‘Gemuk’ ditahan bantu siasat kes rogol – Bernama


‘Gemuk’ ditahan bantu siasat kes rogol
30 Ogos 2013

MELAKA – Polis Melaka menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘gemuk’ bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan yang dirogol tiga lelaki di sebuah chalet di Pengkalan Balak Alor Gajah di sini pada 3 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Pengkalan Balak di sini dalam Ops Cantas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira 10.30 malam tadi.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan penahanannya dipercayai membantu menyelesaikan kes rogol itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dipercayai dibawa suspek menaiki kenderaan ke sebuah chalet di Pengkalan Balak pada 3 pagi sebelum diserahkan kepada tiga lelaki dan dirogol.

Katanya suspek dipercayai turut terlibat dengan kes curi motosikal dan samun di sekitar negeri ini.

Gunarajan berkata dua lelaki berusia 15 dan 23 tahun ditahan selepas pelajar terbabit membuat laporan polis pada Ahad lepas dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki berusia 20-an berhubung kes itu. – Bernama

Kes Rogol Bawah Umur Di Sabah Tidak Pernah Digugur – Peguam Negara – Bernama


Kes Rogol Bawah Umur Di Sabah Tidak Pernah Digugur – Peguam Negara

PUTRAJAYA: Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.

“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita, Rabu.

Abdul Gani berkata memandangkan mangsa enggan memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun Facebook mereka, yang belum diperoleh.

“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa yang kita nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis keterangannya dengan teliti,” katanya.

Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.

Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan.

“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada bayaran ‘Sogit’ dari sudut perundangan. Maka saya mengesyaki ia sama seperti rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITS)Norhanida Anol mahu Riduan dihukum kerana mendakwa tertuduh membawa ‘satu gejala atau penyakit baharu’ yang boleh merosakkan masyarakat.

“Ini adalah perkara yang keji! Lelaki ini memberi satu platform kepada yang lain untuk bertindak (merogol) dan lari daripada kesalahan (dengan mengahwini mangsa).

“Kita mempunyai banyak masalah ketika ini, dan nampaknya kini kita juga terpaksa menangani gejala baharu seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Norhanida berkata beliau juga bimbang perkahwinan antara tertuduh dan managsa akan menimbulkan isu seperti perbuatan curang dan penderaan.

Beliau berkata PITS sebelum ini terpaksa membantu wanita muda dan bayi mereka selepas ditinggal suami, keluarga serta perogol mereka.

Beliau berkata hakikat bahawa mangsa berasal dari keluarga miskin lebih membimbangkan kerana keluarga gadis itu mungkin akan melepaskan tanggungjawab mereka kepada suaminya.

Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu pula berkata perbuatan Riduan melanggar undang-undang dan menyalah guna hak mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lelaki ini telah mengambil kesempatan terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdosa untuk keseronokan sendiri, dan dia berani mengatakan dia telah bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.

“Ini bukan kes ‘suka sama suka’ seperti yang lelaki itu dakwa. Kerosakan telah berlaku dan dia ingat dia boleh lari daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mariati Robert berkata jika kes itu tidak dibicarakan sepenuhnya, maka “ini merupakan hari yang menyedihkan untuk wanita dan gadis di Malaysia jika perogol fikir mereka boleh memperalat Mahkamah Syariah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan liabiliti.”

“Hakikat bahawa lelaki itu kini berkahwin dengan mangsa tidak membebaskannya daripada pertuduhan merogol,” katanya.

Mariati juga menggesa Mahkamah Syariah mempertimbang untuk mendakwa lelaki itu atas pertuduhan berzina.

Riduan didakwa pada 28 Feb lepas dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 1 hingga 4 Julai ini. – BERNAMA

Setan umpan buah – Metro


Setan umpan buah

 121  3 Google +0  1  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Kalidevi Mogan

Kuala Lumpur: Belum reda kes rogol membabitkan kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Bukit Tinggi, Klang, 8 Mei lalu, dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi mangsa rogol lelaki bernafsu syaitan dalam dua kejadian berasingan di Ampang dan Cheras, kelmarin.

