Remaja trauma dicabul dalam kereta api – Sinar Harian


Remaja trauma dicabul dalam kereta api

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Oktober 2012

TAMPIN – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun berhadapan detik memalukan apabila dirinya menjadi mangsa cabul seorang lelaki berusia 40-an di dalam gerabak kereta api yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kluang, Johor dan ketika itu sedang nyenyak tidur.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika kejadian, remaja perempuan berkenaan terasa tubuhnya diraba seseorang dan sebaik membuka matanya, dia ternampak seorang lelaki sedang berdiri di sebelah tempat duduknya.

“Mangsa yang ketakutan bergegas menyelamatkan diri dan memaklumkan insiden berkenaan kepada kakitangan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menangkap lelaki yang bertindak biadap terhadapnya.

“Akhirnya setibanya di Stesen Kereta Api Gemas, kakitangan KTMB menyerahkan suspek yang beralamat di Kuala Lumpur ke Balai Polis Gemas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Kooi Cheang berkata, suspek telah ditahan reman dan akan dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Rembau besok (hari ini) susulan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.