Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat – Bernama


Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat

2012/04/18

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah seksual atau rogol membabitkan mangsa berumur di bawah 16 tahun yang turun pada 2010, meningkat semula tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,777 kes dicatatkan pada 2010 tetapi meningkat semula kepada 2,419 kes tahun lalu.

Katanya, sebanyak 924 kes dicatatkan pada 2005, 1,301 kes (2006), 1,653 kes (2007), 1,871 kes (2008) dan 2,049 kes (2009).

“Antara faktor utama yang dikenal pasti berlakunya kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak adalah seperti mangsa berada sendirian sama ada di dalam atau di luar rumah, mangsa culik dan mangsa diugut.

“Faktor lain ialah kurang pendidikan dan agama, masalah dalam institusi kekeluargaan, pengaruh dari media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka,” katanya katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
— BERNAMA