Murid Tahun Enam antara 30 disaman – Berita Harian


Murid Tahun Enam antara 30 disaman
Oleh Junita Mat Rasid

2012/01/29

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA: Tindakan dua murid Tahun Enam menunggang motosikal sejauh 40 kilometer, dari Pontian ke Pekan Kelapa Sawit, di sini kononnya untuk membeli alat ganti, menerima padah apabila masing-masing disaman, manakala kenderaan mereka disita polis trafik, pagi semalam.

Dua kanak-kanak terbabit adalah antara 30 penunggang motosikal yang disaman manakala kenderaan mereka disita dalam operasi Polis Trafik Kulaijaya, bermula jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi selama tiga jam itu, dua murid terbabit, bersama seorang pelajar Tingkatan Satu yang membonceng, turut tidak memakai topi keledar sepanjang perjalanan, selain menunggang laju.

Operasi diketuai Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kulaijaya, Asisten Superintendan Gurbindir Singh, bersama 26 anggota itu dijalankan selepas kempen keselamatan jalan raya dan agihan topi keledar percuma dijalankan, selain pemerhatian mendapati ramai remaja bawah umur di kawasan itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid terbabit.

“Mereka mendakwa membeli alat ganti motosikal berupa fairing dan lampu daripada seorang rakan di sebuah kedai tetapi tiada resit rasmi dikeluarkan, kita bimbang kemungkinan itu barangan curi,” katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lagi murid Tahun Enam yang menunggang motosikal dengan alasan membeli barang di kedai berhampiran rumahnya di pekan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan murid sekolah dan remaja bawah umur menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka dan seolah-olah mengambil mudah peraturan jalan raya hingga mengabaikan keselamatan diri sendiri, serta pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang itu dibawa ke IPD Kulaijaya untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan ujian air kencing, manakala ibu bapa penunggang motosikal bawah umur turut dipanggil kerana kesalahan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan dikenakan saman.

Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual – Bernama


Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual

2012/01/10

IPOH: Mereka yang memegang lesen memandu selepas diuji dengan kenderaan transmisi automatik hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu sahaja mulai Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan sistem baru itu, pemandu yang lulus selepas diuji menggunakan kenderaan manual dibenarkan memandu kedua-dua jenis kenderaan, transmisi automatik dan manual.

“Kita sedang membuat satu rancangan pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap yang merangkumi ujian menggunakan kereta automatik sebagai satu pilihan.

“Terpulang pada pelajar untuk memilih sama ada mereka hendak diuji dengan kenderaan automatik atau manual untuk belajar.

“Mereka yang diuji kereta manual lesen memandu boleh digunakan untuk memandu manual dan auto manakala mereka yang diuji dengan kereta auto, pemegang lesen hanya boleh memandu kereta auto sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cek Magnum IT Sdn Bhd sebanyak RM69,000 kepada 23 badan-badan kebajikan di seluruh Perak.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang akan dilaksanakan pada Mei selepas pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap.
Mengenai pendidikan keselamatan jalan raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah, Kong berkata, kerajaan bercadang untuk melanjutkannya sehingga ke Tingkatan Empat bagi mewujudkan satu budaya keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda.

Kong berkata, bagi Tingkatan Satu sebuah buku teks yang mengandungi pendidikan keselamatan jalan raya disediakan mulai tahun ini.

“Ini adalah satu usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai satu usaha untuk membantu pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” katanya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih. – BERNAMA