Bakar kereta sebab langgar remaja – Sinar Harian


Bakar kereta sebab langgar remaja
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Keadaan kereta jenis Proton Saga dibakar orang awam yang didakwa melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa patah kaki kanan, dalam kejadian malam kelmarin.
KLANG – Bengang tindakan pemandu kereta yang didakwa memandu laju hingga menyebabkan kecederaan seorang remaja, orang awam bertindak membakar kereta jenis Proton Saga itu dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Batu 2, Jalan Kampung Jawa, di sini malam kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, orang awam bertindak sedemikian selepas simpati melihat seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun yang cedera dan patah kakinya terdampar di jalan berkenaan sejurus kejadian.

Menurutnya, mangsa disyaki dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Klang menghala bulatan Jalan Kebun.

“Keadaan di lokasi kejadian sedikit tegang bagaimanapun keadaan dapat dikawal sepenuhnya apabila polis dari IPD Klang Selatan tiba di situ.

“Mangsa berusia 17 tahun yang patah kaki kanan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hingga kini hanya pemandu kenderaan terbabit membuat laporan di Balai Trafik Klang Selatan, semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemandu itu, dia mendakwa penunggang motosikal datang dari arah bertentangan dan telah memasuki laluannya ketika melintas kenderaan di hadapan.

“Berikutan itu, dia mendakwa gagal mengelak lalu berlaku pertembungan antara keretanya dan motosikal mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian tepat masih belum diketahui memandangkan polis kini hanya mendapat laporan daripada sebelah pihak iaitu pemandu kenderaan.

“Selepas kita mengambil keterangan daripada penunggang motosikal, barulah memudahkan siasatan kita,” katanya.

Rosly berkata, tindakan orang awam membakar kenderaan itu juga dipercayai ada kaitan dengan kemalangan itu dan kini siasatan lanjut masih diteruskan

Padah curi pandu kereta abang – Sinar Harian


Padah curi pandu kereta abang

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Curi kereta

PETALING JAYA – Hasrat seorang remaja berusia 14 tahun mahu bersiar-siar menggunakan kereta Proton Perdana milik abangnya membawa padah apabila secara tiba-tiba stering kereta tersekat menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar sembilan motosikal di parkir Blok H, Apartment Idaman, semalam.

Kejadian jam 12 malam itu berlaku sebaik sistem keselamatan kereta berkenaan berfungsi selepas sepuluh minit ia dipandu.
Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati remaja berkenaan memandu kereta itu tanpa pengetahuan abangnya.
“Dia mengambil kunci kereta sewaktunya abangnya sedang tidur,” katanya.
Pelanggaran itu turut menyebabkan tiga remaja lain yang kebetulan berada di kawasan parkir cedera.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, sementara remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, keluarga remaja berkenaan telah dipanggil dan bersetuju untuk menanggung kos perubatan mangsa yang cedera serta baik pulih motosikal yang rosak.
Sementara itu, pemilik kereta Proton Perdana memberitahu sistem keselamatan kenderaan itu digunakan bagi mengelak kecurian kereta, bagaimanapun sama sekali tidak menyangka adiknya sendiri yang terperangkap.

Pelajar maut nahas motosikal, kereta – Bernama


Pelajar maut nahas motosikal, kereta 

2011/11/09

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km141 Jalan Kuantan-Bahau, dekat Muadzam, semalam.

Norfisa Omar, 15, yang menunggang motosikal berasal dari Bukit Serok, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sementara rakannya, Mohd Hairul Hisham Mustafa, cedera parah dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata kejadian berlaku jam 1.55 petang ketika kereta Proton Wira terbabit dipandu dari arah Bahau menuju ke Kuantan merempuh motosikal berkenaan di satu persimpangan.

“Ketika kejadian motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba melintas dan terus dirempuh kenderaan tersebut,” katanya di sini, hari ini. – BERNAMA