Budak sekolah pecah rumah – Sinar Harian


Budak sekolah pecah rumah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013

KLUANG – Seorang remaja dan seorang pelajar sekolah diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Jalan Panglima, Renggam di sini, 15 Mac lalu.

Kedua-dua suspek berusia 16 dan 23 tahun itu ditahan sekitar jam 7 malam hasil daripada serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Sri Jaya Renggam, di sini, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan Pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani masalah itu. Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai menggunakan taktik mengumpil pintu hadapan rumah mangsa untuk masuk ke dalam rumah.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas tiga komputer riba, tiga telefon bimbit serta wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang, di sini, kelmarin.

Abdul Majid berkata, penahanan dua suspek terbabit berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar kawasan pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Suspek ditahan sehingga semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Empat ditahan curi gajet di Melaka – Bernama


Empat ditahan curi gajet di Melaka

5 Mac 2013

ALOR GAJAH – Polis berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri barangan gajet di dua daerah di Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan di kawasan Bachang dan Bemban di sini pada 20 dan 22 Feb lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit terlibat dalam 17 kes pecah rumah di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak enam bulan lepas.

“Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, lima komputer riba, dua kamera, satu pemain cakera padat dan satu cakera keras mudah alih,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam kes lain, Umar Ali Saifuddin berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Machap di sini, semalam.

Beliau berkata remaja terbabit yang tidak lagi bersekolah ditahan bersama 27 paket berisi dadah disyaki jenis heroin dengan berat kira-kira 41.6 gram yang keseluruhannya bernilai RM2,700 pada pukul 2.15 petang ketika sedang menunggu pelanggannya di kebun berkenaan. – Bernama

Penjenayah bawah umur kantoi – Sinar Harian


Penjenayah bawah umur kantoi

NOR AINNA HAMZAH
14 September 2012
Penjenayah bawah umur kantoi
Mizan (tiga, kiri) menunjukkan barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan Geng Roben

REMBAU – Masih di bangku sekolah, tetapi sudah berani melakukan kegiatan pecah rumah.

Itulah yang dilakukan Geng Roben dianggotai sembilan pelajar dari dua sekolah menengah di daerah ini yang akhirnya berjaya ditumpaskan polis.

Kumpulan berkenaan diketuai pelajar sekolah berusia 14 tahun sebelum ini dipercayai terbabit dalam 13 kes pecah rumah sejak Mei hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, polis percaya mereka sudah melakukan sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah di Taman Sri Rembau dan lima di Taman Rembau Utama, dekat sini.

Beliau berkata, susulan siri pecah rumah di kedua-dua taman perumahan yang terletak bersebelahan itu, polis percaya ia dilakukan warga tempatan, bagaimanapun agak mengejutkan apabila hasil siasatan mendapati ia dilakukan penjenayah bawah umur.

Menurutnya, polis melakukan tangkapan pertama 5 September lalu membabitkan pelajar berusia 14 tahun di kawasan sebuah sekolah di daerah ini ketika waktu persekolahan.

“Penangkapan itu berjaya mengesan dan menangkap lapan lagi anggota geng berkenaan yang juga pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah dengan menceroboh rumah menerusi tingkap naco yang batangnya sudah dibengkokkan.

Katanya, sebahagian besar kes pecah rumah berkenaan dilakukan pada waktu malam.

“Berikutan penahana itu, kita berjaya merampas satu telefon bimbit jenis Nokia, selain tiga tali pinggang, sehelai baju-T jenis Umbro, dua pasang kasut sukan jenis Nike dan Kronos, dua rantai leher, masing-masing satu rantai leher silver dan cincin; topi keledar, dompet serta wang tunai berjumlah RM3,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini
semalam.

Mizan berkata, kesemua pelajar berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Tujuh daripada pelajar berkenaan telah dibacakan pertuduhan kali pertama di mahkamah hari ini (semalam), sementara dua lagi masih disiasat,” katanya.

Suspek kes pecah rumah dan cubaan rogol di Cheras, diberkas – Bernama


Suspek kes pecah rumah dan cubaan rogol di Cheras, diberkas

3 Ogos 2012
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai suspek kes pecah rumah dan cubaan merogol seorang remaja di sebuah pangsapuri kos rendah di Pandan Perdana, Cheras, 4 Julai lepas, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata suspek berumur 26 tahun itu ditahan 12.45 malam di rumah sewanya di perumahan itu.

“Sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan peribadi antara barang yang dirampas daripada suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, selain memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes pukul, ujian air kencing suspek yang bekerja di kedai runcit berdekatan, juga positif dadah.

Dalam kejadian 3.50 pagi 4 Julai lepas, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera dileher akibat dikelar serta nyaris dirogol setelah rumahnya dipecah masuk.

Amiruddin berkata suspek kini direman sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin memaklumkan indeks jenayah di kawasan Ampang Jaya mencatat penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga Julai lalu iaitu 2,734 kes berbanding 3,415 tempoh sama, tahun lepas.

“Indeks jenayah di Ampang Jaya mencatat penurunan sebanyak 19.94 peratus atau 681 kes dalam tempoh Januari. – Bernama

Pelajar jual hasil curi di sekolah – Sinar Harian


Pelajar jual hasil curi di sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Julai 2012

Sahadan (tengah) menunjukkan barangan rampasan selepas menahan pelajar bersama rakan-rakannya yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan pecah kedai telefon bimbit.
Muar – Seorang pelajar berusia 14 tahun bersama tiga rakannya ditahan polis kerana memecah masuk sebuah kedai menjual telefon bimbit dekat sini, pada 30 Jun lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Shahadan Jaafar berkata, pelajar terbabit ditahan Sabtu lalu di sebuah rumah di sekitar bandar ini sebelum menahan tiga lagi suspek.

Menurutnya, tiga rakan suspek yang lain, masing-masing berusia lingkungan 20-an bekerja sebagai buruh dan pembantu kedai terlebih dahulu akan mengagih barang curi selepas memecah masuk kedai terlibat.

“Pelajar itu kemudiannya akan menjual pelbagai jenis telefon bimbit serta aksesori yang dicuri kepada rakan-rakan di sekolah dengan harga murah. “Berdasarkan rekod, tiga lagi rakannya dipercayai terbabit dalam beberapa lagi kes pecah rumah sekitar daerah ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000. “Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Selain itu, dalam perkembangan sama, Sahadan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam tiga kes pecah rumah sepanjang minggu lalu. Katanya, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di bandar ini, kelmarin selepas dipercayai terbabit melakukan dua pecah rumah pada 9 Julai lalu selain satu kes pada 10 Julai.

“Identiti lelaki terbabit diketahui menerusi semakan cap jari yang ditemui di rumah mangsa,” katanya. Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam pecah rumah.

Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita

10 Julai 2012
MELAKA – Polis menahan seorang remaja yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang empat hari lepas.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok bermula 1.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt R. Gunarajan berkata kesemua mereka dipercayai merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin sejak tahun lepas.

Beliau berkata hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa dalam kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian, remaja itu membonceng motosikal yang ditunggangi seorang lagi rakannya yang masih dijejaki,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35 yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Gunarajan berkata dalam operasi itu polis turut menemui tiga komputer riba, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, beg duit dan matawang asing dan empat topi kaledar yang dipercayai hasil ragut dan pecah rumah.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.

Katanya kesemua mereka yang juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama