Kes Rogol Gadis Bawah Umur Hangat ‘Dibicarakan’ Umum, Kerajaan Pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan – mStar


Kes Rogol Gadis Bawah Umur Hangat ‘Dibicarakan’ Umum, Kerajaan Pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR: Keputusan dua kes rogol gadis bawah umur yang menyaksikan tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara, menjadi isu hangat yang ‘dibicarakan’ orang ramai sehingga menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kes pertama membabitkan bekas pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan, 19, yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dan bon jaminan RM25,000 selepas mengaku merogol seorang gadis berusia 13 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka pada 5 Julai, 2009.

Dalam kes kedua, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan perintah berkelakuan baik selama tiga tahun dan bon jaminan RM25,000 selepas mengaku merogol teman wanitanya yang berusia 12 tahun di rumah tertuduh di Ayer Hitam pada bulan Julai 2011.

Ini antara kes mahkamah yang mendapat liputan meluas dan dikritik hebat sepanjang tahun ini.

Pindaan Kanun Keseksaan itu bakal menyaksikan mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur akan dijatuhi hukuman penjara mandatori dan tidak boleh merujuk seksyen di bawah akta lain bagi meringankan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan beliau mencadangkan pindaan itu untuk mengekalkan hukuman penjara mandatori mengikut Seksyen 376, dan agar hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara mereka.

Beliau juga berkata pindaan itu dicadang berikutan jumlah kes rogol yang membabitkan gadis bawah umur adalah tinggi, selain melindungi mereka daripada terdedah kepada jenayah tersebut.

Rogol statutori ditakrifkan sebagai kes di mana seorang lelaki melakukan hubungan seks dengan seorang gadis di bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa izinnya, yang membawa hukuman minimum penjara lima tahun maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tahun ini juga menyaksikan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bercanggah dengan perlembagaan.

Sementara itu, skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) terus mendapat perhatian umum apabila bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan menipu kerajaan, mengemukakan representasi memohon pendakwaan menimbang semula pertuduhan terhadapnya selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Kes melibatkan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang berdepan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan sejumlah RM49.7 juta, turut mencuri tumpuan ramai.

Isu NFC juga menyaksikan Shahrizat memfailkan saman RM100 juta terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik parti itu, Mohd Rafizi Ramli, yang didakwa memfitnahnya.

Kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam satu forum berhubung kebebasan beragama orang Melayu mengundang kontroversi sehingga menyebabkan beliau memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (Malaysia)Berhad, yang didakwa memutar-belitkan kenyataannya.

Sementara itu, Koperal Jenain Subi menarik nafas lega apabila terlepas daripada menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskannya daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas.

Kes pembunuhan ngeri jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memasuki fasa berikutnya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya membela diri.

Tahun ini juga menjadi detik bermakna buat pekerja Lynas Advance Material Plant (Lynas) apabila dibenar memulakan operasi yang tertangguh sejak sekian lama selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan tiga penduduk untuk mendapatkan perintah injunksi interim berhubung lesen operasi sementara (TOL) yang diluluskan kepada syarikat itu. – BERNAMA

Tak diskriminasi guru lembut – Berita Harian


Tak diskriminasi guru lembut

Arau: Kementerian Pelajaran tidak bercadang menyekat peluang lelaki berperwatakan lembut menceburi bidang perguruan walaupun ia komited memerangi gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tidak ada sebab untuk kementerian tidak mengambil golongan itu menjadi guru jika mereka berkelayakan dan berkualiti untuk menjadi seorang pendidik.

“Kementerian tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasi guru berperwatakan lembut, tetapi jika mereka melakukan aktiviti menyalahi etika perguruan dan memberi pengaruh tidak baik kepada pelajar seperti menyertai ratu pondan, maka kita akan ambil tindakan.

“Bagaimanapun, tindakan itu bukan bermaksud terus dipecat, sebaliknya termasuk kaunseling dan amaran, manakala bagi kes mahkamah kita akan biarkan mahkamah yang tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Kolej Matrikulasi Arau, di sini, semalam.

Tidak wujud ‘mesej berbahaya’

Mohd Puad berkata, dalam usaha kementerian memerangi isu LGBT, tidak wujud ‘mesej berbahaya’ seperti didakwa golongan terbabit termasuk diskriminasi atau menimbulkan kebencian terhadap kumpulan berkenaan.

“Malah, dua minggu lalu saya didatangi seorang guru lelaki yang meminta bantuan selepas dia digantung tugas kerana didakwa merangsang seks pelajar lelaki di sekolahnya dan kes berkenaan sudah pun dibawa ke mahkamah.

“Walaupun mengakui berasa marah dengan keberanian guru itu yang sanggup berjumpa saya sebagai seorang Timbalan Menteri Pelajaran untuk mengadu hal seperti itu, kita perlu terima hakikat sudah tiba masanya isu LGBT ini dibincang secara serius, terbuka dan tidak dianggap sebagai ‘taboo’ (larangan),” katanya.
Tetap pandang serius

Mohd Puad berkata, walaupun isu LGBT bukan sesuatu yang signifikan dan besar membabitkan kumpulan guru, kementerian tetap memandang serius usaha menyekat pengaruh ini dalam kalangan pendidik supaya ia tidak menular kepada pelajar.

“Tidak timbul soal kebencian, diskriminasi dan marah terhadap golongan ini apabila menyentuh isu memerangi LGBT dan tanggapan itu perlu diperbetulkan.
Maka sebab itu jika ia berlaku dalam kalangan guru sekolah, kementerian berharap mereka diberikan kaunseling, motivasi dan kesedaran untuk membimbing golongan ini ke jalan yang betul dan bukan terus dipecat,” katanya.

