Kesempitan hidup punca 3 daripada 10 beradik tidak sekolah – Sinar Harian


Kesempitan hidup punca 3 daripada 10 beradik tidak sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Mac 2013
Kesempitan hidup punca 3 daripada 10 beradik tidak sekolah
Keluarga Ishak terpaksa tinggal berhimpit di rumah mereka yang usang akibat kesempitan hidup.

ALOR SETAR – Sepuluh beradik yang tinggal di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, di sini, bukan sahaja menjalani hidup dalam serba kekurangan, malah tiga daripada mereka mengalami masalah keciciran dari persekolahan akibat kesempitan hidup.

Kehidupan yang sukar itu turut ditambah dengan keadaan ketua keluarganya, Ishak Darus, 73, mempunyai masalah jantung bengkak dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala isteri, Jamaliah Rejab, 46, mengalami sakit kaki.

Lebih menyedihkan, mereka sekeluarga terpaksa berhimpit mendiami rumah yang usang tanpa bekalan elektrik sejak setahun lalu dan bakal berhadapan dengan masalah bekalan air akibat tidak mampu menjelaskan bil tertunggak.

Jamaliah berkata, mereka sekeluarga hanya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan yang diterima suaminya.

“Anak-anak, Siti Khadijah, 24, Siti Nor Maimunah, 17, dan Siti Mariam, 15, hanya mampu bekerja di kedai makan, manakala Siti Nor Saadiahton, 19, bekerja di sebuah kedai kasut bagi menampung kos kehidupan kami,” katanya.

Kata Jamaliah, disebabkan kesulitan hidup, anak-anaknya tidak mampu menghabiskan persekolahan.

Jelasnya, dia berasa sedih kerana anaknya, Siti Mariam yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent tidak mampu mencapai cita-citanya sebagai doktor, manakala dua adiknya, Siti Hajar, 13, dan Mohd Shahrin, 11 juga mengikut jejak sama kerana desakan hidup yang dialami ini.

“Alhamdulillah kerana anak bongsu, Siti Nor Diana, 10, masih boleh meneruskan pelajarannya atas bantuan pihak sekolahnya yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Sementara itu, Siti Hajar berkata, walaupun tidak boleh membaca mahupun menulis namun jika diberi peluang, dia ingin menggunakannya sebaik mungkin.

Katanya, dia berharap dengan adanya pelajaran akan membantu mengubah nasib keluarganya.

“Tetapi keselesaan kami adalah lebih penting tambahan lagi, keadaan bumbung yang rosak dan dinding dimakan anai-anai membimbangkan kami sekeluarga.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Kepada pihak yang prihatin dengan nasib keluarga Ishak boleh menyalurkan sumbangan pada anaknya, Siti Nor Sanisah Ishak dalam akaun Bank Rakyat (22-002-130466-7) ataupun menghubungi Siti Nor Saadiahton di talian 014-7587740.