Kereta ‘terbang’ – Metro


Kereta ‘terbang’

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Dua beradik parah apabila tercampak daripada kereta yang terputus dua selepas ‘terbang’ melepasi penghadang jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta berhampiran Taman Rembia Perkasa, Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Rembia, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Proton Iswara dinaiki dua beradik, Soo Yong Sen dan Soo May Zina, berusia awal 20-an, dari Rumah Awam Rembia di sini, hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan menyebabkan kenderaan itu terbang melepasi penghadang jalan dan merempuh Honda Civic dinaiki ahli perniagaan, Sallehuddin Ishak, 42, dan anak sulungnya, Safa Haziq Sallehuddin, 12, dari arah Bukit Rambai.
Menurut saksi kejadian, Azlisham Ismail, 34, dia dan rakannya sedang berbual di beranda rumah apabila terdengar dentuman kuat perlanggaran kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum berlari mendapatkan mangsa yang tercampak di atas jalan raya.

 

Katanya sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat sebuah Proton Iswara Aeroback terputus dua antara bahagian enjin dengan badan kereta.
“Saya lihat kedua-dua kereta berasap dan dua wanita tadi tercampak di atas penghadang jalan berdekatan bahagian badan kereta mereka.
“Saya lihat seorang remaja perempuan dalam keadaan mengiring meraung kesakitan manakala seorang lelaki terbaring berdekatan. Kami bersama beberapa orang awam dan pengguna jalan berusaha membantu mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

 

Menurutnya, dua beranak dalam kereta Honda terselamat walaupun pertembungan kedua-dua kereta itu sangat kuat.
“Jika mereka tidak memakai tali pinggang keledar pasti ada yang tercampak keluar berikutan pertembungan begitu kuat selain beg udara yang terbuka.

 

“Mereka dipapah keluar dari kereta dan dibawa ke sebuah rumah penduduk sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah menggunakan kereta keluarga berkenaan,” katanya.
Seorang lagi saksi, Shukor Sameon, 38, berkata dia berada di simpang jalan tidak jauh daripada tempat kejadian..
“Dentuman itu memang kuat membuatkan saya yang berada di simpang tiga menghala ke bandar Melaka tidak jauh daripada lokasi, tersentak dan berpatah balik ke arah Alor Gajah untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Salehuddin ketika ditemui di Hospital Alor Gajah berkata, dia dalam perjalanan pulang dari Bukit Rambai amat terkejut apabila dirempuh kereta dua beradik itu.
“Nasib baik kami anak beranak pakai tali pinggang keledar dan ia menyelamatkan kami daripada maut,” katanya yang mengadu sakit dada akibat pelanggaran terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin, mengesahkan menerima laporan kemalangan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.