Dua Beranak Maut, Kereta Rempuh Lembu – Bernama


Dua Beranak Maut, Kereta Rempuh Lembu
MELAKA: Seorang guru dan anak bongsunya terbunuh selepas kereta yang dinaiki merempuh seekor lembu di Kilometer 213 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata kejadian 1.20 pagi itu menyebabkan Ngatina Semin, 47, dan Muhamad Habib Firdaus Mokhtar, 10, mati di tempat kejadian.

“Sewaktu kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu suami Ngatina iaitu Lans koperal Mokhtar Abu Bakar, 50, dilaporkan merempuh seekor lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi, Ahad.

Beliau berkata Mokhtar, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) SimpangRenggam, cedera parah manakala seorang lagi anak pasangan itu, Siti Nasuha, 21,cedera ringan.

Katanya, Mokhtar sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Simpang Renggam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas menjemput Siti Nasuha, yang belajar di Jepun, pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Umar Ali berkata jenazah Ngatina dan Muhamad Habib dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Mokhtar yang patah tulang rusuk serta luka di beberapa bahagian badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

Beliau berkata tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan itu ketika mengelak lembu tersebut, namun semua pemandu dan penumpangnya selamat. — BERNAMA