Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN – Bernama


Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk pelajar sekolah adalah tugas dan tanggungjawab teras Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan terus membantu pihak sekolah meningkatkan kawalan dan rondaan di sekolah di sekitar Lembah Klang terutama pada waktu puncak persekolahan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, semalam bahawa kementerian akan memperluaskan skop rondaan bersama antara PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.
PDRM menyambut baik kenyataan itu, kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim turut berkata, langkah itu sebagai meneruskan inisiatif ‘omnipresence’ di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

‘Omnipresence’ merujuk kepada kehadiran polis yang dapat mengurangkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah dalam kalangan orang ramai, meluaskan pembabitan antara rakyat dan pasukan keselamatan serta menjadi penghalang kepada bakal penjenayah. – BERNAMA