Kerja jahat 5 remaja – Metro


Kerja jahat 5 remaja
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah membabitkan kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang selepas penahanan tujuh lelaki dalam tiga operasi berasingan di ibu negara, sejak 11 Mei lalu.

Dalam operasi berkenaan, tiga ahli kumpulan digelar ‘Geng Udang’ ditahan di Setapak Jaya pada 11 Mei manakala dua lagi ditahan di tempat sama pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun serta tidak bersekolah.

“Semua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau sementara ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. “Tiga suspek dalam tangkapan awal sudah dihadapkan ke mahkamah manakala dua lagi masih dalam tahanan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Wan Abdul Bari berkata, polis menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilarikan suspek dalam satu kejadian samun di Jalan Hujan Emas, di sini, 7 Mei lalu.
Katanya, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan sekitar Lembah Klang tanpa memilih sasaran mereka dan melakukannya secara rambang.

“Dalam siasatan awal, lima kes samun kereta sekitar ibu negara diselesaikan dengan penangkapan Geng Udang ini,” katanya lagi.
Dalam tangkapan lain di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Isnin lalu, dua lelaki yang menggelarkan diri mereka ‘Geng Piow’ berjaya ditahan polis selepas didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey yang dilaporkan dicuri di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini, pada 16 April lalu.

“Dua suspek berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang memandu di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek kedua mempunyai lima rekod jenayah lampau dan terbabit dalam lapan kes curi kereta sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan dan kedua-dua suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.