Dituduh rogol remaja – Sinar Harian


Dituduh rogol remaja
ROSMIZA KASIM FOTO:KHIRU SHALLEH ABDULLAH
6 Ogos 2012

Mohammad Izdihar tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pemuda dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 27 Julai lalu.

Bagaimanapun, Mohammad Izdihar Abdullah, 21, ketika dihadapkan di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Izdihar didakwa merogol remaja berusia 14 tahun 4 bulan itu di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 1.30 pagi, bulan lalu.

Dakwaan ke atas lelaki dari Kampung Pagut, Ketereh itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Salam tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan Nariman menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas Mohammad Izdihar.

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan mangsa.

Murid Tahun Satu lalui pengalaman ngeri lintah masuk dalam dubur – Bernama


Murid Tahun Satu lalui pengalaman ngeri lintah masuk dalam dubur

13 Mei 2012

KOTA BHARU – Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Chengal, Ketereh, di sini melalui pengalaman yang mengerikan apabila seekor lintah sebesar ibu jari orang dewasa, masuk ke dalam duburnya ketika menangkap ikan di sebuah paya berdekatan rumahnya.

Mohd Farhan Adli Mohd Alpatah, 7, yang berasal daripada Kampung Paya Rambai itu, berkata dia hanya menyedari kehadiran lintah tersebut selepas mengalami pendarahan di duburnya.

“Saya masuk hospital semalam selepas tengok dubur berdarah ketika nak buang air besar dan beritahu keluarga mengenai perkara itu sebelum mendapatkan rawatan di hospital (Raja Perempuan Zainab II).

“Sebelum ini, saya dan tiga orang rakan pergi ke sebuah paya berdekatan rumah untuk mencari ikan, namun tak sangka pula ada lintah masuk dalam dubur,”
katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima kunjungan isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan
Ahmed Meah di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu dijangka keluar daripada hospital dalam tempoh sehari dua lagi setelah lintah itu berjaya dikeluarkan. – Bernama