Hasrat jadi guru berkubur – Sinar Harian


Hasrat jadi guru berkubur
M FEISAL NORAWI
18 Ogos 2013
  • Hasrat jadi guru berkuburNurashikin (dua, kanan) bersama Nurul Samahah menyampaikan sumbangan kepada Nursyahira sambil ditemani Jamaliah di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab.
< 1 / 1 >

TEMERLOH – Hasrat seorang remaja untuk menjadi guru berkubur selepas disahkan menghidap masalah paru-paru kronik hingga menyebabkan dia hanya mampu terlantar di rumah sejak lebih empat tahun lalu.

Malah lebih menyayat hati, remaja terbabit, Nursyahira Syure, 17, terpaksa bergantung pada tangki oksigen setiap hari untuk meneruskan hidup.

Ibunya, Jamaliah Ismail, 51, berkata, sebelum menerima tangki oksigen dipinjamkan kebajikan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) beberapa tahun lalu, dia terpaksa membayar RM150 sehari untuk kos tangki oksigen.

“Nasib baik Hoshas meminjamkan tangki oksigen elektrik kepada kami yang lebih jimat berbanding tangki oksigen lama,” katanya ketika lawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Temerloh, Nurashikin Sulaiman dan AJK Puteri Bahagian, Nurul Samahah Saiduddin di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab, di sini.

Anak ketiga pasangan Syure Abdullah, 51 dan Jamaliah Ismail, 51, itu terpaksa mengheret tangki oksigen tersebut ke mana-mana sahaja termasuk bilik air dan ruang tamu, malah kesulitan itu terpaksa ditanggung sepanjang hayatnya.

Menceritakan kesengsaraan ditanggung anak ketiganya itu, Jamaliah berkata, semuanya bermula kira-kira lima tahun lalu semasa Nursyahira sedang sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi UPSR.

Menurutnya, pada awalnya Nursyahira mengalami kudis teruk pada mulut, namun setelah puas berubat dan dimasukkan ke hospital, dia kembali pulih.

Bagaimanapun katanya, sebaik ingin memulakan pengajian di tingkatan satu, Nursyahira mula mengalami masalah kesihatan yang teruk.

“Dia hanya sempat bersekolah selama dua minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin sebelum pengsan dan dihantar pulang gurunya. Selepas itu, keadaan kesihatan Nursyahira semakin teruk dan hanya mampu terlantar di rumah.

“Pendapatan suami hanya RM700 sebulan sebagai pekerja am kilang papan, namun saya sekeluarga menghabiskan RM600 sebulan untuk menampung kos perubatan Nursyahira. Macam mana susah, kami terpaksa tanggung. Tapi kami lega dapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.

Jamaliah berkata, mereka yang ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB 06120000551202.

Sementara itu, Nurashikin pula berharap orang ramai dapat membantu adik Nurasyahira melalui akaun bank terbabit atau terus ke rumahnya di Taman Bukit Cermin.

109 murid dapat beg percuma – Metro


109 murid dapat beg percuma

 0  0 Google +0  0  0

Kota Bharu: “Saya bercadang membeli beg sekolah kepada anak menggunakan wang bantuan persekolahan RM100 tetapi anak saya mendapat beg percuma,” kata Che Zaiton Che Pa, 47, yang anaknya antara 109 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di sini, menerima sumbangan beg sekolah daripada Puteri Umno Kota Bharu, kelmarin.

Menurut Che Zaiton, dia gembira dengan pemberian berkenaan terutama apabila dia dan suami, Kamaruyyaman Daud, 47, sebelum ini sudah bercadang untuk membeli beg sekolah kepada anak mereka, Daniel Irfan Kamaruyyaman, murid tahun tiga.
“Sumbangan ini meringankan beban kerana wang bantuan persekolahan itu boleh digunakan untuk perbelanjaan lain,” katanya.

 

Terdahulu, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Unit Pendidikan Islam) Mohd Fakhrurazi Abdul Rahim merasmikan majlis sumbangan beg sekolah berkenaan yang disampaikan Ketua Puteri Umno Negeri, Norwahida Patuan. Sementara itu, Mohd Fakhrurazi berkata sumbangan itu disalurkan kepada keluarga yang tidak berkemampuan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Syor tubuh Sekolah Harapan seluruh negara – Berita Harian


Syor tubuh Sekolah Harapan seluruh negara

2012/11/29 – 07:50:48 AMCetakEmel Kawan
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian Tangga, Batu Saliza Dolmat mencadangkan supaya Sekolah Harapan yang menempatkan pelajar hamil diwujudkan di seluruh negara bagi mengekang gejala sosial.

