Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan – Bernama


Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan

10 Mei 2012

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lagi wanita semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru wanita melecur hampir 45 peratus dalam kebakaran di rumahnya di Flat Taman Tun Hussein di Seberang Jaya, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata wanita berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan semasa dia menyerah diri di Balai Polis Seberang Jaya.

Sebelum ini, polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun apabila wanita itu menyerah diri di balai polis yang sama. Kedua-dua wanita ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Azman berkata siasatan awal mendapati kepala Julie Yeoh Kartin, 39, dihentak denganĀ  senjata tajam sehingga cedera dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya polis masih belum boleh mengambil kenyataan daripada guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lay Keow di Permatang Pauh itu yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

– Bernama