Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100 – Bernama


Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100

22 Januari 2013

MIRI – Kementerian Pelajaran disaran menimbang kemungkinan memasukkan wang bantuan RM100 secara terus ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa mereka sebagai suatu cara pengagihan yang lebih cepat dan sistematik.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pelajar membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

“Ini akan memastikan pelajar dan ibu bapa menerima bantuan itu pada November atau Disember untuk membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti pensil dan buku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata cadangan pembukaan akaun bank perlu diberi pertimbangan memandangkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terpaksa ke bandar hanya untuk mendapatkan RM100.

“Kadang-kadang, kos pengangkutan lebih daripada RM100 yang mereka terima, jadi lebih baiklah mereka buka akaun bank,” katanya sambil berharap jumlah bantuan itu ditambah beransur-ansur dengan kenaikan minimum RM50, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Berkongsi pendapat yang sama, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Columba Miri Karambir Singh berkata wang bantuan itu boleh dikreditkan ke dalam akaun bank pelajar, ibu bapa atau penjaga.

“Cara itu lebih cepat dan guru boleh meminta nombor akaun daripada ibu bapa dan penjaga pada hari pendaftaran,” katanya selepas majlis penyampaian wang bantuan RM100 oleh Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, setiausaha politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, di sini hari ini.

Christina Bundak, 37, antara penerima wang bantuan itu, berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan itu dikreditkan ke dalam akaun bank memandangkan sistem yang diguna sekarang agak membebankan sesetengah ibu bapa kerana mereka perlu berbaris panjang, merempuh kesesakan lalu lintas dan memohon cuti.

Ketika mengalu-alukan inisiatif yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, pesara Logie Krian, 60, meminta kerajaan mencari alternatif agar bantuan berkenaan boleh diagihkan dengan lebih cekap.

Sementara itu, Ting, yang juga setiausaha publisiti dan penerangan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata sehingga 18 Jan, 45,991 pelajar di Miri telah menerima bantuan kewangan itu.  – Bernama

Persatuan guru mahu kemuka cadangan tambah baik SBPA – Bernama


Persatuan guru mahu kemuka cadangan tambah baik SBPA

4 Februari 2012

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan untuk
proses semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Sehubungan itu pengerusinya Jemale Paiman berkata pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merangka dan meneliti skim itu khususnya kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan.

“Kita memberi jaminan kepada kerajaan untuk kita menyiapkan satu cadangan skala gaji baru kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan iaitu
dalam tempoh lapan hari bermula hari ini.

“Antara aspek yang diberi tumpuan adalah isu kenaikan gaji, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 dan merapatkan jurang gaji penjawat awam gred tinggi dengan rendah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan majlis taklimat dan mesyuarat SBPA di sini hari ini.

Menurut beliau, skim SBPA adalah tidak jelas dan kurang menepati keperluan dan kehendak penjawat awam yang berkhidmat dalam bidang pendidikan
yang merupakan sektor penting dalam pembangunan negara.

Jemale berkata pihaknya juga akan mengadakan satu perjumpaan segera bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangkakan pada penghujung bulan ini.

“Pada perjumpaan itu juga, cadangan-cadangan penambahbaikan akan di serahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap agar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dapat melantik wakil guru dalam Pasukan Petugas Khas Semakan Semula SBPA.

“Kita berharap golongan pendidik dapat bersama-sama dalam pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam untuk mereka mengetahui cadangan dan pendapat dari golongan ini,” katanya.

Beliau berkata MPKPG mencadangkan tiga wakil dalam pasukan itu iaitu Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamaed Sabri Mohd Arsad, Presiden Kesatuan Guru Sarawak dan Sabah, William Ghani Bina serta beliau mewakili MPKPG.- Bernama

Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak – Berita Harian


Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2012/01/11

Naik 30 peratus bagi atasi masalah permohonan perpindahan 

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) menuntut Kementerian Pelajaran menaikkan kuota pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak sehingga 60 peratus bagi mengatasi masalah kekurangan guru anak tempatan.

Langkah menambah lagi 30 peratus kuota sedia ada itu perlu untuk manfaat jangka panjang selain mengatasi masalah permohonan perpindahan guru asal Semenanjung bertugas di dua negeri itu.

Hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka. – William Ghani Bina, Presiden KGS

Presiden KGS, William Ghani Bina, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa berdepan ribuan permohonan dari guru Semenanjung yang ditugaskan di Sabah serta Sarawak, yang hanya mampu diatasi jika jumlah guru anak tempatan mencukupi.

Katanya, lebih banyak guru pelatih dari Borneo perlu diambil dalam dua hingga tiga tahun akan datang sebelum kuota pengambilan boleh kembali kepada asal, selepas bilangan guru di dua negeri itu mencukupi.

“Saya tidak salahkan guru dari Semenanjung yang memohon dipindahkan keluar dari Sabah dan Sarawak. Jika saya ada anak yang bertugas di Semenanjung, saya juga akan menyuruh dia pulang ke Sarawak.

“Saya menegaskan hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan kuota pengambilan guru pelatih masing-masing dari Sabah dan Sarawak kekal 30 peratus, yang antaranya bertujuan mengurangkan jumlah permohonan pertukaran guru.

William berkata, kuota pengambilan sedia ada jelas tidak mencukupi kerana ia hanya menyelesaikan masalah kekurangan guru di dua negeri terbabit bagi jangka pendek saja.

“Saya katakan banyak kali, kementerian perlu mengambil ramai guru pedalaman terutama mengikut etnik seperti dari suku Penan, Orang Ulu serta masyarakat Melayu di sini juga.

“Secara tidak langsung apabila ramai masyarakat luar bandar diambil berkhidmat sebagai guru, taraf kehidupan mereka akan meningkat dengan kesedaran terhadap kepentingan pelajaran dapat ditingkatkan,” katanya.