Kesan positif lepas 10 bulan – Metro


Kesan positif lepas 10 bulan

Laporan dan foto Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMPORNA: Selepas lebih 10 bulan Pertubuhan Kanak-Kanak Inspirasi (Kids) Malaysia melaksanakan program pendidikan secara percuma di Kampung Bangau-Bangau, dekat sini, kesan positif mula dapat dilihat apabila ramai pelajarnya kini sudah boleh membaca dan menulis dengan baik.

Pengasas Kids, Mazuin Mohd Ismail berkata, pihaknya mengambil pendekatan memecahkan 340 pelajar berumur antara lima hingga 15 tahun itu kepada empat peringkat bagi memudahkan aktiviti pembelajaran dilakukan mengikut kemampuan dan kebolehan mereka.
“Pada awalnya kami mengajar semua kanak-kanak itu perkara asas iaitu mengenal huruf, nombor serta membaca.

 

“Hanya selepas beberapa bulan, sebahagian mereka menunjukkan perkembangan positif sehingga boleh membaca dan menulis dengan baik.
“Oleh itu, kami tidak boleh meletakkan mereka dalam kelas sama bagi memastikan kebolehan mereka terus berkembang dengan cepat serta kanak-kanak lain tidak terus tenggelam dan ketinggalan sepanjang mengikuti kelas di sini,” katanya kepada Harian Metro, di sini.
Januari lalu, Kids Malaysia menjangkakan 215 kanak-kanak akan mengikuti program kelas berkenaan, namun jumlah itu meningkat sehingga 340 orang.

 

 

Usaha pertubuhan itu pada Januari lalu disiarkan secara bersiri selama tiga hari dalam Harian Metro dan Metro Ahad menerusi ruangan Wajah Kehidupan.
Menerusi ruangan itu, didedahkan juga masalah kanak-kanak di Tawau dan Semporna tercicir menerima pendidikan disebabkan faktor tiada sijil lahir selain bergelut dengan kemiskinan.

 

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menghabiskan masa dengan keluar bekerja menjual plastik, makanan dan mengemis bagi menampung keperluan harian keluarga.
Pada masa ini, antara 200 hingga 300 kanak-kanak lagi masih menunggu untuk mendapat pendidikan itu. Mereka menunjukkan minat untuk belajar selepas sebahagian besar kanak-kanak tercicir dalam bidang pendidikan di kampung itu.
Mazuin berkata, kini 30 peratus kanak-kanak gelandangan yang mengikuti kelas anjuran Kids boleh membaca dan menulis dengan baik, malah lapan daripadanya juga kini boleh membaca dalam Bahasa Inggeris.
“Berdasarkan kajian, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah lebih cepat belajar aspek mengenal dan mengingati huruf berbanding pelajar lebih dewasa,” katanya. “Mungkin disebabkan mereka masih kurang terdedah dengan persekitaran menyebabkan dapat menerima apa yang diajar dengan lebih mudah.
“Ini menguatkan lagi semangat saya dan sukarelawan Kids Malaysia yang lain untuk meneruskan usaha kami dalam memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak di sini,” katanya.
Sementara itu, Aisa Amir Bahar, 12, kanak-kanak yang kini boleh membaca dan menulis dengan baik serta sedang belajar Bahasa Inggeris, menyifatkan pendidikan percuma diadakan banyak membantunya menjalani kehidupan seharian.
Disebabkan kegigihan mereka, kini Aisa dan adiknya Al Sidin, 10, boleh membaca dengan baik dan sedang mengikuti kelas Bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17