Remaja didakwa sumbang mahram dengan kakak sendiri – Bernama


Remaja didakwa sumbang mahram dengan kakak sendiri

JERANTUT 13 Sept. – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya pada November tahun lepas.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol di dalam kamarnya, namun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan itu terhadap kakaknya yang berusia 15 tahun di Lot 2324 Kampung Bukit Kor, Batu Balai di sini pada 12 tengah malam, pada November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Remaja itu dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula 18 Oktober depan.

Bapa tertuduh membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Insp Arifin Saidun manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Kamaruddin.

Kes sumbang mahram itu terbongkar apabila mangsa melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor pada 12 Ogos lepas dan laporan kes itu dibuat seorang jururawat hospital itu pada 22 Ogos lalu. – BERNAMA

Ambil keterangan remaja kes sumbang mahram – Metro


Ambil keterangan remaja kes sumbang mahram

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan anak perempuan seorang pemimpin parti pembangkang yang berusia 56 tahun terbabit dalam kes sumbang mahram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, siasatan terperinci dijalankan untuk mengetahui pembabitan lelaki itu dalam kes berkenaan selepas anak perempuannya yang berusia 15 tahun melahirkan anak.
Katanya, polis juga menyiasat sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes sumbang mahram itu.

 

Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) diambil daripada kedua-dua suspek akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang pemimpin sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram sehingga remaja perempuan itu melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur empat hari lalu.
Pemimpin bersama anak lelakinya berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lalu bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan bayi lelaki sebelum dibebaskan Isnin lalu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012

Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan – Bernama


Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan

28 Ogos 2012
JERANTUT – Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. – Bernama