Bagaimanapun, dua kanak-kanak perempuan terbabit bernasib baik kerana masih hidup namun keadaan mereka berdua dilaporkan masih trauma dan dirawat di hospital.
Menurut sumber, dalam kejadian pertama di Bandar Tun Razak, kanak-kanak terbabit ‘diculik’ sekumpulan tiga lelaki warga Pakistan selepas mangsa melarikan diri daripada rumahnya sebelum dirogol di sebuah hotel di Cheras manakala bagi kes di Ampang, kanak-kanak terbabit diumpan dengan buah-buahan sebelum diheret masuk ke sebuah rumah dan dirogol.

 

Katanya, dalam kejadian pertama, mangsa dilaporkan melarikan diri dari rumahnya di Bandar Tun Razak selepas mendakwa dipukul bapa saudaranya berusia lewat 30-an.
“Mangsa melarikan diri dari rumah jam 1.45 petang pada 11 Mei lalu dan menurutnya, dia bermalam di sebuah surau berhampiran kawasan berkenaan.
“Pada jam 2 petang kelmarin, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mendakwa dihampiri sebuah kereta sebelum seorang lelaki warga Pakistan menariknya masuk,” katanya memberitahu mangsa tidak mengecam jenis kenderaan itu namun mendakwa tiga lelaki berusia lewat 20-an berada dalam kenderaan itu.

 

Menurutnya, mangsa dibawa ke sebuah hotel di Cheras sebelum seorang daripada mereka merogolnya.
“Selepas merogol mangsa, kumpulan terbabit meninggalkannya di bahu jalan berhampiran Bandar Tun Razak. Mangsa yang kesakitan dilaporkan menangis sebelum tangisannya itu didengari seorang wanita.

 

“Dengan bantuan wanita berusia 40-an itu, mangsa dibawa ke Balai Polis Sungai Besi sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian menimpanya itu,” katanya mangsa kini masih dirawat di hospital.
Bagi kes kedua, mangsa dilaporkan berjalan sendirian ke rumah rakannya di Pandan Jaya, Ampang jam 2 petang kelmarin.
“Mangsa dihampiri lelaki tidak dikenali berusia 30-an sebelum mendakwa mahu memberinya buah. Termakan dengan umpan itu, mangsa dibawa ke sebuah rumah berhampiran kawasan berkenaan.
“Ketika berada dalam rumah berkenaan, mangsa diheret ke tandas sebelum pakaiannya ditanggalkan dan dirogol,” katanya.
Katanya, lelaki itu turut mengugut mangsa sekiranya menceritakan kejadian berkenaan kepada orang lain.
“Mangsa yang pulang ke rumah memaklumkan kejadian menimpanya kepada keluarga sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Mahkamah tambah empat lagi sebatan – Metro


Mahkamah tambah empat lagi sebatan

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Sarah Zulkifli

Shah Alam: Seorang mekanik terpaksa akur selepas Mahkamah Tinggi semalam, menambah hukuman penjara dan sebatan terhadapnya yang didapati bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu yang kononnya mahu dihantar ke sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Boh Chun Peng, 23, dipenjara 10 tahun dan enam kali sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, antara jam 12.20 tengah hari dan 6.30 petang, 18 Januari 2010.

 

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Pada 29 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mensabitkan perayu bersalah atas tuduhan itu.
Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira kekerapan kes rogol yang berlaku dan berharap hukuman diberikan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.

 

“Dalam kes ini, perayu mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ingin ke sekolah pada hari kejadian,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahkamahtambahempatlagisebatan/Article/index_html#sthash.LACfVJau.dpuf

Geram habis – Metro


Geram habis

 3561  79 Google +0  0  1

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang suspek kes rogol menerima perintah tahanan reman ke atasnya dalam keadaan koma dan terlantar di katil hospital selepas dia parah akibat dibelasah keluarga mangsa.

