‘Elak dedah maklumat, gambar di laman sosial’ – Berita Harian


‘Elak dedah maklumat, gambar di laman sosial’
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/26
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mengelak mendedahkan maklumat peribadi, termasuk gambar anak mereka dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter kerana dikhuatiri digunakan penjenayah untuk menculik kanak-kanak terbabit.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok, berkata ramai penculik yang memiliki kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh mengeksploitasi maklumat itu untuk melakukan jenayah.
“Mungkin ibu bapa terbabit tidak sedar maklumat itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan memerangkap ahli keluarga mereka,” katanya kepada Berita Harian selepas menyampaikan syarahan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.
Tengku Mohd berkata, bagi remaja pula ramai tidak sedar tindakan memasukkan pelbagai data termasuk masalah keluarga dalam laman sosial memudahkan kumpulan penjenayah mendampingi golongan itu untuk direkrut menjadi anggota kumpulan mereka.

Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mengambil mudah penyaluran maklumat termasuk gambar menggunakan teknologi canggih itu kerana ada data tidak sesuai didedahkan serta boleh mengundang padah.

Beliau berkata, sebagai contoh ada kes pembunuhan berpunca daripada berang disindir dan dikutuk menggunakan Facebook dan suspek pembunuhan melakukannya kerana mahu membalas dendam.

“Selain itu ada kes penipuan membabitkan perniagaan dan pelaburan dalam internet sehingga berlaku transaksi wang kerana rakan mangsa mempercayai kenalan yang baru dikenalinya di laman sosial,” katanya.
Tengku Ahmad tidak menafikan ada kebaikan menggunakan ICT tetapi penggunanya hendaklah meneliti kesahihan maklumat berkenaan termasuk menemui pakar teknologi terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia benar atau sebaliknya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Daruis Lidin, berkata perkembangan ICT memudahkan musuh memantau dan membuat risikan kekuatan pertahanan sebelum menyerang sesebuah negara.

“Keadaan ini sudah berlaku di beberapa negara seperti Korea Utara apabila tenteranya dibekalkan dengan komputer riba untuk memudahkan mereka melakukan carian maklumat pertahanan musuh sebelum bertindak memusnahkan senjata berkenaan,” katanya.

Dirogol abang angkat – Berita Harian


Dirogol abang angkat
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2012/05/31

SUBANG JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua sarat mengandung lapan bulan dipercayai selepas dirogol abang angkatnya di kediaman keluarganya di Taman Tengah, Batu 14, Puchong Perdana.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki berusia 25 tahun itu pada Ogos tahun lalu sebelum disahkan mengandung, namun tidak memaklumkan ahli keluarganya kerana bimbang dimarahi.

Difahamkan, lelaki terbabit yang tinggal di Batu 13, Puchong itu adalah anak angkat kepada keluarga mangsa dan sering berulang-alik serta tidur di rumah mangsa.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki terbabit di kediamannya ketika keluarga mangsa tiada di rumah dan kejadian itu hanya disedari keluarga mangsa selepas pelajar itu sarat mengandung lapan bulan selepas melihat keadaan perutnya yang buncit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Yahaya Ramli, berkata selepas kejadian itu diketahui keluarganya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, petang kelmarin.

Katanya, siasatan polis mendapati, suspek sudah berkahwin dengan wanita lain dua bulan lalu dan gerakan memburu suspek sedang dijalankan.

“Mangsa dipercayai tidak memberitahu kejadian yang menimpanya sehingga mengandung lapan bulan kerana bimbang keluarganya akan memarahinya.
“Sepanjang lapan bulan mengandung, mangsa ke sekolah seperti biasa tanpa disedari sesiapa berikutan fizikalnya yang kecil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, polis memburu tujuh lelaki yang juga ahli kongsi gelap di Subang Jaya dipercayai terbabit dalam dua kes pembunuhan masing-masing pada 12 dan 13 Mei lalu.

Lelaki terbabit adalah M Kumar, 30, N Logeswaran, 25; R Srisangkar, 25; K Manoharan, 35; S Surendran, 27; R Surendren, 26 dan V Suresh, 25.

Semua suspek adalah anggota kumpulan kongsi gelap digelar Satu Hati dan Kumpulan 08 dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan dua lelaki tempatan di Kelana Jaya dan Taman Tasik Puchong Perdana.

Anak didakwa – Metro


Anak didakwa

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tampil dengan wajah selamba ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh bapa kandungnya di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini, dalam kejadian antara 30 April hingga 1 Mei lalu.

Tertuduh memakai baju lokap berwarna biru tidak menunjukkan sebarang riak walaupun dikerumuni jurugambar media yang menunggu di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.
Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebut semula kes pembunuhan itu dalam prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof dan peguam tertuduh, K Nahtan.

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca dan minta dibicarakan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kes kematian seorang hartawan, Jaswant Singh Udan Singh, 40, yang ditemui mati ditikam di salah sebuah bilik di rumahnya pada awal pagi Selasa lalu.

Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien – Berita Harian


Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien

2012/02/27

TAIPING: Polis mengesyaki ada lebih dua suspek yang dikenali mangsa terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya, di sini petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata siasatan awal polis di tempat kejadian mengesyaki kematian Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui lemas dengan keadaan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala, tidak dilakukan suspek secara berseorangan.

Sehubungan itu, katanya, polis kini melakukan usaha memburu suspek lain yang dipercayai terbabit selepas menahan seorang suspek berusia 18 tahun awal pagi kelmarin dan kini direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. Polis juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, jam 4.30 petang Jumaat lalu.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Yusof berkata, polis juga menolak dakwaan mangsa dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, kelmarin.
Katanya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul mangsa, tetapi gagal apabila mangsa melawan sebelum dipukul dengan objek keras di kepala.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam di dalam kolah, selain kesan kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.