Kereta masuk longkang, guru maut – Utusan Malaysia


Oleh ADNAN MOHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my
SETIU 9 Mac – Seorang guru di Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Kuala Terengganu maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di Kampung Saujana, dekat sini hari ini.
Noor Rosniah Sudin, 30, yang tinggal di Taman Perumahan Gong Badak 4, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tengkuk.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari sekolahnya ke SMA Maarif, Kampung Raja, Besut ketika nahas itu berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi dalam keadaan hujan lebat.
Ibu kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu pergi ke SMA Maarif untuk menyaksikan lebih 60 pelajarnya menyertai Kejohanan Sukan Sekolah Agama Terengganu.
Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Razali, 40, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta Perodua MyVi yang dipandu guru itu dilihat hilang kawalan selepas cuba mengelak daripada terlanggar tiang elektrik lalu terbabas ke dalam longkang.
“Kereta mangsa terbalik ke dalam longkang menyebabkan kepalanya terkeluar sedikit menerusi pintu cermin kereta itu yang pecah.
“Saya lihat kepala mangsa berada di dalam longkang itu semasa kenderaan itu terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mayat Noor Rosniah dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, rakan mangsa, Siti Safinah Awang, 29, ketika ditemui di hospital berkata, sepatutnya Noor Rosniah tidak pergi menyaksikan kejohanan sukan itu pada hari ini kerana semalam dia sudah pergi.
“Namun, entah macam mana pagi ini dia beria-ria sangat untuk melihat para pelajar di sekolah itu menyertai kejohanan yang berlangsung pada hari ini.
“Saya hairan juga kenapa Noor Rosniah bersikap demikian dan ini mungkin kerana dia begitu semangat untuk memberi sokongan kepada pelajar sekolah ini untuk mencapai kejayaan yang cemerlang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.