Ketua penyelia nampak murid seperti kena sawan – Utusan


Ketua penyelia nampak murid seperti kena sawan

KANGAR 1 Nov. – Ketua Penyelia Asrama Lelaki Sekolah Rendah Agama Al-Furqan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak Saiful Syazani Saiful Sopfidee seperti terkena sawan atau kekejangan semasa berada di dalam bilik penyelia asrama yang dituduh membunuh pelajar berusia tujuh tahun itu.

Mohd. Yasin Mohd. Yunus, 29, berkata, ketika itu tertuduh, Hanif Mohd. Ali sedang memangku dan mengusap kaki mangsa menggunakan sejenis minyak angin pada hari kejadian.

”Saya juga nampak mulut Saiful Syazani berdarah dan terus mengajak Hanif menghantar mangsa ke hospital,” katanya.

Menurut Mohd. Yasin, pada pukul 8.15 pagi, 31 Mac lalu, mangsa ada bertemunya di Balai Islam yang terletak di dalam kawasan sekolah ketika dia sedang mengajar mata pelajaran Pengajian al-Quran.

”Saiful jumpa saya dalam keadaan menangis dan memberitahu dia dimarahi oleh Hanif dan tidak bercakap banyak tetapi hanya menangis dan tertidur di pangkuan saya sehingga selesai waktu pengajaran mata pelajaran itu,” katanya.

Saksi pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Hanif, 26, iaitu penyelia asrama Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Jejawi yang dituduh membunuh Saiful Syazani antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam, 31 Mac lalu di bilik penyelia itu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya, Mohd. Yasin turut memberitahu, tertuduh mengaku mengikat tangan mangsa setelah ditanya oleh seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ketika mangsa dikejarkan ke wad kecemasan hospital berkenaan.

”Semasa di hospital, saya berkesempatan bertanya tentang kejadian tersebut dan Hanif memberitahu dia marah, mendenda dan menampar Saiful kerana mencuri,” katanya.

Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, tertuduh merupakan penyelia asrama yang baik dan sering mengambil berat tentang murid Tahun Satu termasuk membasuh baju mereka dan membawa mereka bersiar-siar dengan motosikal pada waktu petang.

Malah, katanya, tertuduh juga bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dengan menaiki motosikal pada awal pagi setelah mangsa dipindahkan ke hospital berkenaan pada hari kejadian.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sistem teleconference (persidangan video) yang disediakan di bangunan mahkamah tersebut yang disifatkan tidak lengkap.

Berikutan itu, beliau menunda ke esok sesi pengambilan keterangan daripada saksi kanak-kanak dalam kes itu melalui sistem teleconference yang sepatutnya dilakukan pada hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.