Lelaki berusia 28 tahun itu disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang meminta perlindungan di rumahnya di Bukit Puchong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, lelaki terbabit (suspek) dikejarkan ke HKL jam 9 malam, selepas dibelasah sekumpulan antara tiga hingga lima lelaki dipercayai keluarga remaja perempuan yang dirogolnya itu ketika suspek berada di Setapak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata akibat kejadian itu suspek cedera parah di kepala, selain empat tulang rusuk kanannya patah dan kini dilaporkan koma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

FotoSUSPEK kes rogol terlantar di hospital.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Kes rogol berlaku setiap minggu – Sinar Harian


Kes rogol berlaku setiap minggu

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013

KULIM – Kes jenayah rogol melibatkan remaja bawah umur kini semakin membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mengikut perangkaan dibuat, kes rogol berlaku setiap minggu dan dari jumlah itu 99 peratus darinya diklasifikasikan sebagai rogol suka sama suka.

Menurutnya, remaja hari ini terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang mudah diperoleh .

“Jika dahulu kes rogol melibatkan golongan dewasa, hari ini tidak lagi dan terkini seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan dirogol lebih 20 lelaki.

“Ini merupakan satu fenomena yang tidak normal bagaimanapun keluarga seharusnya  mengambil tahu aktiviti anak mereka dan tidak terlalu melindungi mereka.,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, melakukan persetubuhan dengan mana-mana pelajar atau murid bawah umur akan diklasifikasi sebagai rogol dan polis  akan bertindak menahan serta mendakwa pasangan terlibat.

Kes Rogol Gadis Bawah Umur Hangat ‘Dibicarakan’ Umum, Kerajaan Pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan – mStar


Kes Rogol Gadis Bawah Umur Hangat ‘Dibicarakan’ Umum, Kerajaan Pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR: Keputusan dua kes rogol gadis bawah umur yang menyaksikan tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara, menjadi isu hangat yang ‘dibicarakan’ orang ramai sehingga menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kes pertama membabitkan bekas pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan, 19, yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dan bon jaminan RM25,000 selepas mengaku merogol seorang gadis berusia 13 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka pada 5 Julai, 2009.

Dalam kes kedua, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan perintah berkelakuan baik selama tiga tahun dan bon jaminan RM25,000 selepas mengaku merogol teman wanitanya yang berusia 12 tahun di rumah tertuduh di Ayer Hitam pada bulan Julai 2011.

Ini antara kes mahkamah yang mendapat liputan meluas dan dikritik hebat sepanjang tahun ini.

Pindaan Kanun Keseksaan itu bakal menyaksikan mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur akan dijatuhi hukuman penjara mandatori dan tidak boleh merujuk seksyen di bawah akta lain bagi meringankan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan beliau mencadangkan pindaan itu untuk mengekalkan hukuman penjara mandatori mengikut Seksyen 376, dan agar hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara mereka.

Beliau juga berkata pindaan itu dicadang berikutan jumlah kes rogol yang membabitkan gadis bawah umur adalah tinggi, selain melindungi mereka daripada terdedah kepada jenayah tersebut.

Rogol statutori ditakrifkan sebagai kes di mana seorang lelaki melakukan hubungan seks dengan seorang gadis di bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa izinnya, yang membawa hukuman minimum penjara lima tahun maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tahun ini juga menyaksikan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bercanggah dengan perlembagaan.

Sementara itu, skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) terus mendapat perhatian umum apabila bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan menipu kerajaan, mengemukakan representasi memohon pendakwaan menimbang semula pertuduhan terhadapnya selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Kes melibatkan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang berdepan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan sejumlah RM49.7 juta, turut mencuri tumpuan ramai.

Isu NFC juga menyaksikan Shahrizat memfailkan saman RM100 juta terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik parti itu, Mohd Rafizi Ramli, yang didakwa memfitnahnya.

Kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam satu forum berhubung kebebasan beragama orang Melayu mengundang kontroversi sehingga menyebabkan beliau memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (Malaysia)Berhad, yang didakwa memutar-belitkan kenyataannya.

Sementara itu, Koperal Jenain Subi menarik nafas lega apabila terlepas daripada menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskannya daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas.

Kes pembunuhan ngeri jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memasuki fasa berikutnya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya membela diri.