‘Kami akan teliti’ – Metro


‘Kami akan teliti’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria semalam berkata Mahkamah Rayuan boleh menyemak semula kes pemain boling negara, Noor Afizal Azizan yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur.

Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara boleh memfailkan semakan semula kes itu, bagaimanapun mahkamah itu akan meneliti kewajaran bagi mahkamah itu menggunakan bidang kuasanya untuk menyemak semula kes itu.
“Jika Peguam Negara (yang merupakan pendakwa raya) memohon (bagi semakan semula), mahkamah boleh meneliti kewajaran untuk menggunakan bidang kuasanya untuk merayu. Mahkamah boleh putuskan kemudian. Saya tidak dapat ramalkan apa yang akan terjadi. Tidak wajar (untuk saya beri ulasan),” kata Arifin kepada pemberita ketika ditemui pada rumah terbuka hari raya di Istana Kehakiman di sini.

 

Ketua Hakim Negara berkata demikian ketika diminta mengulas kes mahkamah baru-baru ini membabitkan individu yang dituduh merogol gadis bawah yang hanya dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dan bukannya hukuman penjara.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak pendakwaan sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusannya.
Pada 8 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka yang membebaskan Noor Afizal dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis berusia 13 tahun.

 

 

Panel itu mengetepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka yang membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman lebih berat, selepas Mahkamah Sesyen melepaskannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara jam 12.30 tengah malam dan 5 pagi pada 5 Jun 2009.
Kepada soalan mengenai juruelektrik Chuah Guan Jiu yang juga dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur, Arifin berkata adalah subjudis untuk beliau mengulas kes itu ketika ini.

 

“Peguam Negara sedang merayu (keputusan Mahkamah Sesyen), ia akan mewujudkan keadaan prejudis terhadap kes rayuan (jika beliau (Arifin) mengulasnya).
“Tetapi kami akan menelitinya. Kami akan pertimbangkan semua aspek kes ini.
Keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad. Tiada apa yang kami dapat lakukan,” katanya.
Mahkamah Rayuan yang juga mahkamah tertinggi bagi Mahkamah Majistret dan Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menggunakan kuasa inherennya untuk menyemak semula kes tetapi perlu dalam keadaan luar biasa.
Kes rogol dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan peringkat terakhir ialah di Mahkamah Rayuan.
Mengenai badan kehakiman, Arifin berkata mulai tahun depan, badan itu akan menumpukan terhadap usaha menyelesaikan kes-kes tertunggak di Mahkamah Shah Alam kerana terdapat banyak kes jenayah yang sedang menunggu untuk dibicarakan dan juga kes sivil.
Arifin berkata, beliau yakin badan kehakiman mampu menyelesaikan kes itu dalam tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula – Bernama


Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula

7 September 2012
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini berkata Mahkamah Rayuan boleh menyemak semula kes pemain boling negara Noor Afizal Azizan yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur.

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara boleh memfailkan semakan semula kes itu, bagaimanapun mahkamah itu akan meneliti kewajaran bagi mahkamah itu menggunakan bidang kuasanya untuk menyemak semula kes itu.

“Jika Peguam Negara (yang merupakan pendakwa raya) memohon (bagi semakan semula), mahkamah boleh meneliti kewajaran untuk menggunakan bidang kuasanya untuk merayu. Mahkamah boleh putuskan kemudian. Saya tidak dapat ramalkan apa yang akan terjadi. Tidak wajar (untuk saya beri ulasan),” kata Arifin kepada pemberita ketika ditemui pada rumah terbuka Hari Raya di Istana Kehakiman di sini.

Ketua Hakim Negara berkata demikian ketika diminta mengulas kes mahkamah baru-baru ini membabitkan individu yang dituduh merogol gadis bawah yang hanya dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dan bukannya hukuman penjara.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Peguam Negara  Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak pendakwaan sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusannya.

Pada 8 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Presidennya Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka yang membebaskan Noor Afizal dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis berumur 13 tahun.

Panel itu mengenepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka yang membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman lebih berat, selepas Mahkamah Sesyen melepaskannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi pada 5 Jun, 2009.

Kepada soalan mengenai juruelektrik Chuah Guan Jiu yang juga dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur, Arifin berkata adalah subjudis untuk beliau mengulas kes itu ketika ini.

“Peguam Negara sedang merayu (keputusan Mahkamah Sesyen), ia akan mewujudkan keadaan prejudis terhadap kes rayuan (jika beliau (Arifin) mengulasnya).

“Tetapi kami akan menelitinya. Kami akan pertimbangkan semua aspek kes ini. Keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad. Tiada apa yang kami dapat lakukan,” katanya.

Mahkamah Rayuan yang merupakan mahkamah tertinggi bagi mahkamah majistret dan sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menggunakan kuasa inherennya untuk menyemak semula kes tetapi perlu dalam keadaan luar biasa.

Kes rogol dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan peringkat terakhir ialah di Mahkamah Rayuan.

Mengenai badan kehakiman, Arifin berkata mulai tahun depan, badan itu akan menumpukan terhadap usaha menyelesaikan kes-kes tertunggak di Mahkamah Shah Alam  kerana terdapat banyak kes jenayah yang sedang menunggu untuk dibicarakan dan juga kes-kes sivil.

Arifin berkata beliau yakin badan kehakiman mampu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata badan kehakiman telah berjaya menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Kuala Lumpur tahun lepas. – Bernama