Kes pelajar didera: Kursus motivasi akan ditambah baik – Bernama


Kes pelajar didera: Kursus motivasi akan ditambah baik

03/08/2011 4:09pm

 

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Jabatan Pelajaran Johor bersedia melakukan penambahbaikan terhadap kursus motivasi yang dianjurkan pihak sekolah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A. Ghani berkata, keputusan itu dibuat hari ini hasil perbincangan antara pihaknya dan Jabatan Penjara serta ibu bapa 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), di sini, yang didakwa didera secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, minggu lepas.

“Program motivasi akan diteruskan kerana dapat meningkatkan kecemerlangan disiplin dan sahsiah peribadi pelajar.

“Kami berpendapat program di luar bilik darjah juga perlu digerakkan kepada pelajar selain hanya menumpukan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengenai isu dera itu, Mohd Nor berkata, perkara berkenaan sedang disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap guru yang melanggar tatatertib. – Bernama