Tahun ini juga menjadi detik bermakna buat pekerja Lynas Advance Material Plant (Lynas) apabila dibenar memulakan operasi yang tertangguh sejak sekian lama selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan tiga penduduk untuk mendapatkan perintah injunksi interim berhubung lesen operasi sementara (TOL) yang diluluskan kepada syarikat itu. – BERNAMA

Pelajar 14 tahun rogol remaja perempuan ditahan – Utusan


Pelajar 14 tahun rogol remaja perempuan ditahan

KANGAR 27 Dis. – Seorang pelajar berusia 14 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dua lokasi iaitu di Chuping dan Bukit Jernih dalam kejadian pada 18 Disember lalu.

Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Harun berkata pelajar itu ditahan Selasa lalu dan ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan kes itu.

Rakan pelajar itu yang berumur 18 tahun dan merupakan pekerja sebuah syarikat turut ditahan kerana disyaki mencabul adik perempuan remaja perempuan itu yang berumur 13 tahun juga di lokasi dan pada tarikh yang sama, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati adik mangsa telah menemani mangsa bertemu dengan pelajar itu yang merupakan teman lelakinya dan rakan pelajar itu yang kemudian membawa mereka dengan motosikal masing-masing ke sebuah rumah di Chuping.

Di rumah itu, katanya mangsa mendakwa telah dirogol teman lelakinya itu manakala adiknya dicabul oleh rakan pelajar itu dan mereka kemudian telah dibawa ke sebuah rumah di Bukit Jernih dan diperlakukan perkara yang sama.

Zull Aznam berkata kes rogol itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Manakala kes cabul mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121227/je_04/Pelajar-14-tahun-rogol-remaja-perempuan-ditahan#ixzz2GUm4JVh9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bunuh Pelajar Perempuan 16 Tahun – mStar


Bunuh Pelajar Perempuan 16 Tahun

Oleh STEPHANIE LEE

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun yang dikaitkan dengan kes rogol dan pembunuhan kejam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Kota Matudu, Sabah.

Suspek, merupakan warga asing yang mengendalikan sebuah kedai perabot ditahan pada kira-kira pukul 10 pagi Selasa selepas mayat Norikoh Saliwah ditemui dibuang di tepi jalan dekat Kampung Ranau pada kira-kira pukul 12.40 petang pada Ahad, kira-kira 2 kilometer dari bandar Kota Marudu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Assiten Superitendan Kamaruddin Sulaiman mengesahkan penangkapan itu berkata, polis percaya budak perempuan itu dirogol dan dibunuh.

“Kami sedang menyoal siasat suspek,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut mengenai kes yang mencetuskan kemarahan penduduk di Kota Marudu.

Menurut rakan-rakan dan keluarga mangsa, gadis itu kali terakhir dilihat pergi ke kedai perabot bersama kakak dan sepupu mereka.

Kakak dan sepupu dikatakan meninggalkannya di kedai kerana mangsa pergi untuk melihat perabot di tingkat atas kedai.

Ia adalah kali terakhir gadis itu dilihat oleh kakak dan sepupunya yang hanya menyedari dia pada tengah hari Ahad.

Polis, yang pada mulanya menjumpai mayat di tepi jalan, mengesyaki dia menjadi mangsa langgar lari.

Juruelektrik dipenjara 5 tahun setengah rogol gadis bawah umur – Utusan


Juruelektrik dipenjara 5 tahun setengah rogol gadis bawah umur

 

GEORGETOWN 19 Nov. – Seorang juruelektrik yang sebelum ini dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol gadis bawah umur, hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun setengah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Hakim Datuk Seri Zakaria Sam menetapkan hukuman itu selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun dengan ikat jamin RM25,000 pada Ogos lepas.

Dalam penghakimannya Zakaria berkata, persetujuan mangsa (melakukan hubungan seks) tidak boleh diambil kira dalam kes rogol dan tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Pada 20 Julai, Chuah mengaku bersalah merogol teman wanitanya yang ketika itu berusia 12 tahun di flat kediamannya di Air Itam, di sini antara 7 pagi dan 1 petang pada 18 Julai tahun lepas, dan antara 2.25 petang dan 2.45 petang keesokan harinya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121119/ma_02/Juruelektrik-dipenjara-5-tahun-setengah-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz2Cev8jIdo
© Utusan Melayu (M) Bhd