Beliau berkata, penubuhan sekolah itu tidak harus dipandang serong, sebaliknya mesti disokong kerana ia memberi peluang kepada remaja hamil untuk meneruskan pembelajaran serta memperbaiki diri.

“Sekolah Harapan ini bukan saja dapat memberikan perlindungan kepada remaja yang terlanjur, malah dapat mengubati segala masalah yang dihadapi oleh mereka,” katanya ketika membahaskan usul sosial pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sekolah Harapan yang diwujudkan di Jasin, Melaka pada November 2011 bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada remaja hamil sehingga habis tempoh berpantang sebelum dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dekati golongan muda

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kangar, Huzaini Abdul Hamid ketika membahaskan usul yang sama berkata, dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan sekarang memberikan kesan negatif kepada generasi muda sehingga ada yang menganggap mereka sebagai golongan pencetus masalah serta kekecohan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, anggota Puteri UMNO haruslah menggunakan setiap ruang dan peluang yang disediakan kerajaan untuk mendekati generasi muda, sekali gus membantu mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan itu.

Puad: Kerajaan Selangor, Pulau Pinang tak pernah beri tanah bina sekolah – Bernama


Puad: Kerajaan Selangor, Pulau Pinang tak pernah beri tanah bina sekolah

14 Julai 2012
SUNGAI PETANI – Kerajaan persekutuan terpaksa memberikan tanah miliknya untuk pembinaan sekolah di Selangor dan Pulau Pinang berikutan dua negeri pembangkang itu tidak memberikan tanah mereka untuk tujuan itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi.

Malah, beliau mendakwa kerajaan kedua-dua negeri mengubah tanah-tanah disedia untuk pembinaan sekolah bagi tujuan komersil seperti kawasan perindustrian.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang tidak serius dalam soal pendidikan. Mereka langsung tak beri tapak tanah untuk buat sekolah…sekelumit tanah pun tak ada.

“Kerajaan Pusat terpaksa mengorbankan beberapa tanah miliknya untuk dibina sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina bagi memastikan kemudahan sekolah di kedua-dua negeri itu mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Bahagian Sungai Petani di sini hari ini.

Hadir sama Naib Ketua Puteri Umno Malaysia Shahanim Mohd Yusoff yang juga Ketua Puteri Umno Sungai Petani. – Bernama

Hangat sambut hari jururawat, ibu, guru – Metro


Hangat sambut hari jururawat, ibu, guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bagi menghangatkan lagi sambutan ulang tahun Umno ke-66, Pergerakan Puteri Umno turut meraikan sambutan Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Guru yang diraikan pada bulan ini.

Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ia akan diadakan sebulan bagi meraikan jasa dan pengorbanan tiga golongan itu.
“Konvoi akan bergerak ke setiap negeri dan majlis sambutannya akan dibuat mengikut kebudayaan negeri masing-masing.

 

“Pelbagai aktiviti lain juga dianjurkan sempena ulang tahun Umno seperti bengkel pencegahan jenayah, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan melukis kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan konvoi itu di pekarangan Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Buat permulaan, konvoi 20 kereta Puteri Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mengunjungi Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur bagi meraikan 680 jururawat sempena Hari Jururawat hari ini.
Selain itu, Rosnah turut menyampaikan pelekat konvoi kepada semua ketua Puteri Umno negeri bagi menyeragamkan konvoi di negeri masing-masing.

 

 

Hari Jururawat dan Hari Ibu disambut 12 Mei manakala Hari Guru, 16 Mei.
Sementara itu, mengulas mengenai ulang tahun Umno, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Puteri akan terus berusaha membantu sayap parti memperluaskan khidmatnya kepada rakyat dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). “Memang benar kita tiada ketika Umno di awal penubuhannya dan semasa ia berjuang memerdekakan negara.

 

“Tetapi kelahiran Puteri Umno dalam era ‘millennium’ membantu parti terutamanya dalam menarik golongan muda,” katanya.