Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli – Bernama


Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli

2013/04/13 – 17:13:40 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain, bulan lalu.

Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terbabit dengan kes itu dan suadh membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.

Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.

“Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terbabit dengan kejadian buli di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.

“Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen dari orang yang saya tak kenal.

“Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu keadaan sebenar.
“Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.

Jabatan Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan serius.

Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden itu seminggu selepas kejadian.

“Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat saya yang terbabit sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet,” katanya. – BERNAMA

Eksperimen kesan tonton filem ganas – Metro


Eksperimen kesan tonton filem ganas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Pengamatan mendapati pengaruh filem atau drama ganas dipaparkan di televisyen turut menyumbang berlaku kes jenayah. Kesannya, eksperimen dijalankan adalah dengan membalas terhadap rakan sekelas,” kata Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Hussain Habil Mohamad.

Menurutnya, beliau percaya kebanyakan kes buli berlaku di kalangan murid yang teruk prestasi akademik.
Bagi menangani masalah itu, katanya, guru perlu lebih peka dengan situasi berkenaan.

 

“Sekiranya nasihat tidak didengari atau hukuman tidak dihiraukan, sewajarnya rujuk kaunselor atau pakar psikologi,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai lima murid tahun tiga di sebuah sekolah di Petaling Jaya yang bertindak samseng apabila membelit leher rakan sekelas dengan tali pinggang selain memukul mangsa.
Laporan berkata, kelima-lima murid terbabit turut mengugut membunuh dan mencampak mangsa dalam hutan semata-mata kerana tidak menyukai rakan mereka itu.

 

 

Dr Hussain berkata, masalah buli dan jenayah yang kian menjadi-jadi di kalangan murid membimbangkan banyak pihak terutama guru serta ibu bapa dan sekiranya tidak dicegah di peringkat akar umbi dikhuatiri menjejaskan keamanan dan keharmonian Malaysia suatu hari nanti.
Beliau berkata, kes juvana yang membabitkan pelajar sekolah ketika ini menunjukkan peningkatan dan disifatkan sebagai masalah tingkah laku yang berpunca daripada masalah dalaman keluarga.

 

Katanya, kajian psikologi menunjukkan masalah yang sering menimpa murid dan pelajar berpunca daripada kelemahan sistem keluarga yang mengakibatkan anak-anak berhadapan risiko dan akibatnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04

Bapa pelajar mangsa buli mohon bantuan masyarakat – Utusan


Bapa pelajar mangsa buli mohon bantuan masyarakat
Zharry John Bawe yang menjadi mangsa buli di Jalan Yong Mok Chai, Kapit, Ahad lalu.
KAPIT 10 Julai – Seorang bapa, John Bawe memohon kerjasama orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat mengenai kes buli yang menimpa anak lelakinya sehingga cedera dan lebam di sebuah pasar raya di Jalan Yong Mok Chai di sini minggu lalu.

Bawe, 48, berkata, kejadian itu berlaku ketika anaknya, Zharry, 12, pergi ke pasar raya itu untuk membeli alat tulis sebelum dia dibelasah oleh sekumpulan remaja dipercayai pelajar sekolah menengah.

Berikutan serangan itu, Zharry mengalami lebam-lebam dan luka di muka serta beberapa bahagian badan.

“Ketika dibelasah, anak saya cuba meminta bantuan tetapi orang ramai yang berada di situ hanya mampu melihat sahaja kerana bilangan penyerang adalah ramai.

Siasatan kes buli, pukul murid bermula – Berita Harian


Siasatan kes buli, pukul murid bermula
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2012/03/07

Jabatan Pelajaran jumpa guru besar, dapatkan penjelasan lanjut JKM

SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) memulakan siasatan berhubung kejadian seorang murid Tahun Satu yang dibuli dan dipukul hingga lebam seluruh badan di Sikamat di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata pihaknya berjumpa guru besar sekolah itu di Sikamat, semalam bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya dimaklumkan kecederaan itu bukan berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagaimanapun, JPN masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan siasatan di asrama anak yatim yang dihuni mangsa,” katanya di sini, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, murid Tahun Satu trauma selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.

Kejadian itu hanya disedari ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, Jumaat lalu kira-kira jam 7.30 petang selepas mengambil anaknya berusia 7 tahun dari rumah anak yatim di Sikamat.