Pengemis cilik cemar Bukit Bintang – Kosmo


Pengemis cilik cemar Bukit Bintang

 

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

 

SELEPAS mendapat sedikit wang, sekumpulan pengemis kanak-kanak berhenti makan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – Kehadiran sekumpulan pengemis cilik saban hari sejak kebelakangan ini mengganggu pengguna jalan raya di sekitar Bukit Bintang.

Senario itu bukan sahaja mencacatkan kawasan destinasi beli-belah tersohor negara malah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelancong.

Jika sebelum ini, kelibat mereka dilihat berkeliaran di tepi-tepi jalan dan di luar premis tetapi kali ini, mereka sanggup membahayakan diri mengemis wang daripada orang ramai dengan menjual bunga mawar di tengah-tengah jalan raya yang sesak.

Tinjauan Kosmo! selama dua hari mendapati, pengemis cilik yang berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun itu meminta sedekah daripada pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dengan menjual sekuntum bunga mawar pada harga RM10 hingga RM20.

Aktiviti mengemis bermula pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 4 petang selepas orang ramai mula pulang dari tempat kerja masing-masing dan kegiatan mereka semakin rancak menjelang tengah malam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2OcWm0h64
Hakcipta terpelihara

Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100 – Bernama


Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100

22 Januari 2013

MIRI – Kementerian Pelajaran disaran menimbang kemungkinan memasukkan wang bantuan RM100 secara terus ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa mereka sebagai suatu cara pengagihan yang lebih cepat dan sistematik.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pelajar membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

“Ini akan memastikan pelajar dan ibu bapa menerima bantuan itu pada November atau Disember untuk membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti pensil dan buku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata cadangan pembukaan akaun bank perlu diberi pertimbangan memandangkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terpaksa ke bandar hanya untuk mendapatkan RM100.

“Kadang-kadang, kos pengangkutan lebih daripada RM100 yang mereka terima, jadi lebih baiklah mereka buka akaun bank,” katanya sambil berharap jumlah bantuan itu ditambah beransur-ansur dengan kenaikan minimum RM50, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Berkongsi pendapat yang sama, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Columba Miri Karambir Singh berkata wang bantuan itu boleh dikreditkan ke dalam akaun bank pelajar, ibu bapa atau penjaga.

“Cara itu lebih cepat dan guru boleh meminta nombor akaun daripada ibu bapa dan penjaga pada hari pendaftaran,” katanya selepas majlis penyampaian wang bantuan RM100 oleh Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, setiausaha politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, di sini hari ini.

Christina Bundak, 37, antara penerima wang bantuan itu, berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan itu dikreditkan ke dalam akaun bank memandangkan sistem yang diguna sekarang agak membebankan sesetengah ibu bapa kerana mereka perlu berbaris panjang, merempuh kesesakan lalu lintas dan memohon cuti.

Ketika mengalu-alukan inisiatif yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, pesara Logie Krian, 60, meminta kerajaan mencari alternatif agar bantuan berkenaan boleh diagihkan dengan lebih cekap.

Sementara itu, Ting, yang juga setiausaha publisiti dan penerangan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata sehingga 18 Jan, 45,991 pelajar di Miri telah menerima bantuan kewangan itu.  – Bernama

Sekolah cuti awal Aidilfitri – Berita Harian


Sekolah cuti awal Aidilfitri
03:32:29 AM | (10) Oleh Mohd Azrone Sarabatin CetakEmel Kawan

Tiada kelas 17 Ogos sempena balik kampung

Kementerian Pelajaran menetapkan Jumaat 17 Ogos depan sebagai cuti berganti sempena Aidilfitri untuk sekolah di negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad.
Pihak sekolah dicadangkan menggantikan cuti berkenaan pada Sabtu 22 September.
Kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.
Surat siaran mengenainya yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufa‘at Tumin, sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran negeri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, pula berkata cuti pada Jumaat itu untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang dijangka pada Ahad 19 Ogos.

Bercakap kepada BH semalam, beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Beliau diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekolah diberikan cuti awal bagi memudahkan murid pulang kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Mereka mengemukakan cadangan itu menerusi panggilan telefon dan laman Facebook BH.
NUTP anggap keputusan tepat

Dalam surat siaran Bilangan 25/2012 itu, kementerian tidak menyelaras cuti berganti Aidilfitri kerana perayaan diraikan dalam cuti pertengahan penggal kedua. Ini bermakna cuti ganti hanya untuk sekolah di negeri Kumpulan B, iaitu hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata kementerian membuat keputusan tepat memberi cuti ganti pada 17 Ogos.

Katanya, ini memudahkan orang ramai merancang program balik kampung tanpa perlu meredah kesesakan lalu lintas yang teruk berbanding menjelang perayaan.

Beliau berkata, ada keluarga sanggup memulakan perjalanan pada jam 11 malam walaupun ia tidak sesuai kerana penat dan mengantuk yang mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya.

Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan – Berita Harian


Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan

2012/05/02

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan pakaian seragam di sekolahnya, pagi Ahad lalu.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan St Micheal, Muhammad Norman Zahar, dilaporkan gagal dikesan oleh keluarganya ketika ingin mengambilnya di sekolah sebaik program itu berakhir.

Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, mempercayai anaknya diculik kerana kanak-kanak itu tidak pernah hilang dari rumah atau mempunyai masalah dengan keluarga.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah selepas selesai program perkhemahan kira-kira jam 10 pagi, Ahad lalu.

“Namun, kami tidak menemuinya sepanjang hari. Kami membuat laporan polis pada malam Ahad lalu,” katanya ketika ditemui di Taman Tawas Indah, di sini, semalam.

Lebih menguatkan syak anaknya diculik apabila anak saudaranya, Fazli Bakhtiar, 22, yang sedang memandu lori terserempak dengan Muhamamad Norman dalam sebuah kereta Perodua MyVi di Jalan Silibin, di sini, kelmarin.

“Anak saudara saya memaklumkan Muhammad Norman melambaikan tangan dari dalam kereta berkenaan, namun gagal dijejaki dan lesap dalam kesesakan lalu lintas.
“Selang sejam kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak saya berada bersamanya dan akan menghantarnya pulang ke rumah,” katanya.

Sharifah berkata, dia menunggu kepulangan anaknya itu di rumah, namun kelibat Norman tidak muncul sebelum dia menyerahkan nombor telefon suspek kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya dan suami, Zahar Ahmad, 37, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa keluarga kami. Kami percaya ada individu yang menyembunyikan anak kami,” katanya yang berusaha menjejaki mangsa, termasuk menerusi rakan sekolahnya dan sanak- saudara di Ipoh serta Taiping.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihak nya menerima laporan dibuat keluarga mangsa.

“Sehingga semalam, kami tidak dapat menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.