Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi – Berita Harian


Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my
2012/05/07

PROGRAM bimbingan peperiksaan, Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa dapat menambah keyakinan murid untuk menduduki UPSR.

Pengarah Tabung Haji Perak, Mohamad Hamdan Omar, berkata klinik itu yang menyelitkan elemen motivasi mengubah sikap murid supaya lebih gigih bagi mencapai kejayaan dalam UPSR.

Menurutnya, berpandukan modul kertas kerja yang menyediakan latihan dan soalan aras UPSR sebenar, calon mendapat gambaran awal mengenai bentuk soalan yang bakal mereka jawab.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan kertas kerja sepanjang klinik berlangsung menambah keyakinan murid membuat persediaan menghadapi peperiksaan selain memperbaiki kelemahan diri.

“Program anjuran Unit Pendidikan Berita Harian itu memberi manfaat kepada peserta supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan Klinik UPSR peringkat Perak di Kolej Matrikulasi, di Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Seramai 300 calon UPSR sekitar daerah Kinta menghadiri klinik sehari itu. Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tabung Haji Perak, Ahmad Tazli Abdul Aziz dan penolongnya, Zamri Omar.

CUEPACS bentang hasil kajian 22 Feb. – Utusan


CUEPACS bentang hasil kajian 22 Feb.

PUTRAJAYA 8 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan hasil kajian penambahbaikan bagi Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada mesyuarat kali ketiga bersama pasukan khas semakan semula skim tersebut 22 Februari ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, bagi memastikan tiada masalah berbangkit, Jawatankuasa Bertindak CUEPACS akan bermesyuarat selewat-lewatnya 15 Februari ini supaya hasil kajian yang dibentangkan kelak menepati tuntutan yang dibuat.

Katanya, kertas kerja tersebut dibuat berdasarkan laporan yang diterima hasil jelajah CUEPACS untuk mendengar setiap permasalahan berkaitan SBPA di seluruh negara dan lima perkara yang dituntut sebelum ini.

“Bagaimanapun kita masih membuka ruang untuk mana-mana agensi yang mahu menyatakan pandangan dan pendapat memandangkan tarikh akhir untuk membuat aduan adalah 15 Februari.

“CUEPACS yakin mampu menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim SBPA demi memastikan setiap nasib penjawat awam di negara ini terus terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri menyuarat kedua pasukan khas semakan skim SBPA di sini, hari ini.

Mengulas mesyuarat kedua hari ini, Omar berkata, perbincangan berkisar kepada lima perkara yang dituntut CUEPACS sebelum ini.

Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.