Dihalau selepas tegur sikap suami – Sinar Harian


Dihalau selepas tegur sikap suami

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Dihalau selepas tegur sikap suami
Rohayu (kanan, duduk) bersama Amri, Jahaya (kiri) dan Amiruddin (belakang, kiri) pada penyampaian sumbangan kerusi roda di Kampung Bukit Kledang, semalam.

KOTA – Gara-gara menegur kelakuan suami yang membawa pulang perempuan lain ke rumah pada Ramadan lalu, seorang isteri dimarahi dan dihalau keluar dari rumah.

Susulan tidak mampu lagi memendam rasa dengan sikap suaminya itu, Rohayu Mohd Din, 49, terpaksa kembali menumpang kasih keluarga angkatnya yang menetap di Bukit Kledang, dekat sini sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dengan berat hati dia mengendong anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Mohd Amri Hasan, 13, dengan bantuan anak saudara pulang ke rumah ibu angkatnya, Lijah Husin, 77.

“Sehingga ke hari ini suami tidak menghubungi akak. Sedih rasanya dan akak masih berkira-kira sama ada mahu pulang semula ke Cheras atau tidak, tambahan pula Amri agak sukar untuk bergerak serta perlu didukung.

“Walau bagaimanapun akak terharu dan berterima kasih kepada kepimpinan kampung ini kerana memberikan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Amri,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan Kerusi Roda Parlimen Rembau di Bukit Kledang, dekat sini semalam.

Sementara itu, Rohayu berkata, anaknya itu lahir dalam keadaan normal dan mula berubah apabila diserang penyakit ketika berusia lapan tahun.

Katanya, walaupun berkeadaan begitu, anaknya tetap juga ke sekolah dan hampir setiap hari dia mendukung anaknya dari tingkat tiga kediaman yang diduduki bagi menghantar anaknya ke sekolah.

“Namun ketika Amri darjah lima, akak sudah tidak larat lagi untuk mengangkat dia ke sekolah akibat penyakit kencing manis dan darah akak yang makin kronik sehingga jari kaki kanan terpaksa dipotong.

“Bagi tujuan perubatan dan perbelanjaan anak, akak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan Baitulmal sebanyak RM450. Sementara bagi persekolahan anak, akak mendapat bantuan sebanyak RM1800 setahun,” katanya.

Semangat kembali ke sekolah – Kosmo


Semangat kembali ke sekolah

ADIK Norsyamira Ramzi (duduk di atas kerusi roda) antara yang paling bersemangat untuk memulakan persekolahan.

 

MESKIPUN hampir dua jam jenuh mencari arah ke Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah, Meru, Klang penulis sedikit pun tidak mendengus. Melihat wajah anak-anak yatim itu menerbitkan rasa penuh kesyahduan.

Kata seorang kanak-kanak yang enggan menyebut namanya sendiri, dia belum ada beg, alat tulis dan buku lagi. Ujarnya sambil menyorok mukanya di sebalik kerusi: “Ayah dan mak dah jumpa Tuhan, tiada siapa yang nak belikan untuk kita.”

Konsonan kata-kata yang diaturnya secara spontan begitu menghiris kalbu. Raut wajahnya yang mendamaikan membuatkan penulis ingin mendakap erat dirinya. Namun, dia terus lari dan hilang daripada pandangan.

Sememangnya cerita di sebalik rumah anak-anak yatim lazimnya terkait dengan kisah dan momen yang meruntun jiwa. Ya, bila difikirkan semula, takdir dan ketentuan kehidupan kita ditulis oleh-Nya.

Berada di sana untuk satu tempoh yang singkat, menemukan penulis dengan Ansar Ghasang, 18. Bahtera kehidupan Ansar meniti jalan yang cukup berliku dan sinikal.

Dia kehilangan ayah tercinta sejak dia masih kecil. Dunianya menjadi semakin gelap-gelita apabila ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu.

Ansar buntu. Di relung fikirannya terbayangkan bagaimana dia harus meneruskan kelangsungan kehidupan yang penuh ranjau ini? Lebih-lebih lagi ketika itu, dia masih berusia 13 tahun. Tiga orang adiknya masih kecil-kecil lagi.

Langit tidak selalunya mendung. Pertemuan Ansar bersama Hasnah Bahari dari Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah bagaikan satu rahmat kepadanya.

“Lepas jumpa ustazah Hasnah, kami dijaga sebaiknya, makan, minum, pakai semua dia yang jaga, Alhamdullillah,” kata calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan nada suara penuh tertib.

Bantuan YSM

Pada hari pertemuan itu, Ansar tampak ceria. Dia senyum meleret setelah menerima sumbangan berupa beg sekolah dan alat tulis dari Yayasan Sayang Mutiara (YSM).

“Ya, ada yang masih prihatin dengan nasib kami, syukur bukan saya sahaja malah, anak-anak di rumah ini juga akan ke sekolah dengan hati yang girang. Betul, setiap apa yang berlaku pasti ada rahmatnya, terima kasih kepada YSM,” kata Ansar berbicara matang.

Kanak-kanak lain seperti Zulkifli Zulinasar, 8; Nurin Rohadatul Rasidi, 11; dan kanak-kanak kurang upaya Norsyamira Ramzi, 11 turut gembira dengan pemberian itu.

Kata mereka, sumbangan itu membolehkan mereka belajar dengan sempurna.

Bersempena dengan bermulanya detik persekolahan di tahun baharu, YSM bertindak menyumbang kelengkapan sekolah kepada 125 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah.

Semua sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad Kemin.

Program tahunan YSM

Menurut Pegawai Operasinya, Mohd. Awee Sidek, YSM yang ditubuhkan pada tahun 2009 adalah bertujuan untuk mengurus dan menyelaraskan aktiviti kebajikan selain memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan masyarakat.

“Ini (sumbangan di Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah) adalah kesinambungan daripada Program Jom Ke Sekolah anjuran YSM selepas daerah Johor Bharu, sebenarnya kerja-kerja kebajikan kita tak terbatas setakat di Johor sahaja tetapi, melewati ke tempat-tempat lain juga,” katanya.

Menariknya lagi tentang YSM, yayasan ini pada setiap tahun akan menganjurkan program tahunan menghargai pelajar luar bandar yang cemerlang pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pelajar-pelajar tersebut akan dipilih di 10 daerah dalam negeri Johor dan bagi merealisasikannya, YSM bekerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, selaku Pengerusi YSM, Ahmad berkata, besarlah harapan pihaknya agar sumbangan itu akan membakar lagi semangat penghuni rumah itu untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. – MAZLINA ABDUL MAJID