dua daripada mereka merangkul hadiah utama berupa wang tunai RM500 setiap seorang, manakala selebihnya akan menerima hadiah misteri daripada penganjur.
Dua pemenang hadiah utama itu ialah ketua kerani, Siti Aishah Abdul Rahman, 48, dari Mersing, Johor manakala seorang lagi, Fauziah Zakaria, 33, dari Parit Buntar, Perak.
Pemilihan itu dilakukan oleh tiga panel hakim iaitu Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor; wakil Unit Jurufoto, Jaffri A. Rahman dan wakil Jabatan Pemasaran, Kumpulan Utusan, Zafari Mohd. Noor.
Hassan berkata, Peraduan Kumpul dan Menang yang bermula pada 24 April lalu akan menguji pembaca meneka gambar termasuk tokoh, selebriti dan tempat pelancongan.
“Siri pertama kali ini menampilkan gambar gandingan pelakon dan pengacara jelita Maya Karin bersama pelakon kacak Remy Ishak,” katanya selepas memilih para pemenang di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua pemenang akan dihubungi sama ada melalui surat atau telefon dalam masa terdekat.
“Penyertaan kali ini amat memberangsangkan apabila kita mendapat penyertaan dari pelbagai peringkat umur dan pekerjaan termasuk kakitangan awam, swasta, pesara, suri rumah dan pelajar,” katanya.
Hassan berkata, setiap siri peraduan memerlukan pembaca mengumpul keratan yang disiarkan mulai Ahad hingga Jumaat manakala borang disiarkan pada hari Sabtu.
Peraduan mudah itu kini memasuki siri kedua.
Like this:
Like Loading...