Merintih sakit di pangkuan abah – Metro


Merintih sakit di pangkuan abah

 0  0 Google +0  0  0

Gua Musang: “Sakit abah, sakit,” rintih pelajar 14 tahun kepada bapanya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 45.7 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, Mohamad Shaffiq Ikhwan, 14, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 2 meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dekat sini, akibat cedera parah di badan.
Kemalangan berlaku apabila Mohd Shaffiq yang menunggang motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Mohd Hafiz Faadzil, 16, terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton Persona yang dalam perjalanan dari Ketereh, Kota Bharu ke Puchong, Selangor.

 

Mohd Hafiz cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta itu tidak cedera.
Mayat Mohamad Shaffiq yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT KESEDAR Paloh 2 pagi semalam.
Bapa Mohd Shaffiq, Zulkifli Daud, 49, dia berjumpa anaknya 10 minit di simpang tiga RKT KESEDAR Paloh 2 kira-kira 10 minit sebelum kemalangan.

 

Menurutnya, anaknya tidak memaklumkan hendak ke mana dan melihat anaknya itu menunggang motosikal bersama rakan ke arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Saya seperti tidak percaya kerana selepas 10 minit bertemunya, seorang rakan menghubungi saya memberitahu anak kemalangan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dia terbaring di tepi jalan raya.

 

“Pilu hati kerana ketika memeluknya dia merintih sakit berulang kali. Selepas 20 minit dibawa ke Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dia meninggal dunia di depan saya,” katanya Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tragedi pulang awal sambut Aidiladha – Metro


Tragedi pulang awal sambut Aidiladha

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ENDAU: “Kami sekeluarga bercadang pulang awal menyambut Aidiladha bersama keluarga di Kota Bharu dan bertolak dari rumah sebelum subuh bagi mengelak kesesakan, malangnya kami terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa suami,” kata Nor Suriati Yusuff, 42, isteri kepada anggota polis yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Mersing-Endau di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Koperal Lajat Padilat, 52, yang memandu kereta Proton Persona dari Johor Bahru maut apabila kereta dipandunya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta Toyota Vios dinaiki tiga guru dari Endau.
Difahamkan, tiga guru berkenaan dalam perjalanan ke Felda Endau di sini untuk mengambil seorang rakan mereka sebelum menghadiri kursus di Batu Pahat.

 

Dalam kejadian itu, Nor Suriati dan dua anaknya, Mohd Afik, 10, dan Farah, 13, cedera akibat pertembungan dua kereta berkenaan di kawasan berbukit berhampiran Felda Endau.
Pemandu kereta Toyota Vios, Koh Chong Sia, 50, dan penumpang depan, Zaidi Tahar, 37, cedera ringan, manakala penumpang belakang, Amizah Baharom, 29, cedera parah di kepala.
Menceritakan kejadian itu, Nor Suriati berkata, selepas dua jam perjalanan mereka berhenti berehat di satu simpang berhampiran lokasi kemalangan selama beberapa minit, sebelum meneruskan perjalanan.

 

 

“Ketika itu, semuanya seperti biasa dan suami meneruskan perjalanan, manakala saya dan anak tertidur di dalam kereta.
“Saya tidak ingat apa-apa dan tersedar apabila kereta kami terbabit dalam kemalangan.

 

“Ketika itu, saya terasa sakit di kepala akibat terhantuk cermin kereta,” katanya.
Sementara itu, Mohd Afik ketika ditemui di Klinik Kesihatan Endau masih trauma dengan kemalangan itu dan tidak dapat mengingati kejadian.
Ketika itu, dia dan ibunya belum mengetahui mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan itu.
Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, kecuali Zaidi yang meminta dibawa ke Hospital Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua anak Lajat hanya dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Endau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24